Kertas kerja yang dibentang dalam kerja kursus semasa kelas sarjana di UKM-2009/2010. Semoga pembaca hasil penulisan ini mendapat manfaat sekali gus memaknakan perkongsian ini. Penulisan ini lahir daripada penghayatan, pengamatan penulis berdasarkan novel Daerah Zeni buah tangan Sasterawan Negara A.Samad Said.
|
Sekadar hiasan-kenangan d Korea Selatan |
Pendekatan Moral dalam Daerah Zeni
Kajian
ini menggunakan novel Daerah Zeni (DZ) karya Sasterawan Negara
A. Samad Said. Novel ini telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984-1985.
Kemunculan novel ini merupakan satu wawasan baru dalam penciptaan novel Melayu
kontemporari kerana dikatakan menyimpang dari kelaziman khasnya dari segi
teknik penceritaannya dan dikategorikan sebagai novel nouveau roman. Hal ini
demikian kerana novel ini mengetengahkan
suatu konsep tentang penciptaan dan pembinaan novel baru yang berbeza dengan
amalan penulisan konvensional (Fatimah Busu : 1992 : 82). Manakala Kamaruddin
Abdul Rahman (1995: 33), menyatakan bahwa proses penciptaannya penuh dengan
jungkar-balik dan tidak mempunyai plot
yang jelas. Penggunaan latar ruangnya juga
tidak tetap iaitu,
mencampuradukkan pelbagai latar masa seperti masa dahulu, kini dan masa
depan. Novel seperti ini dikatakan rumit dan menyulitkan pembaca untuk
memahaminya kerana sebahagian besar pengolahan teks kelihatan begitu bebas.
Namun yang membezakan teks nouveau roman ini dengan karya-karya konvensional
yang lain hanyalah dari segi teknik penulisannya kerana isi dan pemikirannya
masih berkisar tentang hal-hal kemasyarakatan.
Mana Sikana (1990 : 21) dalam
bukunya Sastera Melayu Moden ; Perubahan
dan Tamadun, menyatakan :
"Daerah
Zeni
suatu eksperimen A.Samad Said yan sangat
berani menentang tradisi penciptaan novelnya
yang dianuti sejak Salina tetapi
pemikiran yang dipokokkan
masih merakyat sifatnya".
Jelaslah
bahawa walaupun novel ini mengalami pembaharuan, namun isi yang disampaikan
masih berkisar tentang isu-isu yang berlaku dalam masyarakat yang dapat dijadikan pengajaran dan
pendidikan serta sesuai dengan latar zaman yang difokuskan pengarang. Kajian ini akan menggunakan pendekatan moral dengan
menganalisis tiga peringkat aspek pendekatan ini iaitu pembicaraan isi karya (tema,
persoalan-persoalan, pemikiran, mesej, motif, falsafah dan premis), aspek moral atau pendidikan (didaktis) dan
nilai karya.
Pendekatan Moral
Menurut
Atar Semi (1984), pendekatan moral bertolak dari dasar pemikiran bahawa sesuatu karya
sastera dianggap sebagai suatu medium yang paling berkesan dalam membina moral
dan keperibadian kelompok sesuatu masyarakat (Rahman Shaari:1994:72). Manakala
Hasyim Awang (1998:9), memberikan pendapat bahawa teori moral timbul daripada
tanggapan dasar bahawa selain menjadi objek alam, sastera juga kejadian alam berupa
penghasilan ciptaan manusia. Di sini kejadian alam tidak lagi dlihat sebagai
kewujudan berbentuk alat atau benda, tetapi kejadian peristiwa yang mengambil
sifat pengalaman hidup. Dengan memiliki sifat sedemikian, sastera berupaya
memberikan manfaat yang lebih jauh dan lebih dalam daripada fungsinya sebagai
benda atau peralatan. Dalam konteks begini, sastera mampu menyingkap dan
memberikan pengalaman kepada manusia. Pengalaman-pengalaman itu biasanya
terdiri daripada dua perkara utama iaitu, peristiwa yang dilalui manusia
(watak) tertentu dan maklumat yang berkaitan dengan manusia dan dunianya
termasuklah kejiwaan, kepercayaan, kebudayaan, kemasyarakatan, kebangsaan dan
persekitaran.
Dalam perkara yang pertama, pembaca
dan pengkritik memahami, turut merasakan, lalu mengkaji pelbagai ragam
perlakuan serta kehidupan manusia yang tergambar dalam karya. Di sini
terpancarlah pelbagai persoalan moral yang dapat diterokai dan dikaji oleh pengkritik.
Bagi maksud ini, pendekatan moral dapat memenuhi sifat kesusasteraan Melayu
yang berteraskan kebajikan dan ketakwaan. Perkara yang kedua pula
memperlihatkan keupayaan dan keistimewaan sastera menjadi sumber ilmu
pengetahuan. Sejak dahulu masyarakat Melayu sering menghubungkait konsep
pustaka dan kepustakaan. Hal ini bermaksud sastera dapat menelurkan pelbagai
pengetahuan, panduan dan nasihat. Berdasarkan tanggapan ini, sastera dapat
dikaji dan dinilai peranan serta kemampuannya yang menjadi gedung sastera yang
menampung ilmu pengetahuan dan pengajaran yang membawa kebaikan kepada manusia.
Pendekatan moral lebih menekankan
kepada penilaian moral dan hubungan budaya iaitu penilaian bercorak agama,
kebudayaan dan falsafah. Penekanan dalam kritikan lebih kepada soal baik
buruknya sesuatu unsur yang terdapat dalam sesebuah karya. Adakah unsur-unsur
itu bertentangan dengan agama, kebudayaan dan falsafah. Unsur-unsur negatif
akan dikecam sebaliknya unsur-unsur yang positif dan membina akan disanjung dan
dipuji.
Sejarah dan Perkembangan
Dalam
kritikan sastera, pendekatan moral ini boleh dianggap tua. Hal ini dapat
dilihat melalui penyataan
Wilbur S. Scott (1962) seperti yang dinyatakan oleh Rahman Shaari (1994 : 72):
Of the various types of criticism practiced
today,
the moral
approach has undoubtedly the longest
history.
