Wednesday 20 May 2015

Kabus di Perbukitan-Citra ketabahan wanita





<b>WANITA</b> DAN MUSLIMAH..apakah begini?
Novel Kabus di Perbukitan : Citra Ketabahan Wanita

Novel Kabus di Perbukitan (KB) karya Mohamad Kholid Hamzah merupakan novel Komsas yang digunakan oleh para pelajar sekolah menengah khasnya Tingkatan Lima di Zon 4 (Johor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan). Novel KB berlatarkan tempat yang lebih luas kerana melangkaui batasan negara, iaitu dari Sungai Besar, Selangor sehinggalah ke New Zealand dan Dubai. Faridah merupakan watak utama dalam novel yang mengandungi 32 bab dengan ketebalan 255 halaman. Latar tempat dari Sungai Besar ke New Zealand atau lebih tepatnya Rosewood, New Zealand merupakan dua tempat yang menjadi tapak kepada Faridah dalam melakar dan mengharungi pahit manis kehidupan. Sungai Besar merupakan tempat Faridah mengenal erti kehidupan  manakala New Zealand ialah tempat Faridah membawa diri yang akhirnya menempa kebahagiaan melalui perkahwinan keduanya.
            Berdasarkan kedua-dua tempat tersebut, watak Faridah dibekalkan dengan nilai ketabahan sebagai seorang wanita yang kental dan berani menghadapi cabaran. Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan pengertian tabah sebagai hati yang tidak gentar dan tetap hati. Pengertian ini diperluaskan lagi dengan maksud terus mencuba dengan penuh semangat, azam, dan berani serta cekal dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Pengertian inilah yang dicitrakan melalui watak Faridah  dalam KB yang membolehkannya memugar semangat dalam usaha meneruskan kehidupan.
            Nilai ketabahan amat signifikan dalam kehidupan dan harus diletakkan di tempat yang utama.  Nilai ini amat dekat dengan hati dan jiwa setiap insan serta berhubung kait dengan sikap sabar. Sikap ini dapat memberi keyakinan kepada seseorang individu dalam menghadapi sebarang masalah, cabaran dan dugaan yang bersifat tragis atau tragedi yang menyayat hati. Ketabahan yang dimiliki seseorang juga mampu mengelakkan mereka daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan diri sendiri hatta membunuh diri. Justeru, ketabahan amat signifikan dengan keteguhan iman dalam menangani segala musibah yang melanda kerana kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah malahan umpama pasaran saham yang turun  naik.
            Novel KB mengidentifikasikan watak Faridah sebagai seorang wanita yang memiliki nilai ketabahan sejak membesar bersama-sama dengan ibunya, iaitu Salmah di Sungai Besar. Ketabahan Faridah mula diuji sejak kecil lagi di Sungai Besar setelah ayahnya berpisah dengan ibunya. Faridah membesar sebagai anak yang serba kekurangan dan kedaifan kerana ibunya hanya bekerja di sawah. Sawah itulah yang menjadi nadi kehidupan mereka dua beranak dalam mendapatkan sumber rezeki. Faridah tidak melatah dengan kesusahan hidup yang dihadapinya, malahan berusaha membantu ibunya bekerja di sawah. Ketiadaan ayah sebagai pelindung yang memayungi keluarga tidak pernah mematahkan semangat Faridah untuk meneruskan kehidupan yang serba daif di Sungai Besar.
Optimisnya watak Faridah menyerlah dengan tabah  menelan kesusahan hidup dan kekurangan kasih sayang seorang ayah dihadapi dengan kekuatan dalaman. Florance Littauer dalam bukunya Personality + Plus memberikan pandangan bahawa seseorang yang optimis mampu memberi harapan dan keyakinan kepada diri sendiri dan orang lain. Faridah menjadi sumber kekuatan ibunya setelah perpisahan antara kedua-dua orang tuanya itu. Kehidupan  bersama-sama dengan ibunya semakin indah setelah Faridah berjaya menjawat jawatan sebagai guru yang mengajar kanak-kanak istimewa. Faridah berbangga kerana sawah itulah yang menjadi nadi rezeki ibunya untuk menumbuhkan kedewasaannya sehingga menjadi anak yang berjaya. Faridah mengakui bahawa sawah itulah yang banyak berbudi kepadanya ketika bercerita kepada anaknya, Anne setelah 25 tahun peristiwa tersebut berlalu seperti dalam dialog berikut :
Sawah inilah dahulu yang membesarkan mama, Anne. Tanah ini sudah dipajak  oleh Haji Ghafur selama 25 tahun. Mama gunakan wang hasil pajakan itu   untuk sara hidup semasa belajar di New Zealand. Habis sahaja belajar, mama bertemu dengan ayahmu dan kami berkahwin. Mama tidak pernah pulang-pulang hingga sekarang (halaman 237).

