Wednesday 18 November 2015

Sajak Kecek - (v)



Paparan Sikap, Nilai dan Mesej dalam Sajak Kecek - (v)

Sajak yang bertajuk Kecek – (v) hasil pena Awang Abdullah dipilih sebagai sebuah sajak yang menjadi kajian dan penghayatan para murid dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku. Tahun 2015 merupakan tahun terakhir antologi ini digunakan oleh para murid tingkatan lima kerana akan digantikan dengan antologi yang baharu. Sajak Kecek – (v) terdapat dalam halaman 22-23 dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku yang dipaparkan dalam empat rangkap.



Rangkap sajak
Maksud
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
Di sebuah bank ternama
Tetapi dalam diam
Dia mencantum kemiskinan
Orang lain
Ke dalam amanahnya
Yang telah lama pecah
Mengisahkan seorang pengarah yang mempunyai akaun simpanan yang lumayan di bank terkenal. Walaupun demikian, hasil simpanan yang lumayan itu dikumpul berdasarkan hasil kepunyaan orang yang miskin. Pengarah digambarkan telah menyeleweng dengan pecah amanah.
2
Di kampung
Seorang petani
Membuka akaun kemiskinannya
Di ruang kedaifan
Dan mengunci sedozen anak-anaknya
Di dalam pagar sengsara
Tetapi dia tidak pernah mencantum
Kekayaan orang lain
Ke dalam getirnya
Yang sudah lama berumbi



Mengisahkan seorang petani yang miskin dan serba daif di kampung bersama-sama anaknya yang ramai. Walaupun keluarga petani hidup dalam kesengsaraan dan kesusahan sekian lama tetapi petani tidak pernah mengambil hak orang lain.
3
Di pantai
Seorang nelayan
Membuka akaun sengsaranya
Di rahang laut ternganga
Dan mengurung sederet anak-anaknya di bawah pusara nasib
Tapi dia tidak pernah mengumpul
Kesenangan orang lain
Ke dalam kegusarannya
Yang telah sekian musim
Berlumut
Di papan hidupnya

Mengisahkan seorang nelayan yang mengabadikan hidup dengan laut hidup dalam kesengsaraan. Nelayan mempertaruhkan hidup anak-anaknya yang ramai  dengan kegetiran dan kesengsaraan. Walaupun begitu, nelayan tidak mengambil hak kepunyaan orang lain walaupun kesusahan sudah sekian lama menghimpit hidupnya. 
4
Tuhan tidak pernah mungkir
Mencatat setiap angka
Dan nilai hitungan paling kecil
Ke dalam akaun-Nya
Di rumah keadilan
Mengisahkan janji Tuhan yang akan berlaku adil kepada setiap hamba-Nya. Semua perbuatan manusia dari yang kecil hinggalah yang besar akan dihitung dengan seadil-adilnya.