Pendekatan ini telah digunakan sejak
dari zaman Greek lagi. Pendekatan ini pernah digunakan oleh Aristotle,
sementara Plato pernah menggunakan pendekatan ini dalam membuat penilaian puisi
pada zamannya. Menurut Mana Sikana (2009 : 371), Plato dalam Republic sudah menegaskan betapa pentingnya
moral dalam sastera dan meletakkan syarat bahawa mesej dan perutusan harus ada dalam sesebuah karya kerana
tanpanya karya itu tidak mempunyai pengertian.
Sasterawan Barat berpendapat bahawa hasil kesusasteraan yang baik
mestilah bermutu, menggambarkan kebenaran dan memperlihatkan kesungguhan yang
tinggi serta sesuai dengan iklim dan amalan masyarakat pada zaman itu. Dalam
tahun-tahun 1950-an, golongan moralis adalah merupakan golongan pengkritik yang
sangat aktif. Antara tokohnya adalah seperti D.H.Lawrence, John Middleon
Murray, G. Ornell, F.R. Leavis, dan T.S.Elliot. Kebanyakan mereka berpendapat
kritikan moral bergantung pada nilai baik dan buruk di mata masyarakat.
Dalam zaman Kegelapan Eropah atau Dark Ages, telah muncul genre Morality Play, yang menceritakan
kisah-kisah nabi daripada Bible, membicarakan tanggungjawab paderi di gereja
dan mengemukakan cara-cara untuk memperbaik perangai manusia (Mana Sikana :2009:371).
Karya sastera khasnya drama pada masa itu memberikan panduan kepada pengkaji
untuk membina teori nilai dan sastera dalam kritikan sehingga prinsip kritikan
ditentukan oleh isi dan moralitinya.
Kemudian muncul zaman Renaissance
iaitu zaman Kebangkitan Eropah yang
meletakkan manusia mempunyai taraf lebih tinggi daripada haiwan dan yang
membezakannya ialah sifat taakulan dan moralnya. Pada zaman ini karya sastera harus menghidupkan
watak yang benar-benar rasional dan bermoral. Oleh itu, terciptalah aliran
humanisme atau kemanusiaan yang meletakkan manusia ialah pusat kehidupan alam
yang bertaraf tinggi dibanding dengan makhluk yang lain. Ketinggian taraf
manusia itu adalah ditentukan oleh moral
dan moral itu
menentukan manusia harus
mempunyai
peraturan, disiplin dan batasnya. Sejak dari itu, humanisme dan moral mulai mendapat perhatian daripada para
pengkritik berpendekatan moral untuk dijadikan dasar kritikan.
Definisi
Moral
Moral
dalam bahasa Latin disebut moralis, mos, moris atau mores merujuk kepada adat,
istiadat, kebiasaan, cara, tingkah
laku, kelakuan, tabiat, watak, akhlak
dan cara hidup
(Lorens Bagus :1996:672). Maksud tersebut mempunyai beberapa pengertian iaitu
moral dihubungkaitkan dengan kegiatan-kegiatan manusia yang dipandang sebagai
baik atau buruk, benar atau salah dan tepat atau tidak tepat. Pengertian lain
termasuklah unsur yang sesuai dengan peraturan atau prinsip yang diterima
berhubung dengan yang benar, adil, cekap dan berkebajikan. Hal ini termasuklah
kemampuan untuk menginsafi yang benar dan salah serta mendidik orang lain
dengan peraturan yang sesuai sama ada tingkah laku itu betul atau salah semasa
berhubungan dengan orang lain. Dengan kata lain, moral ialah unsur mendidik dan
memberi pengajaran yang mempunyai nilai yang baik atau buruk serta menjadi
dasar sesebuah karya sastera.
Aspek moral melalui kesusasteraan
sering dikemukakan oleh pengkritik yang bersikap komited terhadap masyarakat
atau terhadap manusia seluruhnya. Para pengkritik moral berpendapat bahawa
kesusasteraan sesuai dijadikan alat untuk mengajar dan mendidik masyarakat atau
manusia agar menerima nilai-nilai yang baik. Oleh itu, pengkritik akan mencari
nilai-nilai yang baik dalam karya sastera yang dikajinya dan jika nilai itu
amat kurang maka pengkritik akan menegur dan berpesan kepada pengkarya agar
menghasilkan karya-karya yang bermoral pada masa akan datang. Justeru dalam pendekatan ini, sesebuah karya sastera
yang baik itu harus bermoral.
Dalam konteks dunia kritikan
kesusasteraan, ditegaskan bahawa pendekatan moral itu bertolak dari dasar
pemikiran karya sastera itu tanpa mengira genre apa pun dianggap sebagai
sebagai wacana yang ampuh dan efektif dalam usaha membina moral dan
keperibadian sesuatu kelompok masyarakat.
Konsep dan Prinsip
Menurut Muslim Burmat (1999), sebagai hasil sastera, apa jua bentuk
tulisan itu harus
kita bahaskan dalam konteks sastera walaupun yang kita
lihat
adalah
moral. Hal ini subjektif kerana jika karya itu mementingkan stail atau gaya
tanpa moral, isinya hambar dan tidak ada sumbangan kepada bangsa. Oleh itu,
usaha mengarang mesti serius dan mesti lahir dari hati kita sendiri, bukan
main-main. Mudah-mudahan karya itu berguna
kepada bangsa malahan
kepada manusia supaya
manusia berkeadaan baik, berfikiran
baik dan berkelakuan baik serta bertindak baik dan sempurna. Itulah tujuan
sastera yang membentuk moral (Arpan Shahbudin : 1999:93).
Secara
ringkasnya, ada empat konsep dan
prinsip utama kritikan pendekatan moral ini. Pertama, pendekatan moral berpendapat bahawa hasil sesebuah karya sastera adalah
ciptaan
yang harus disanjung dan dimuliakan. Seseorang pengarang bukan sahaja berbakat
tetapi harus mempunyai visi, aspirasi dan perjuangan dalam penyuguhan karya.
Karya yang baik harus bermoral dan keunggulan sesebuah karya bergantung kepada
ketinggian moral dalam karya itu. Karya yang tidak mementingkan moral dianggap
tidak bernilai (Mana Sikana : 2009 : 367).
Prinsip kedua pula berkaitan dengan
pendekatan moral yang mementingkan isi daripada bentuk. Aspek isi ialah cerita
dan persoalan yang menjadi isu semasa. Pendekatan moral melihat karya sastera
sebagai suatu sumbangan ke arah pembentukan masyarakat yang sensitif dengan
zamannya. Perkara yang dipentingkan ialah isi yang hendak disampaikan dan bentuk
hanyalah sebagai alat untuk menyampaikan isi atau moral.