            Ibarat  panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, apabila ketabahan Faridah diuji. Begitulah dugaan yang dihadapi Faridah apabila pertunangannya dengan Azman terputus tanpa sebab dan alasan. Akibat kecelaruan fikiran dengan mesej pesanan ringkas yang diterimanya daripada Azman, Faridah mengalami kemalangan ketika sedang memandu van dalam usaha membawa kanak-kanak istimewa ke Bukit Fraser. Van yang dipandu oleh Faridah terbabas ke dalam gaung. Kemalangan tersebut telah menyebabkan Faridah hilang selama dua minggu dan terlantar di perkampungan orang asli bersama-sama Iqbal, iaitu anak muridnya, seorang kanak-kanak istimewa. Ekoran daripada kejadian tersebut, Faridah telah koma selama hampir sebulan.
             Dalam keadaan bawah sedar, Faridah telah mengembara ke Bukit Kutu dan perkampungan orang asli. Walaupun koma selama hampir sebulan, namun Faridah seorang yang berjiwa kental kerana bersemangat untuk meneruskan hidup. Kekuatan jiwa yang dimilikinya memanifestasikan kekentalannya mengatasi segala kelemahan yang ada dalam dirinya untuk bangkit semula. Faridah boleh dikatakan sebagai seorang wanita yang luar biasa kerana kekentalan untuk terus hidup menular dalam jiwanya. Nilai ketabahan yang dimiliki oleh Faridah ini merangkumi sikap berani, tahan uji dan optimis kerana memiliki kekuatan dalaman dan semangat yang luar biasa setelah melewati koma selama sebulan. Peristiwa Faridah koma terdapat dalam dialog Ghazali :
Bukan sebulan hilang. Mejar Kamarudin dan Buyung   menemui Faridah yang  telah koma di Kampung Orang Asli  Sungai dua minggu lepas. Seminggu  Faridah terlantar di hospital ini. Baru hari ini Faridah sedar (halaman 96).

Ketabahan Faridah berterusan diuji dan teruji apabila menerima berita kematian Rahayu, iaitu adik kembar yang telah terpisah sejak kecil akibat perpisahan ibu bapa mereka.  Mereka hanya bertemu dalam hubungan alam misteri, iaitu melalui hubungan telepati atau transaksi bawah sedar. Mereka berkomunikasi dalam keadaan Faridah masih koma di hospital dan Rahayu pula dalam keadaan yang hampir nazak. Faridah tetap tabah walaupun kesedihan melanda hatinya pada saat menerima berita kematian Rahayu pada hari dia sedar daripada koma. Ketabahan yang dimiliki membolehkannya menghadapi masa depan walaupun masih samar. Kesedihan ini dapat dihayati dalam dialog dan monolog dalaman watak Faridah :
Saya ada jumpa Ayu …, rintih Faridah. Air matanya gugur lagi bila teringat pertemuannya dengan Rahayu. Dia ingin bercerita tetapi pasti Ghazali sukar mahu mempercayainya. Dia ingin menceritakan kepada seseorang yang dia bertemu   Rahayu sebelum sedar daripada koma (halaman 96).