Berdasarkan paparan maksud dalam rangkap 1 tersebut, didapati sajak ini menyampaikan sikap yang dimiliki oleh seorang pengarah. Watak pengarah dalam sajak ini mewakili golongan atasan yang kaya raya dan hidup dalam kemewahan. Pengarah merupakan seorang ketua atau majikan yang mengetuai atau menerajui sesebuah organisasi. Pengarah yang dilantik memegang jawatan yang tertinggi dalam sesebuah organisasi sudah tentu mempamerkan kebolehan dan karismanya sehingga berjaya menjawat jawatan tersebut. Walau bagaimanapun, dalam sajak Kecek – (v), didapati tiga sikap negatif  yang ditunjukkan oleh seorang pengarah, iaitu materialistik, individualistik dan tidak jujur.
            Sikap mementingkan kebendaan atau materialistik menyebabkan seorang pengarah rakus mengumpul kekayaan untuk diri sendiri dan keturunannya supaya hidup senang tanpa memikirkan jalan yang betul dan diredhai Allah. Sementara individualistik pula terlantun daripada tindakannya yang tidak mempedulikan nasib orang lain di sekitarnya asalkan dirinya mendapat habuan yang lumayan. Sikap tidak jujur yang didalangi oleh lemahnya prinsip hidup pula mendorong seorang pengarah melakukan pecah amanah dan menyeleweng dalam menjalankan tanggungjawabnya yang sebenar. Ketiga-tiga sikap ini menghanyutkan seorang yang bergelar pengarah atau golongan atasan apabila matanya dikaburi wang ringgit dan harta benda dunia. Golongan ini leka dan sujud kepada material yang menjadi kayu ukur status. Seorang pengarah didapati mensia-siakan kepercayaan yang diberikannya sehingga menzahirkan sikap munafiknya kerana hidup menggalang kesenangan orang lain. Sikap ini memberikan impak yang besar kepada golongan yang lain khususnya kepada golongan marhaen yang hidup serba kekurangan dan kesusahan kerana hak mereka diboloti dan dimonopoli oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini. Implikasinya, wujudlah jurang yang ketara antara golongan miskin dan berada sehingga yang hidup miskin terus tertindas dan golongan kaya semakin menjadi lebih berharta dan bergaya.
            Paparan sikap seorang pengarah dalam rangkap 1 ini menyampaikan nilai yang tersirat, iaitu nilai kejujuran, keikhlasan dan amanah. Hakikatnya seorang pengarah harus menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan jujur dan ikhlas agar dunia penyelewengan dapat dilenyapkan. Apabila nilai jujur dan ikhlas menjadi budaya dalam kalangan yang berkuasa maka terzahirlah nilai amanah dalam menjalankan tugas. Setiap tugas yang diamanahkan sama ada kecil atau besar, berat atau ringan harus dijalankan dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas. Justeru, rangkap ini ingin menyampaikan mesej bahawa  pecah amanah dan penyelewengan menghalang kemajuan, kemakmuran dan penghayatan nilai mulia dalam masyarakat. Sikap negatif sebagaimana yang digambarkan oleh pengarah tersebut akan menghalang penghayatan terhadap nilai dan etika kerja yang berintegriti dan cemerlang selain mengekang kemajuan dalam masyarakat kerana perbezaan jurang kehidupan yang signifikan. Norshuhada Zakaria (2010) berpendapat bahawa penyelewengan menyebabkan runtuhnya institusi dalam sesebuah negara sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial kerana perbuatan ini melibatkan golongan profesional yang diyakini dapat mengubah dan mencapai hala tuju sesebuah negara. Apabila golongan ini melakukan penyelewengan, maka pasak dan tunggak sesebuah institusi akan rebah dan runtuh.
            Rangkap 2 pula, memanifestasikan sikap golongan petani yang bersyukur dan pasrah dengan nasib diri dan keluarganya. Sikap syukur dalam konteks kehidupan petani dengan tidak melakukan perbuatan yang ditegah atau tidak melanggar peraturan serta norma kehidupan merupakan sikap yang terpuji. Walaupun hidup miskin, petani tidak merampas hak orang lain demi mendapatkan sesuatu habuan atau hasil untuk menyara isteri dan anaknya yang ramai. Walau bagaimanapun, petani turut digambarkan memiliki sikap yang negatif, iaitu pasrah dengan kehidupan daif dan miskin. Petani digambarkan sabar dalam kepasrahannya mengharungi kegetiran dan kesusahan hidup yang berakar umbi dengan tidak menampakkan riak usaha ke arah mencapai tahap kehidupan yang lebih baik.
            Paparan sikap petani dalam rangkap 2 ini, menyampaikan siratan nilai kesyukuran dan nilai berusaha. Petani yang hidup  sekadar menerima seadanya rezeki dengan tidak melakukan perbuatan yang melangar peraturan merupakan gambaran sikap yang mulia. Walaupun begitu, rangkap ini juga menyelitkan nilai berusaha, iaitu golongan petani harus meningkatkan usaha untuk mengubah haluan hidup ke arah yang lebih baik demi kelangsungan hidup keluarganya pada masa depan. Golongan petani perlu membuat anjakan paradigma agar hidup mereka tidak kekal berada di takuk lama. Mesej yang hendak disampaikan  dalam rangkap ini ialah kesyukuran harus relevan dengan situasi kehidupan agar kita tidak terlalu pasrah. Usaha harus dilakukan berterusan walaupun dibelenggu kemiskinan kerana kepasrahan kepada nasib semata-mata akan menutup kemajuan dan kesejahteraan hidup yang bakal dikecapi.