Seterusnya, prinsip pendekatan moral
yang ketiga iaitu menganalisis sastera dari sudut didaktis. Didaktis merujuk
kepada karya sastera yang mengandungi unsur-unsur pengajaran yang boleh menjadi
panduan kepada pembaca. Dalam prinsip ini, kesusasteraan mempunyai
tanggungjawab etika iaitu sebagai alat untuk memperbaik dan meningkatkan nilai
moral masyarakat.
Prinsip yang keempat pula
mengandungi empat dasar melalui pendekatan ini. Dasar yang pertama berkaitan
dengan karya sastera sebagai sumbangan bagi meninggikan tamadun bangsa. Dasar kedua pula untuk membangunkan
aspek-aspek kemasyarakatan. Manakala dasar yang ketiga pula berkaitan dengan usaha
mencemerlangkan aspek pensejarahan sesuatu bangsa. Dasar yang terakhir
adalah untuk memajukan moral atau akhlak secara universal.
Kaedah
Kritikan
Ada
empat kaedah kritikan dalam pendekatan moral ini. Pertama, sesebuah karya itu
haruslah dilihat dari aspek isinya. Aspek isi
merangkumi tema atau isu utama, persoalan-persoalan, pemikiran, mesej,
motif, falsafah atau propaganda dan akhirnya premis. Kesemua perkara yang
meliputi isi karya ini akan dilihat pada peringkat awal kritikan.
Peringkat yang kedua ialah
perbincangan aspek moral karya. Aspek moral ini merupakan pendidikan atau
pengajaran yang hendak disampaikan melalui karya. Perbincangan pada tahap ini
akan menjurus kepada huraian-huraian berdasarkan peristiwa-peristiwa dan
perwatakan watak-watak dengan melihat unsur didaktiknya. Selain itu, latar dan
aspek bahasa juga boleh dibincangkan pada tahap ini untuk melihat moralnya. Setelah
perbincangan perkara-perkara tersebut, baharulah disimpulkan unsur pengajaran
dan pendidikan yang menjadi dasar moral terpenting dalam karya tersebut. Menurut
Mana Sikana (2009 : 377), bahawa perbincangan di sekitar pendidikan atau moral
ini menjadi inti kepada pendekatan moral.
Peringkat yang ketiga pula adalah
perbicaraan tentang nilai karya. Nilai ini berkaitan dengan kebaikan dan
keburukan sesuatu perkara. Nilai karya di sini dapat ditentukan oleh nilai
keagamaan, kemasyarakatan dan nilai-nilai murninya. Dalam hal ini, perbicaraan
juga perlu menentukan harga nilai tersebut berdasarkan isi atau isu yang
dikemukakan dalam karya sama ada nilai isu itu penting atau tidak setelah
dihubungkaitkan dengan aspek kontekstualnya.
Manakala peringkat yang keempat pula
membicarakan kesan atau pengaruh karya tersebut kepada pembaca. Seseorang pengkaji pendekatan moral
ini harus melihat faktor kesan iaitu sama ada moral itu dapat memberi kesan
yang mendalam atau tidak dalam jiwa
pembaca. Kesan itu pula akan dilihat sama ada kesan jangka panjang atau pendek
serta sesuai atau tidak dengan zamannya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa
pendekatan moral ini melihat isi teks dan memberatkan sudut pengajaran, nilai
pengajaran dan kesannya kepada khalayak.
Latar Pengarang
Samad
Said atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said merupakan novelis,
penyair, penulis cerpen, penulis esei/kritikan sastera, penulis skrip drama
pentas dan penterjemah karya sastera. Beliau lahir di Kampung Belimbing Dalam,
Durian Tunggal, Melaka pada 9 April 1935. Sejak kecil lagi (berusia enam bulan)
keluarganya berhijrah ke Singapura. A. Samad Said mendapat pendidikan asas dan
menengah di Singapura, iaitu di Sekolah Melayu
Kota Rajah hingga
lulus darjah IV dan meneruskan pengajian di Victoria Institution. A. Samad Said telah lulus Senior Cambridge (1956) dengan
belajar sendiri.
Minatnya dalam bidang penulisan,
sejak awal lagi telah terkesan. Justeru itu, sekejap sahaja dia bekerja sebagai
kerani di hospital dan kembali kepada dunia penulisan, iaitu sebagai pembimbing
dan penulis untuk Majalah Rumaja.
Rentetan pengalaman pekerjaannya menunjukkan lagi minatnya dalam penulisan,
diawali sebagai penolng pengarang di akhbar Fikiran
Rakyat., enam bulan kemudian menjadi penyunting majalah Mastika. Tumpuannya pada waktu itu lebih
kepada penulisan esei kesusasteraan iaitu tentang pengarang-pengarang Barat,
penulisan puisi, cerpen dan karya-karya terjemahan. Pada sekitar tahun 1960-an,
beliau bertukar kerja di Berita Harian dan dilantik menjadi pengarang
bersama-sama dengan A. Samad Ismail dan pernah dilantik menjadi penolong khas
kepada pengarang kumpulan The Straits Times. Dalam dunia penulisan, genre
terawal yang mula diceburinya ialah puisi. Novel merupakan genre yang
terkemudian diceburi, namun membawa tuah kepadanya setelah novel “Gerhana”
(1958) memenangi sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan diterbitkan
pada tahun 1961 dengan judul Salina.
Beliau menulis hasil dari pengalaman, pengamatan, pembacaan dan penelitian
terhadap hal-hal yang berlaku di sekelilingnya.
Novel karya beliau yang lain adalah seperti Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri (1966), Sungai
Mengalir Lesu (1967), Di Hadapan
Pulau (1978), Adik Datang (1980),
Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1992) dan Cinta
Fansuri (1994). Novel DZ dikatakan lahir daripada cita-citanya,
mimpinya, rumah tangganya, kemahuan dan kebenciannya, kenangannya, sahabat dan
para rakan serta telah bergumul dalam fikirannya sejak menulis novel Langit Petang yang diterbitkan pada
tahun 1982.