Setelah pemergian Rahayu, ketabahan Faridah diuji lagi kerana Faridah harus menjaga ibunya, iaitu Salmah yang mengalami kesedihan dan tekanan perasaan akibat kematian Rahayu, iaitu anak yang sekian lama terpisah daripadanya. Pertemuan dengan Rahayu hanyalah pada saat Rahayu sedang nazak melawan bisanya kanser. Perasaan keibuannya terbawa-bawa sehingga Faridah dipanggilnya Rahayu. Kekadang, Salmah menziarahi  pusara Rahayu dua kali sehari kerana dia tidak sedar bahawa dia sudah menziarahinya pada sebelah pagi. Faridah risau namun tetap tabah menjaga dan melayan perangai ibunya. Kerisauan Faridah menguatkan hatinya untuk terus menjaga ibunya dengan berbekalkan sumber kekuatan yang diberikan oleh suaminya, Ghazali yang sentiasa memujuk dan memberi sokongan. Kerisauan Faridah digambarkan dalam dialog berikut :
Idah risau sungguh dengan keadaan mak, bang. Mak Minah     beritahu kelmarin  dia ke kubur sampai dua tiga kali sehari.   Badannya abang lihatlah sendiri, susut sungguh(halaman 115)


Bak kata pepatah, ajal dan maut di tangan Tuhan, tiada siapa dapat menerkanya. Ketabahan Faridah teruji lagi apabila ibu yang disayangi telah pergi menemui Ilahi. Faridah merintih tatkala ibunya sudah tidak bernafas lagi. Kehilangan orang yang disayangi benar-benar menguji keimanan dalam diri seseorang dan kekuatan dalamanlah yang menjadi pemangkin untuk meneruskan kehidupan biarpun sengsara. Faridah tetap pasrah  kehilangan ibu yang maha disayanginya. Rintihan Faridah terdapat dalam dialog Ya Allah, mak … . Jangan tinggalkan Idah, mak (halaman 119). Hal ini mencerminkan  penderitaan dan kesedihan Faridah apabila ibu yang menjadi nadi kehidupannya pergi buat selama-lamanya. Bagaimanakah Faridah akan mengharungi kehidupan seterusnya?  Keimanan dan kekentalan jiwalah yang akan memandu seseorang ke arah kebenaran dan menerima segala ketentuan dengan hati terbuka.
            Ketabahan Faridah diuji buat kesekian kalinya apabila Ghazali, iaitu suami yang disayangi dan diharapkan untuk memayungi dan mengemudi bahtera hidupnya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang tragis. Faridah bukan sahaja kehilangan keluarga malahan kehilangan suami sebagai tempat bernaung. Di sinilah terletaknya kekuatan dalaman jiwa Faridah dalam mengharungi kegetiran dan tsunami kehidupan. Faridah tetap optimis dalam meneruskan kehidupannya.
            Kecundang dalam pertunangan, kematian adik kembar, pemergian ibu tersayang dan  suami tercinta bukan batu penghalang kepada Faridah untuk meneruskan kehidupan pada masa depan walaupun kehidupan itu umpama mimpi yang belum pasti menjadi realiti. Walaupun menanggung penderitaan yang maha perit akibat kehilangan orang yang tersayang namun Faridah tidak menyesali malahan pasrah dan berusaha meneruskan kehidupannya.
Ketabahan dan kekentalan sifat dalaman watak Faridah dalam novel ini terbukti lagi apabila Faridah terus bersikap optimis dan berjaya mengecapi kebahagiaan setelah 25 tahun berlalu. Kesedihan dan kegagalan masa lalu dijadikan azimat untuk meneruskan kehidupan dengan menerima tawaran berkursus di New Zealand selama enam bulan.
Ketabahan membolehkan Faridah mengharungi hidup di negara asing sehinggalah bertemu dengan pasangan hidupnya. Kepahitan yang ditanggung dalam perkahwinan lalu akibat pemergian suami tercinta tidak memudarkan harapan Faridah untuk memulakannya sekali lagi bersama-sama dengan Soleh Johnson. Walaupun Sungai Besar menjadi kenangan, iaitu tempat Faridah menganyam kedukaan tetapi New Zealand menjadi tempat Faridah menenun kebahagiaan menerusi perkahwinan keduanya dengan Soleh Johnson. Perkahwinan dengan Soleh Johnson seorang warga New Zealand telah membahagiakan Faridah kerana suaminya seorang yang penyayang. Kebahagiaan dan keindahan hidup Faridah bersama-sama dengan Soleh Johnson menjadi semakin ranum apabila mereka telah dikurniakan sepasang kembar, iaitu Anne dan Melina.
Semangat dan kekentalan jiwa Faridah masih menebal walaupun setelah 25 tahun berlalu. Dalam perbualannya dengan Azrul, iaitu sahabat lamanya di Sungai Besar, Faridah memperlihatkan kekentalan jiwa dalam mempertahankan kehidupan yang dimilikinya sekarang walaupun masa lalunya beranjau. Kehidupan masa lalu Faridah dan ibunya, Salmah amat memilukan hatinya apatah lagi melihat penderitaan ibu yang dikasihi. Faridah tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib seperti dia dan Rahayu yang terpisah dan ketandusan kasih sayang akibat keruntuhan rumah tangga ibu dan bapanya. Gambaran sikap kental Faridah digambarkan dalam dialog berikut :
Kisah hidup saya dan Ayu semasa zaman anak-anak penuh dengan cerita duka. Bapa dan ibu berpisah, penceraian bukan sesuatu yang biasa ketika itu. Anak-anak mana yang dapat menerima apabila melihat ibunya menderita.  Rindu pada anak, tidak tertanggung. Tambahan pula hanya sempat bertemu  sekejap. Sekejap sungguh. Hingga kini, saya akan tetap pertahankan keluarga  saya sampai bila-bila. Saya tidak mahu Anne dan Melina mengalami nasib yang serupa.