            Rangkap yang ketiga pula menggambarkan sikap seorang nelayan yang sinonim sikapnya dengan petani di kampung. Nelayan juga bersyukur dengan himpunan nasibnya dan pasrah walaupun berdekad hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Nelayan bersyukur dengan kehidupan yang dilaluinya tanpa melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan hak orang lain. Walau bagaimanapun, kepasrahan nelayan kepada laut   dan harapannya dengan rezeki daripada laut sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga. Nelayan perlu menggandakan usaha untuk mengubah corak kehidupan agar lebih cerah pada masa depan. Kepasrahan kepada nasib hanya akan menyebabkan anak-anak nelayan mewarisi kehidupan malap sebagaimana yang dialami nelayan.
             Lanjutan daripada itu, rangkap ini menyelitkan nilai optimis dan kesyukuran. Nilai kesyukuran akan menjadikan nelayan hidup dalam kemuliaan dan mendorong ke arah penghayatan nilai-nilai mulia dalam kehidupan. Sementara siratan nilai optimis, iaitu tidak mudah berputus asa akan mendorong nelayan berusaha lebih demi kemajuan hidup pada masa  akan datang. Justeru, rangkap ini hendak menyampaikan mesej bahawa pembudayaan nilai optimis akan mengubah corak kehidupan. Apabila kita sentiasa memandang positif setiap kejadian yang berlaku, maka kita tidak akan berputus asa atau tertekan, sebaliknya akan memandang kehidupan sesuatu yang perlu diperjuangkan selain patut disyukuri dan dijalani dengan harmonis.
            Rangkap 4 sajak ini pula memaparkan sikap adil pencipta, iaitu Tuhan yang tidak akan memungkiri segala janji-Nya. Setiap perbuatan dan amalan akan mendapat perhitungan dan pembalasan suatu masa nanti walaupun sekecil zarah. Justeru, rangkap ini menyiratkan nilai keadilan dalam menilai perbuatan sama ada baik atau buruk tanpa mengira kedudukan, pangkat atau status seseorang semasa di dunia. Semua manusia akan dinilai sama rata disisi Tuhan yang maha adil dan saksama.  Justeru, rangkap ini memaparkan mesej bahawa  amalan di dunia akan dihisab di akhirat. Manusia tidak akan terlepas daripada perhitungan tanpa mengira kecil atau besar pahala dan dosa yang dilakukan umat manusia di dunia fana ini.
            Sesungguhnya, kesusahan, kegetiran, kedaifan hidup nelayan dan petani yang mewakili golongan marhaen turut dipengaruhi faktor sikap negatif seorang pengarah atau golongan atasan dalam menjalankan amanahnya. Seandainya, golongan yang berkuasa dan golongan professional dapat menjalankan tugas dengan adil, saksama, ikhlas dan amanah sudah tentu nasib golongan petani dan nelayan akan terbela. Jurang kemiskinan pasti akan dapat dirapatkan demi kesejahteraan bersama-sama namun perkara yang berlaku adalah sebaliknya.
            Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, pelbagai teknik boleh diaplikasi di dalam kelas untuk mengajar sajak Kecek – (v)  ini supaya sesi pengajaran dalam kelas lebih menarik dan efektif. Antaranya :
(a)   Teknik Dekon
Teknik dekon merujuk kepada deklamasi dan lakon yang boleh dijalankan dalam kalangan murid. Teknik ini boleh dijalankan dengan memberikan  watak pengarah, nelayan dan petani kepada murid tertentu untuk melakonkannya. Seorang murid yang lain pula diminta mendeklamasi sajak dengan gaya, sebutan dan intonasi yang sesuai. Murid yang berlakon, iaitu memegang peranan sebagai pengarah, nelayan dan petani perlu melakonkan watak mereka sebagaimana yang digambarkan dalam sajak dengan bantuan para murid yang lain. Lakonan tanpa suara ini memerlukan pemegang watak menunjukkan gerak, aksi dan mimik muka yang berkesan agar dapat memberi gambaran dan kefahaman tentang maksud sajak. Teknik ini dapat meningkatkan penghayatan para murid terhadap maksud sajak apabila mereka menjiwai watak-watak berkenaan. Selesai sesi dekon, soalan-soalan yang relevan boleh dikemukakan kepada para murid untuk melihat keberkesanan aktiviti tersebut selain menguji tahap penghayatan mereka.
(b)   Teknik Mestamu
Teknik mestamu merupakan kependekan kepada teknik melagukan sajak tanpa muzik. Teknik ini relevan untuk mengajar sajak dalam kelas bagi menarik perhatian para murid dan boleh dijalankan secara individu, berpasangan atau berkumpulan. Jika mestamu dijalankan secara berpasangan, maka  sepasang murid dipilih, iaitu seorang mendeklamasikan sajak dengan intonasi dan nada yang sesuai dan seorang lagi menyanyi atau melagukannya tanpa iringan muzik. Irama untuk melagukan sajak ini boleh diadaptasi daripada lagu-lagu yang digemari murid itu sendiri atau daripada irama lagu-lagu puisi yang sedia ada selain mencipta sendiri irama lagu. Teknik ini boleh diakhiri dengan komen dan pujian guru selain menyediakan soalan-soalan yang merangsang penghayatan dan pemahaman murid.