Pada tahun 1976, beliau mendapat
penghargaan sebagai Pejuang Sastera daripada Kerajaan Malaysia kerana
pencapaian dan sumbangan dalam memperkaya
dan meninggikan nilai
kesusasteraan Melayu. Tiga tahun kemudian (1979), Perdana Menteri melantik
beliau sebagai salah seorang Panel Anugerah Sastera. Pada tahun yang sama juga
beliau menerima S.E.A. Write Award daripada Raja Thailand. Anugerah Sastera
yang paling tinggi di Malaysia telah dinobatkan kepadanya pada tahun 1985,
iaitu Anugerah Sasterawan Negara. Anugerah ASEAN dari Negara Brunei Darussalam
pula diterima pada tahun 1993. Selain pengiktirafan tersebut, beliau juga
dianugerahi Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1997. Pada
tahun 2003, A.
Samad Said dianugerahi Ijazah Kehormat
Doktor Falsafah (Pendidikan Persuratan Melayu) oleh Universiti Pendidikan
Sultan Idris, Tanjong Malim.
Isi karya
Walaupun
novel ini berlatarkan dua latar masa iaitu sebelum merdeka (melalui manuskrip
Lazri Meon sepanjang dua bab) dan selepas merdeka iaitu sekitar tahun 1980-an namun
temanya adalah tentang perjuangan untuk
meneruskan kehidupan. Perjuangan masyarakat sebelum merdeka adalah perjuangan menentang
penjajah Inggeris yang menakluki Tanah
Melayu. Watak seperti Lazri Meon (hidup dalam dua latar), Hamdar, Raja Dabet,
Dol Zaleh, dan Mardi berjuang untuk membebaskan tanah air daripada belenggu
penjajah. Lazri Meon sendiri terlibat
secara langsung dengan perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dan menganggotai UMNO serta tetap dengan cogan kata “Hidup Melayu” pada
masa perpecahan UMNO. Masyarakat selepas merdeka seperti watak Zeni, Zedi, Lazri Meon, Mohdi
dan Ehran juga digambarkan berjuang meneruskan hidup dengan cara yang
tersendiri agar bebas daripada belenggu masalah yang
memerangkap mereka.
Persoalan atau isu lain dalam novel DZ ialah persoalan kehilangan orang yang
memberi sumber kekuatan dalam hidup. Lazri Meon kehilangan cermin dan sukar
mengenali dirinya sendiri setelah kematian Fatiyah isterinya. Hal ini dapat
digambarkan melalui petikan berikut:
“Dia menjadi cermin tulen kepadaku... Cermin
tulen-ibumu
cermin tulen. Dan tiba-tiba cermin itu tidak
ada. Dan ...aku
...aku terpaksa kembali kepada diriku sendiri.”
(Daerah
Zeni:54)
Petikan
tersebut menjelaskan bahawa Fatiyah dianggap oleh Lazri Meon sebagai cermin
dalam hidupnya. Fatiyah adalah simbol kebahagiaan dan kekuatan Lazri Meon
dan keluarganya.
Kehilangan Fatiyah telah meranapkan hidup Lazri Meon dan dia tiada upaya untuk bertangungjawab
kepada keluarga malahan hilang keyakinan diri. Lazri Meon menjadi penyepi dan
hilang matlamat hidup walaupun sebelum itu dia merupakan pejuang, penulis dan
pendebat yang hebat. Kematian Fatiyah turut menyebabkan aktiviti kehidupan
Lazri Meon menjadi gelap dan beku. Lazri Meon berubah menjadi manusia
pengkhayal dan hidupnya melayani angan-angan dan fantasi sebagai ganti kepada
isterinya. Kedua-dua anaknya iaitu Zeni dan Zedi turut terkena tempias duka
lara Lazri Meon akibat perubahan sikapnya. Mereka tidak dapat menjalani
kehidupan dengan sempurna dan terbiar apabila ketiadaan ibu di sisi mereka. Ayah pula tidak berjaya
mengambil peranan ibu dan masing-
masing
mencari dunia yang tersendiri sebagai ganti kepada dunia yang telah hilang
setelah ibu mereka meninggal dunia.
Pengarang turut memaparkan isu ketandusan kasih sayang dalam novel
ini. Masalah Zeni dan Mohdi adalah
masalah membina kasih sayang. Zeni mengharapkan suaminya iaitu Mohdi sebagai insan yang dapat
memberikan kasih sayang kepadanya sebagai ganti kepada ibunya tetapi keadaan
ini tidak berlaku kerana Mohdi bukanlah tempat yang sesuai untuk Zeni menggantung
kasih. Lazri Meon pula benar-benar ketandusan
kasih sayang apabila isterinya meninggal dunia sehingga dia berada dalam
kekeliruan. Sementara Zedi yang lumpuh terus tidak mendapat kasih sayang
setelah ibunya meninggal kerana ayahnya tidak dapat bertindak sebagai pengganti
ibunya. Ketiga-tiga watak menjadi mangsa ketandusan kasih sayang dan hanyut
dalam arus kekecewaan.
Isu keruntuhan rumah tangga akibat
ketidakjujuran tidak dapat dipisahkan dari novel ini. Keruntuhan rumah tangga
Zeni dan Mohdi menyebabkan Zeni cukup berhati-hati dalam membuat keputusan.
Perkahwinannya dengan Mohdi menelurkan penderitaan yang maha hebat. Usia
perkahwinan sepanjang tiga tahun itu membuat Zeni hidup terseksa kerana sikap
dan perbuatan Mohdi yang kejam dan tidak jujur serta tidak mencintai rumah
tangga. Mohdi telah menipu Zeni sebelum mereka berkahwin tanpa memberitahu yang
dia sudah beristeri. Setelah setahun perkahwinan mereka rahsia itu terbongkar
dan Zeni hidup dalam keadaan menderita
dan penuh kebencian kepada Mohdi. Bagi Zeni, hidupnya bersama Mohdi umpama
dalam neraka dan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian.
Kebencian
Zeni akibat perbuatan Mohdi dapat digambarkan seperti berikut:
“Aku
ingin tembak Mohdi betul-betul di antara dua
keningnya,”
Zeni
berbisik, mengulangi kata-kata Raja Dabet, kecuali “penjajah”
digantikan
dengan “Mohdi” tanpa disedarinya. Dia terbayangkan ...
“Setiap
kali mengingatnya, aku terbayangkan neraka,” bisik Zeni.
(Daerah
Zeni:95)
Di samping itu, pengarang turut
menyuguhkan persoalan memperalatkan orang lain demi kepentingan diri sendiri.