Nilai ketabahan yang terjelma daripada sikap tabah, kental, optimis dan tahan uji mencitrakan Faridah sebagai wanita yang harus dicontohi oleh para pelajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Penghayatan terhadap nilai-nilai kehidupan dalam novel ini amat signifikan bagi seseorang pelajar agar mendapat manfaat yang berharga dan tidak menganggap kegagalan sebagai musibah kehidupan. Masalah, dugaan, cabaran penderitaan, tragedi dan kegagalan  memang amat sinonim dengan kehidupan. Justeru, seseorang perlu memiliki ketabahan dan keimanan yang teguh serta  menggunakan akal yang bijaksana dalam mengawal dan menyelesaikan segala masalah. Kita jangan sesekali membenarkan masalah mendominasi dan memanipulasi hidup kita sehingga kita menjadi manusia  pesimistik dan hidup dalam kemurungan serta ketandusan cita-cita. Misran Rokimin dalam buku yang bertajuk Isu Pendidikan dan Pembangunan Insan Menerusi Novel, berpendapat bahawa prinsip dan nilai-nilai yang baik dalam diri manusia itu merupakan langkah terbaik untuk memperolehi kejayaan. Nilai ketabahan dalam novel ini berkombinasi dengan sikap optimis watak dalam mengharungi kehidupan. Kenny Sung berpendapat bahawa seseorang yang optimis melihat segala kesulitan, kesusahan, kekecewaan, penderitaan dan kegagalan sebagai sesuatu yang bersifat sementara dan spesifik. Apabila ciri-ciri ini mendominasi seseorang watak, maka ciri peribadi yang tenang  dalam mnegendalikan emosi akan menyerlah, pastinya kejayaan berada dalam genggaman.
Walhasilnya, nilai ketabahan dapat dikatakan sebagai kemampuan atau daya seseorang memproses kehadiran unsur ‘kesakitan’, ‘kesusahan’, ‘kesempitan’, dan ‘kepedihan’ yang menjadi jambatan ke arah mencapai matlamat dalam kehidupan. Seseorang yang gagal memproses unsur-unsur tersebut akan berhadapan dengan kegagalan yang akan membantutkan usaha mencapai matlamat hidup. Hakikatnya, novel ini telah mengangkasakan watak wanita yang diwakili Faridah sebagai wanita yang mempunyai kekuatan dalaman untuk terus berjuang meredah gelombang kehidupan. Kesinambungannya, novel ini dapat memberi pengajaran kepada para pelajar agar menghadapi segala ranjau kehidupan dengan tabah dan optimis, tidak menjadikan kegagalan sebagai penyelesaian kepada sesuatu masalah.


Foto Bunga ros kuning-ihsan FB Sania Walchee

                                                            

No comments:

Post a Comment