Tuntasnya, pengaplikasian teknik pengajaran yang sesuai dengan menggunakan sajak ini sudah tentu dapat menjadikan sesi pengajaran lebih menarik dan berkesan selain dapat menarik minat para murid untuk mempelajari bahan Komsas seperti sajak. Senadainya guru bijak menggunakan teknik tertentu maka mitos yang menyatakan kesukaran bagi murid mempelajari dan memahami sajak dapat disangah. Penjiwaan para murid dalam lakonan tanpa suara atau dekon terhadap watak-watak dalam sajak akan menyemai nilai kemanusiaan dalam diri mereka dan bertepatan dengan fungsi sastera yang menghalusi dan memanusiakan manusia. Pemanifestasian sikap negatif dan positif, nilai dan mesej yang dilantunkan  oleh watak-watak yang dipaparkan dalam sajak berdasarkan hasrat murni pengarangnya akan dapat menjadi teladan dan contoh kepada generasi muda khususnya yang masih dibangku sekolah. Para murid akan dapat menjadikan sikap, nilai dan mesej yang disampaikan dalam sajak ini sebagai pedoman dan panduan dalam mengharungi cabaran pada masa depan. Samat Buang dalam makalah yang bertajuk Restrospektif Komsas keluaran Pelita Bahasa Bil. 3/2015 berpendapat bahawa karya sastera yang termuat dalam antologi pilihan sarat dengan pengajaran dan keindahan yang dapat dijadikan sebagai santapan rohani pembaca untuk memahami dan menghayati nilai, serta memperkasa rasa kemanusiaan dalam konteks kehidupan harian. Justeru, pandangan ini mencitrakan keperkasaan bahan sastera dalam fungsinya menyampaikan kisah dan teladan, menitipkan mesej, membugarkan nilai,  membongkar permasalahan, menzahirkan falsafah dan melestarikan identiti dan jati diri bangsa. Akhir kata, generasi muda harus diberi pendedahan yang sewajarnya tentang keperkasaan fungsi bahan sastera melalui pebagai genre dalam mengharungi ledakan arus masa yang semakin mencabar dewasa ini. Senario ini membolehkan negara melahirkan modal insan yang memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi, bukannya warganegara yang bersikap seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.


<b>Bunga</b> <b>Orkid</b> Ku - <b>Orkid</b> Idaman Hati Ku

No comments:

Post a Comment