Mohdi mengaku yang dia mencintai Zeni dengan ungkapan ‘pagi petang siang
malam,’ namun semua itu hanyalah alasan kerana dia hanya mahu memenuhi
keinginan nafsunya sahaja. Dia tidak mencintai rumah tangga sehingga mengabaikan isteri tuanya dan dua anak mereka di Perlis. Di Haadyai, Mohdi telah berkahwin dengan
seorang perempuan muda dan menetap di sana sehingga kembali semula untuk mendapatkan
jandanya iaitu Zeni. Mohdi berjuang
untuk mendapatkan Zeni semula dengan menghidupkan hubungan abang ipar-adik ipar
dan mendapatkan maklumat tentang Zeni daripada Zedi. Keegoannya tercabar
apabila mendapat tahu yang Zeni didampingi seorang buruh binaan dan hal ini
meningkatkan lagi keazamannya untuk mendapatkan Zeni dengan apa cara sekali pun
sama ada secara lembut atau kasar. Bagi
Mohdi kejayaan mendapatkan Zeni adalah tanda kemenangan dan kebahagiaan tanpa
mengambil kira perasaan orang lain termasuk mengancam Ehran iaitu jejaka yang
meminati Zeni. Sikap Mohdi yang sedemikian dapat digambarkan melalui petikan
berikut:
Sepanjangnya
menjadi abang ipar, Zedi memang amat pengerti.
Mohdi
tahu ini, dan dia yakin Zedi tetap mengerti itu juga. Dia
menghidupkan
semula hubungan lama adik ipar-abang
ipar itu
dan
kemudian memancing sebanyak-banyak
rahsia dan kisah
bekas
isterinya.
(Daerah Zeni:91)
Isu
lain yang terdapat dalam novel ini ialah kekesalan dan perasaan bersalah
seorang suami kepada isterinya yang telah meninggal dunia. Lazri Meon insaf
akan kesilapannya yang terlalu mengutamakan kongres dan perjuangan sehingga
mengabaikan isteri dan anak-anaknya. Setelah isterinya pergi dia merasakan
perjuangannya hanya sia-sia. Kekesalan ini disedarinya setelah dia kehilangan
orang menjadi pendorong dan pemaham pada perjuangannya. Lazri Meon sedih dan
kesal lebih-lebih lagi apabila dia tidak sempat membawa isterinya ke Mekah
semasa isterinya masih hidup. Dia turut insaf yang dia perlu memikul
tanggungjawab pada anak-anaknya dan bukan sibuk melayani kegementaran hidupnya.
Perasaan bersalah dan berdosa Lazri Meon dapat digambarkan melalui petikan
berikut:
“Aku
benar-benar berdosa. Patutnya
aku tak lebihkan
kongres.
Itu dulu....Aku tak sangka dia akan meninggal....
(Daerah Zeni:123)
Selain itu, pengarang juga memuatkan
persoalan kekuatan dan ketabahan golongan yang cacat dalam menghadapi realiti
dan menerima takdir hidup. Hal ini dapat
dilihat melalui watak-watak penghuni di rumah rawatan pesakit lumpuh seperti
Zedi dan Zirah. Zedi pasrah dengan kakinya yang lumpuh akibat kemalangan dan
tidak menyesali takdir. Malah Zedi mempunyai kekuatan untuk meneruskan
hidupnya dengan cara yang tersendiri
dan tidak mahu ayah dan kakaknya Zeni
ikut menderita. Zedi mahu kakaknya bahagia dengan menerima Ehran sebagai teman
hidup apabila Zeni mahu bertanggungjawab pada Zedi sebagai kakak sehingga
mengabaikan perasaan Ehran. Watak Zirah yang lumpuh juga digambarkan tidak
tunduk pada nasibnya. Zirah tidak meratapi nasibnya malah mengisi masa dengan
membaca buku-buku agama termasuk manuskrip Lazri Meon dan menghadiri syarahan
agama. Zirah memandang hidup dari sudut yang positif iaitu kekurangan bukan
jalan untuk mengalah pada hidup. Orang kurang upaya seperti mereka semuanya
berjodoh seperti hidup dan mati.
Persoalan kepercayaan pada bomoh
turut diselitkan dalam novel ini. Isu ini dapat dilihat dalam manuskrip Lazri
Meon sepanjang dua bab melalui watak anak Asihah dan Mudir iaitu Bajer dan
Rizi. Kedua-dua mereka amat percaya pada
tangkal yang diberikan oleh Bomoh Sakinah yang mempunyai ilmu perbomohan pada
waktu itu. Mereka percaya yang mereka akan selamat dengan memakai tangkal
pemberian bomoh itu. Keadaan ini menunjukkan yang Bomoh Sakinah mempunyai
pengaruh yang kuat dalam masyarakat di sekelilingnya dan amat dipercayai serta
dikagumi. Peristiwa ini dapat dilihat
melalui petikan berikut:
“Ada
tangkal,” jawab Bajer, mencapai dan menunjukkan tangkal
hitamnya. “Kata
Nenek Kinah semua orang takut
tangkal ni.
Bajer
ada tangkal, Rizi ada tangkal.” “Ya, kata bapa jangan takut.
Ada
tangkal ,” Rizi menyokong.
(Daerah
Zeni:85)
Isu kebencian pada
penjajah juga dikemukakan pengarang dalam novel ini. Raja Dabet, Hamdar, Ansan,
Mardi, Murdi dan Dol Zaleh amat membenci penjajah yang menyusahkan hidup
mereka. Mereka terpisah daripada orang yang disayangi kerana kekejaman
penjajah. Hamdar kehilangan ibunya sejak berusia dua belas tahun dan tidak tahu
di mana kubur ibunya. Perasaan dendam dan benci pada penjajah juga digambarkan
pada watak Raja Dabet yang sentiasa berlatih menembak kerana dia mahu menembak
penjajah betul-betul di antara dua keningnya. Kebencian Raja Dabet kepada
penjajah dapat dilihat melalui petikan berikut:
Tangannya
yang erat memegang senapang itu semakin berpeluh,
hatinya
semakin panas. “Aku ingin tembak penjajah betul-betul
tepat
antara dua keningnya,” dia teringat kata-katanya sendiri.
