Friday 8 May 2015

RESENSI-ENSERA MARGA TIMUR dari ST ANTHONY

 




Ulasan Buku                                             

Judul             : Ensera Marga Timur dari St. Anthony
Pengarang    : Jong Chian Lai
Harga             :  RM35.00
Halaman        : 472
Penerbit        : Dewan Bahasa dan   Pustaka (2010)


Ensera Marga Timur dari St. Anthony  (EMTSA) merupakan buah tangan Jong Chian Lai  yang memenangi Hadiah Ke-3 sempena Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak 2003/2005. Dalam EMTSA, Jong Chian Lai mengekalkan watak golongan bawahan atau subaltern yang terpinggir dan terdiri daripada masyarakat Iban di rumah Panjang Kerangan Panggil di Kepulauan Borneo. Watak Rentap dan Rita merupakan wakil golongan terpinggir yang bangun menentang Tuan, iaitu wakil penjajah yang cuba  mengeksploitasi ekonomi, politik  dan menindas penduduk peribumi. Oleh itu, beliau membangkitkan watak-watak golongan terpinggir ini untuk membela masib bangsa mereka khususnya dan bangsa Timur secara amnya agar tidak terus ditindas.
Pengekalan watak golongan terpinggir lebih menyerlah dalam EMTSA kerana pengarang mengutarakan perjuangan masyarakat Timur yang diwakili orang Iban di Kepulauan Borneo. Antaranya  Rentap, Rita atau Mem Rosalinda, Ningkan, Imbong, Gerinang, Garan, TR Anyai, Sawai dan Apai Sugi. Walaupun Jong Chian Lai menerapkan watak anak kacukan seperti Goffery Edward, Thomas Edward Blair dan Edward Blair Jr tetapi anak kacukan itu masih lagi berdarah daging Iban, iaitu wakil manusia Timur.
Dalam novel ini, Jong Chian Lai memapar dan menggarapkan perjuangan dan pengorbanan seorang wanita Timur yang membantu Rentap dalam mengangkat maruah bangsa dan tamadun Timur. Rita atau Mem Rosalinda sanggup berkorban melanggar adat dengan menjadi Mem kepada ekspatriat Inggeris, iaitu Micheal Leigh  agar mengalami anjakan minda untuk kemajuan bangsanya. Pengorbanan Mem amat besar kepada tamadun bangsa Timur demi perubahan dan kemajuan bangsa Iban. Rita membantu mencambahkan minda Rentap dengan pelbagai ilmu yang ditimbanya daripada pegawai Inggeris. Setelah terbuang dan terlontar di gereja St Anthony Brooklyn, Rita tidak patah semangat dengan cuba mengubah persepsi orang Barat yang amat memandang rendah dan menganggap orang Timur seperti rumput di jalanan dan tidak layak berada di dunia Barat. Manusia Barat menganggap manusia Timur tiada keberanian, tiada ilmu dan keyakinan sehingga Rita dianggap tidak mampu menjaga anaknya sendiri setelah melahirkan bayi tersebut di gereja St Anthony.
Rita atau Mem Rosalinda sanggup mengorbankan cintanya kepada seorang pahlawan, sanggup hidup terbuang di dunia Barat setelah berani melanggar adat rumah panjang. Pengorbanan seorang wanita Timur digambarkan sangat besar dan sangat berani sehingga berjaya menyebarkan keturunan manusia Timur di Barat, menyebarkan bahasa Iban di Barat, mempertahankan maruah bangsa Timur ketika diperlekeh manusia Barat yang hanya mengagungkan tamadun palsu mereka dan  sanggup berkorban menjaga cucu dan cicit yang tidak dihiraukan wanita Barat setelah melahirkannya. Wanita Timur digambarkan berjiwa besar, bijak dan berani agar dapat membela bangsanya agar  terus disegani dan dipandang tinggi.
Rita mengajar bahasa Iban agar bahasa itu berkembang di Barat dan digunakan paderi-paderi untuk menyebarkan agama Kristian di Timur.  Rita meriwayatkan hikayat-hikayat tentang dewa dewi, tentang magis dan kepahlawanan Rentap, tentang ukiran dan khazanah bangsa mereka yang tenggelam bersama Royalist III. Mem meminta cucunya mengembalikan khazanah itu kepada bangsanya kerana itu adalah lambang keagungan, simbol kemagisan, ketinggian kuasa minda dan keilmuan bangsa mereka yang tidak dapat ditandingi Barat.
            Rentap digambarkan sebagai pahlawan yang hebat dan dikatakan tidak dapat dikalahkan Inggeris sebaliknya Rentap yang menjadi penjajah sehingga Inggeris tunduk kepadanya dan menuruti semua kemahuan Rentap. Rentap dalam EMTSA ditampilkan pengarang dengan aksi dan sikap yang baharu dan tidak menentang Inggeris dengan kekerasan sebaliknya diwarnai dan ditunjangi kebijaksanaan. Unsur sejarah sebenar telah diselewengkan pengarang kerana dalam sejarah, setelah serangan kali ketiga Rentap telah kalah dan berundur. Dalam sejarah juga, Rentap sering menentang Inggeris dengan kekerasan dan pemberontakan bukannya dengan kuasa minda, kuasa magis  dan kebijaksanaan seperti yang dibentuk pengarang dalam EMTSA.
EMTSA merupakan lakaran dan rekaan Jong Chian Lai khas buat khalayak yang mahu berfikir tentang persoalan yang hendak disampaikannya. Pengarang menggunakan aliran realisme magis  sebagai narasi penciptaannya dengan paparan cereka mimpi, halusinasi, cereka beralasan dan fantasi dalam dunia real dan unreal  yang dibaurkan pengarang dalam menyampaikan idea dan gagasannya. Novel ini menemukan titik penyelesaiannya apabila cicit Mem, iaitu Edward Blair Jr berjaya mencari khazanah bangsanya yang tenggelam bersama-sama kapal Royalist III di Selat Melaka dan kembali mengunjungi Karangan Panggil di kepulauan Borneo yang menyimpan seribu misteri kemagisan selain merupakan tempat kelahiran Rita dan Rentap.

                                             KEPULAUAN BORNEO
Peta Pulau Borneo Kalimantan

No comments:

Post a Comment