Artikel sulung bagi tahun 2016 dalam majalah Pelita Bahasa. Terima kasih DBP kerana masih memberikan kesempatan untuk berkongsi idea dan fikiran.
Berdasarkan
subtopik yang berhubung dengan Fikir dan
Kata, terdapat tiga nilai murni yang hendak disampaikan sebagai pedoman dan
petua dalam kehidupan, iaitu nilai rasional, kebijaksanaan dan berhati-hati.
Nilai rasional dikenal pasti dalam rangkap 1 yang menyuguhkan kita agar
berfikir dengan waras agar tidak melakukan kesilapan yang boleh membawa
kesesatan. Apabila nilai rasional diutamakan dalam berfikir, maka dapat
menjamin kesejahteraan dan kesihatan mental kesan daripada corak atau cara
berfikir yang positif. Sementara rangkap 2 pula mengutarakan nilai
kebijaksanaan, iaitu dengan cara berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan
patah-patah kata. Seseorang yang bijaksana akan memperlihatkan kearifan dalam
berkata-kata dengan memilih kata, ungkapan dan ayat yang bersesuaian agar tidak
menyinggung perasaan orang lain yang akhirnya boleh mengundang sengketa.
Misalnya, dengan mengutamakan penggunaan bahasa yang menunjukkan penggunaan
bahasa yang halus, sopan dan betul mengikut konteksnya. Rangkap 3 dan 4 pula
mengetengahkan nilai berhati-hati. Sikap berhati-hati amat penting dalam
kehidupan seharian agar kata-kata yang terlepas dari mulut kita tidak seperti
beringin (pokok yang mistik dan berhantu), racun dan upas (pokok nipah yang
boleh mengeluarkan racun). Kata-kata yang mengandungi ‘racun’ sudah pasti
mengenakan bisanya kepada orang di sekelilingnya sehingga membawa kemudaratan
atau padah. Perkara yang sama juga dilontarkan dalam rangkap 4 bahawa ketajaman
kata-kata boleh membahayakan diri sendiri apabila timbul perasaan dendam di
pihak orang lain yang tidak senang mendengar kata-kata tajam tersbut. Oleh itu,
ada pepatah mengatakan bahawa lidah lebih tajam daripada sebilah pisau dan
turut relevan dengan peribahasa kerana
pulut santan binasa kerana mulut badan merana.
Subtopik
tentang Silang Sengketa turut
memanifestasikan nilai berhati-hati dalam kedua-dua rangkap. Hal ini bermakna
sikap berhati-hati harus dipraktikkan dalam kehidupan seharian agar dapat
mengelak sengketa yang akan mengundang kemarahan, pergaduhan dan permusuhan
bukan hanya mengakibatkan kedukaan. Jelas bahawa kita diingatkan agar tidak
mencari masalah atau sengaja berselisih faham dengan pihak lain kerana impaknya
amat besar dalam kehidupan. Kita juga jangan menjadi pengecut jika terpaksa
berhadapan dengan masalah akibat daripada sengketa yang wujud. Oleh itu, sikap
berhati-hati sewajarnya dipraktikkan sebagai petua dalam hidup.
Seterusnya
tentang Ilmu yang seharusnya dituntut
selagi hayat dikandung badan. Malahan ada pepatah mengatakan bahawa tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad. Secara
umumnya ilmu merujuk kepada
pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem
menurut metode yang digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkaitan dengan
ilmu atau pengetahuan tersebut. Oleh itu, usaha menuntut ilmu amat dituntut
dalam kehidupan sebagaimana nilai yang diketengahkan dalam kedua-dua rangkap,
iaitu nilai kegigihan dan kesungguhan. Dalam menuntut ilmu kita disarankan agar
menuntut ilmu yang berguna dan mendatangkan manfaat sama ada untuk diri sendiri
mahupun orang lain. Ilmu yang dapat meningkatkan pengetahuan dan pengalaman
kita juga dapat diperoleh jika kita gigih dan rajin menggapainya. Ilmu yang
diperoleh akan dapat membezakan taraf diri kita dengan orang lain malahan
meningkatkan kebijaksanaan dalam berfikir dan menyumbangkan idea. Kegigihan
memperoleh ilmu merupakan kegiatan terpuji dan meletakkan kedudukan seseorang
pada darjat yang tinggi di sisi
masyarakat selain dapat mencegah kejahilan dan kebodohan. Oleh itu, untuk
mendapat ilmu tersebut maka kesungguhan dan kegigihan amat perlu untuk disemai
dan disuburkan dalam sanubari setiap insan.