(Daerah Zeni:69)
Isu tuduhan dan fitnah boleh
menganiayai hidup orang lain. Hal ini berlaku pada Dol Zaleh yang dituduh oleh
Bomoh Sakinah telah meracun suaminya Kodri dan mati. Tuduhan Bomoh Sakinah
telah menyebabkan Dol Zaleh mendapat malu dan tidak menetap di kampung itu
kerana ada kalangan penduduk kampung yang percaya pada tohmahan itu. Dol Zaleh
menafikan tuduhan itu kerana baginya perbuatan menyantau dan membunuh itu bukan
perbuatan orang Islam. Tuduhan Bomoh Sakinah adalah bertitik tolak daripada
kepercayaannya yang Dol Zaleh ingin membalas dendam kerana tidak berjaya
mendapatkannya pada zaman muda mereka. Bomoh Sakinah tetap menuduh Dol Zaleh
sampai ke hari matinya. Penafian Dol Zaleh pada tohmahan itu dapat dilihat
dalam petikan berikut:
“Aku
tak gunakan tuju-tuju, aku tak gunakan santau untuk bunuh
Kodri.
Itu hanya fitnah, tohmah. Aku tak bunuh Kodri seperti toh-
mahan
Kinah,” Raja Dabet terdengar-dengar penafian Dol Zaleh
pada Mardi.
“Orang yang beriman, yang takwa pada Allah, tak
guna tuju-tuju,
tak gunakan santau...” Dol Zaleh
terhenti. “Itu
bukan
kerja orang Islam.”
(Daerah Zeni:68)
Novel DZ karya A. Samad Said ini juga mengetengahkan isu galakan membaca
tanpa mengira seseorang itu sempurna atau tidak. Persoalan ini dapat dilihat
melalui watak Lingko iaitu seekor burung kakaktua yang sering menyeru penghuni
ramah pesakit lumpuh agar pesakit lumpuh
membaca dan harus
kuat. Seruan ini sering dijeritkan
Lingko apabila ada pelawat
datang ke tempat itu. Seruan ini sering
diulang Lingko dan diingati oleh penghuni rumah itu seperti Zedi dan Zirah
termasuk Egan walaupun selepas kehilangan Lingko. Lingko sering mengulang
ungkapan berikut:
“Orang lumpuh mesti loncat! Orang lumpuh
mesti baca!”
(Daerah
Zeni:23)
Persoalan keruntuhan akhlak dalam
kalangan generasi muda juga dimuatkan pengarang dalam novel ini. Masalah ini
dapat dilihat melalui watak Zamuri iaitu bekas tunang Zedi yang digambarkan
angkuh dan sombong setelah mendapat pendidikan di luar negara. Zamuri
digambarkan hilang pedoman kerana menganggap hidup terlalu mudah dan menyamakan
kebebasan dengan wang. Bagi Zamuri janji mudah diputuskan dan itu adalah lumrah
dalam kehidupan. Zamuri turut memperalatkan
wanita dengan wang dan mengamalkan cara hidup yang
bebas. Dalam suratnya kepada Zedi, ia telah menyindir kehidupan derita Zedi
akibat lumpuh dan menyakitkan hati Zedi. Bagi Zedi, Zamuri ialah insan yang
tidak tahu perjuangan dalam hidup. Pendidikan tinggi yang diterimanya
menyebabkan dia menjadi insan yang keras dan kasar jiwanya.
Persoalan kebebasan lebih penting
daripada kebendaan turut menjadi isu dalam novel ini. Ehran digambarkan watak
yang memilih kebebasan hidup dengan berhenti kerja menjadi kerani dan menjadi
buruh binaan. Ehran juga tidak sependapat dengan ayahnya sehingga hubungan
dengan ayahnya menjadi renggang lebih-lebih lagi setelah mengetahui ayahnya
berkahwin dengan gadis muda dan ibunya hidup dalam kesedihan. Sejak itu Ehran
tidak mahu mengikut kehendak ayahnya dan menentukan jalan hidupnya sendiri dan
bangga menjadi buruh binaan. Tindakan Ehran menyebabkan ayahnya tidak
membahagikan harta kepadanya dan Ehran tidak menghiraukan wang kerana memilih
kebebasan hidup. Pendirian Ehran dapat dilihat dalam petikan berikut:
Dan
apabila ayahnya cuba menekankan kuasa dengan meminta
janji dan
kesetiaan darinya, Ehran merasa
terkepung, terikat
malah
terpenjara - sesuatu yang tidak digemarinya.
Dan dari
segi
kewangan barangkali dia banyak rugi dan akan terus rugi,
tapi
Ehran lebih menghargai kebebasan.
(Daerah Zeni:60)
Isu mencintai alam sekitar tidak dapat dipinggirkan dalam
novel ini. Watak seperti Mardi, Raja
Dabet, Chenniah, Hamdar dan Asihah
dan Lazri Meon
digambarkan amat menghargai
alam sekitar. Insan-insan ini mempelajari dan mengenal sistem berdasarkan akal
dan rasa semala jadi sehingga menjadi pemikir dan pengamat alam sekitar. Mereka
menghargai sistem alam dari yang kecil sehingga yang besar dan sedar yang
sistem alam itu tidak boleh dimusnahkan walaupun yang kecil seperti rama-rama
dan ulat apatah lagi pokok-pokok. Situasi ini dapat dijelaskan melalui salah
satu petikan dalam novel DZ pada muka
surat 17:
Dan
tiga empat ekor burung terbang lesu dicelah-celahnya,
menambahkan keindahan
jejeran pokok tersebut. Mardi
melepaskan
kapaknya, mengekori burung-burung yang ber-
legar
tenang dan indah dicelah-celah cabang
jejeran pokok
itu. Dia
sungguh terharu. “Pohon-pohon pun bernyawa,”
dia
ingat Mudir, abangnya berkata.
Setelah meneliti persoalan-persoalan
tersebut, maka pemikirannya memperlihatkan moral kehidupan masyarakat Melayu
selepas dan sebelum merdeka yang sarat dengan konflik sama ada dalaman atau
luaran dalam usaha meneruskan kehidupan. Masyarakat Melayu selepas merdeka
diwakili watak-watak seperti Lazri Meon, Zeni, Zedi, Mohdi, Ehran dan Zamuri. Watak-watak
ini mengalami masalah yang tersendiri sehingga sukar menemukan kebahagiaan
dalam hidup mereka. Fikiran dan debat watak seperti Mohdi, Ehran, Zedi, Zeni
dan Lazri Meon jelas menggambarkan dekad atau zaman mereka hidup. Mereka hidup
dalam dekad negara sudah merdeka. Kemerdekaan negara perlu diisi dengan
mempersoalkan masalah diri sendiri, menyelesaikan masalah diri sendiri, mencari
keuntungan diri sendiri, rasa bersalah diri sendiri, perasaan berdosa pada
keluarga sendiri tanpa melihat apa untung dan ruginya orang lain apatah lagi
negara (A. Samad Said : 1991 :16). Misalnya watak Lazri Meon dikatakan mencari
kebahagiaan dalam penderitaan kerana dia sengaja menghanyutkan dirinya dengan
perasaan bersalah atas kematian isteri, kelumpuhan Zedi dan kehancuran rumah
tangga Zedi. Mohdi juga berjuang mendapatkan haknya iaitu Zeni dengan cara yang
tidak direstui Zeni namun Mohdi tetap menyatakan yang dia merupakan saingan
yang berhak untuk mendapatkan Zeni. Manakala masyarakat sebelum merdeka
berkonflik dengan penjajah yang sentiasa memburu dan menakutkan mereka.
Misalnya Hamdar menjadi penghuni gerabak keretapi usang akibat diburu penjajah
dan terpaksa melarikan diri dari kampung serta membakar rumahnya namun tetap
meneruskan perjuangannya bersama-sama rakan yang lain. Watak-watak yang digambarkan dalam manuskrip
Lazri Meon berjuang
menentang
penjajah demi sebuah kebahagiaan dan kemerdekaan. Mereka hidup sandar-menyandar
dan tidak sahaja melihat kepentingan hidup sendiri malah negara. Fikiran-fikiran
mereka menggambarkan zaman atau dekad pada masa penjajahan.
Manakala
mesej yang hendak disampaikan ialah kehidupan harus diteruskan walaupun kita
terpaksa berjuang dengan cara yang tersendiri. Berjuang untuk hidup adalah hak
individu dan hidup itu sendiri adalah perjuangan. Dengan kata lain perjuangan
adalah sesuatu yang mesti jika mahu terus hidup. Misalnya masalah ketandusan kasih sayang, penderitaan dan kehilangan
harus diatasi oleh setiap insan yang menghadapinya. Lazri Meon mengatasi
konflik dalam dirinya dengan menyendiri agar dapat mengenali dirinya di samping
mencari harga diri yang hilang. Manakala
Zedi pula mahu menyelesaikan masalahnya sendiri dengan cara yang tersendiri dan
tidak mahu mendapat simpati serta campur
tangan kakak dan ayahnya walaupun lumpuh kakinya. Zeni pula tetap
menjanda dengan alasan
mahu
menjaga adiknya yang lumpuh dan cuba menangani sikap ayahnya yang berubah
setelah kematian ibunya. Watak-watak dalam manuskrip Lazri Meon sepanjang dua
bab itu pula berjuang dan bersatu untuk menentang penjajah demi sebuah
kehidupan. Hamdar bertindak sebagai perancang dan perencana atas tindakan yang
hendak diambil. Manakala Dol Zaleh pula melatih para pemuda termasuk Mardi
dengan ilmu silat dan Raja Dabet digambarkan sebagai keturunan bangsawan yang
tidak sabar untuk menembak penjajah.
Motifnya pula adalah
untuk menyedarkan masyarakat bahawa
hidup bukan sesuatu yang mudah dan setiap insan harus kuat dan bijak merencanakan
hidupnya. Perencanaan hidup yang tersusun akan dapat memajukan diri dan kita
dapat memberi sumbangan sama ada yang kecil atau besar. Kegagalan dalam
merencanakan hidup menyebabkan manusia terperangkap dalam penyendirian,
kedukalaraan, kemurungan, kerawanhibaan, kemurungan dan keharubiruan seperti
yang dialami watak Lazri Meon setelah kematian isteri yang dianggapnya cermin.
Lazri Meon menjadi pengkhayal dan sukar menghadapi realiti (Shahnon Ahmad :
1986 : 56). Kegagalan dalam mengurus hidup juga menyebabkan seseorang bertindak
di luar batasan norma dan nilai masyarakat demi mencapai hasrat dan tujuan. Selain
itu, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri dalam berjuang untuk hidup
kerana ada insan lain yang memerlukan simpati dan timbang rasa daripada kita.
Manakala falsafah karya ini ialah permasalahan dalam hidup harus diatasi agar
kehidupan itu dapat memberi erti
atau bermakna sama
ada kepada diri sendiri atau
orang di sekeliling. Premisnya
pula ialah setiap orang harus berjuang mengatasi masalah yang dihadapi dengan
cara yang bijaksana dan direstui
masyarakat agar dapat
meneruskan kehidupan.
Aspek
moral atau pendidikan
Aspek
moral atau pendidikan dalam novel DZ
ini akan dikaji melalui peristiwa-peristiwa dan perwatakan watak-wataknya. Peristiwa
penyepian Lazri Meon dan tindakannya menghilangkan diri dari rumah setelah
dihantui perasaan bersalah dan berdosa kepada isterinya sehingga membingungkan
anak-anaknya dapat memberi pendidikan atau pengajaran bahawa seseorang harus
kuat dan tabah dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam hidup. Kita harus
menerima realiti bahawa kehidupan itu bukan sesuatu yang mudah supaya dapat
membebaskan diri daripada masalah yang sering menghantui diri. Pengarang
menggambarkan Lazri Meon sebagai seorang yang takut menghadapi realiti dan
boleh dikatakan sebagai pengecut kerana tidak dapat menghadapi kegetiran ujian
selepas Fatiyah meninggal dunia. Pada saat dirinya menghadapi hari tua dan
anak-anaknya memerlukan kasih sayang dan
perhatian daripadanya,
dia terus menyendiri,
merintih dan hidup
dalam penyesalan
dan keterasingan. Situasi ini turut
menyampaikan moral bahawa setiap tindakan yang hendak diambil perlu difikirkan
kesannya kepada diri dan orang lain.
Selain itu, peristiwa keruntuhan
rumah tangga Zeni dengan Mohdi dan
penderitaan Zeni selama hidup bersama Mohdi yang tidak jujur menyampaikan moral
yang penting kepada khalayak pembaca. Moralnya setiap perhubungan sama ada
hubungan kekeluargaan mahu pun perkahwinan haruslah berlandaskan kejujuran
kerana kejujuran amat penting untuk meraih kepercayaan daripada orang lain. Tanpa
kejujuran, kepercayaan sukar untuk diraih malahan kita akan dipandang rendah
oleh masyarakat yang mementingkan budaya ini dalam kehidupan. Penipuan dan
sikap panas baran Mohdi menyebabkan Zeni hidup menderita seperti dalam neraka
dan menganggap kata-kata Mohdi seperti pelakon yang berlakon di pentas teater.
Perbuatan Mohdi itu menyebabkan keruntuhan rumah tangga mereka dan Zeni tidak
dapat menerima Mohdi semula walaupun
dipujuk dengan pelbagai cara. Penolakan Zeni daripada menerima Mohdi memberi
pengajaran kepada pembaca bahawa tidak semua kehendak kita akan tercapai di
dunia ini walaupun kita menggunakan kekerasan. Kekerasan bukan jalan
menyelesaikan masalah kerana cara ini akan menambah kebencian dan penutup
pada
jalan penyelesaian serta bukan budaya dalam masyarakat kita.
Peristiwa atau kisah manusia lumpuh
menghadapi kehidupan mereka dengan tenang dan tabah menyampaikan pendidikan bahawa kita
harus pasrah pada takdir dan bersyukur
kerana
masih diberi peluang untuk hidup walaupun kurang sempurna. Watak-watak yang
lumpuh digambarkan pengarang memandang hidup secara positif dan mempunyai
kekuatan dalaman. Zedi dan Zirah tidak pernah menyesali akan takdir atau
menyalahkan sesiapa atas musibah yang menimpa hidup mereka dan terpaksa
menjalani rawatan di rumah pesakit lumpuh itu. Moral ini dapat memberikan
semangat kepada mereka yang senasib dengan Zirah dan Zedi dalam menghadapi
kehidupan sebagai insan lumpuh. Hal ini turut mengajar pembaca agar menghargai
kehidupan ini kerana kehidupan adalah anugerah yang amat bermakna dan beerti.
Oleh itu, kita akan berjuang demi meneruskan kehidupan jika kita menerima
takdir dengan redha.
Di samping itu, peristiwa tohmahan
dan tuduhan Bomoh Sakinah terhadap Dol Zaleh menyampaikan moral yang tidak
kurang pentingnya kepada khalayak pembaca. Dol Zaleh
terpaksa
meninggalkan kampung halamannya dan hidup terasing daripada rakan-rakannya yang
lain akibat fitnah itu. Moralnya perbuatan memfitnah dan membuat tohmahan harus
dielakkan kerana perbuatan itu bukan sahaja menganiayai orang lain tetapi
adalah salah di sisi agama Islam. Orang yang suka memfitnah ialah orang yang
terpesong akidahnya dari landasan agama kerana perbuatan itu merupakan dosa
besar dan perbuatan ini amat buruk di mata masyarakat. Malahan dalam agama
Islam perbuatan memfitnah lebih besar dosanya daripada membunuh. Moral ini
kekal sehingga ke akhir zaman bukannya pada zaman itu sahaja. Dalam agama Buddha,
perbuatan memfitnah juga merupakan suatu dosa dan termasuk dalam lima larangan
utama ajaran agama itu dan sesiapa yang memfitnah akan mendapat balasan dalam
pelbagai bentuk. Jelaslah bahawa perbuatan memfitnah itu harus dijauhi oleh
setiap orang supaya kita dapat hidup dalam suasana yang harmonis dan tidak ada
insan yang teraniaya.
Peristiwa penentangan dan kebencian
masyarakat sebelum merdeka kepada penjajah yang dipaparkan pengarang dalam
novel ini menyampaikan moral yang amat besar dan bermakna kepada masyarakat.
Moralnya kita harus berjuang membela tanah air dengan menentang penjajah supaya
dapat hidup bebas dan merdeka. Orang Melayu dalam novel ini bersatu menentang
penjajah yang kejam dan mengancam ketenteraman hidup mereka.Namun ada orang Melayu
yang menjadi tali barut Inggeris
dalam kesibukan sebahagian lagi merancang
penentangan. Golongan yang menentang ini menggambarkan semangat dan cita-cita mereka
yang besar untuk kepentingan tanah air. Kehidupan yang daif tidak mematahkan
semangat
juang mereka untuk menentang penjajah malahan mereka giat mempelajari ilmu silat
dan ilmu batin sebagai usaha menentang penjajah yang mempunyai senjata api yang
lengkap. Semangat juang yang tinggi ini harus disemai dalam diri masyarakat
tanpa mengira zaman kerana semangat ini akan melahirkan generasi yang tidak
mengalah pada sebarang penindasan dan penjajahan walaupun pada era kita sudah
merdeka.
Peristiwa watak seperti Lazri Meon,
Mardi, Mudir termasuklah Mohdi yang mengagumi dan mencintai alam sekitar di
sekeliling mereka dari yang kecil sehingga yang besar menyampaikan moral bahawa
kita harus menghargai makhluk lain yang bernyawa kerana alam, haiwan dan
manusia saling berkaitan dan bersebatian antara satu sama lain untuk meneruskan
kelangsungan hidup. Misalnya watak Chenniah dan dua ekor burung gagak
menggambarkan hubungan manusia dan haiwan yang amat rapat dan Chenniah
digambarkan hilang bersama-sama hilangnya kedua-dua ekor burung
gagak itu. Moralnya
juga
benda yang sekecil manapun ada gunanya kepada kehidupan manusia. Pengajaran
daripada peristiwa ini akan dapat menyedarkan pembaca khasnya generasi muda,
pemaju, dan pihak yang berkaitan agar menghargai dan menyayangi alam sekitar. Pembangunan
haruslah dirancang untuk mengelak kemusnahan walaupun pembangunan itu perlu. Hal
ini kerana masalah kemusnahan alam sekitar merupakan isu global yang perlu
ditangani untuk menjaga keseimbangan alam sekitar dan mengurangkan pencemaran.
Moral ini juga dapat mendidik generasi muda agar menyayangi dan menghargai alam
sekitar.
Aspek didaktik atau pengajaran novel
DZ juga dapat dicungkil melalui watak
dan perwatakan dalam novel ini. Watak pertama yang dilihat dalam kajian ini
ialah watak Zeni. Zeni mempunyai sikap tidak mudah mengalah pada kehendak orang
lain atau tidak termakan pujukan. Misalnya Zeni tidak tunduk dengan kehendak
Mohdi yang mahu kembali semula kepadanya. Ancaman dan ugutan Mohdi tidak
melemahkan semangatnya dan dia tidak berganjak dari keputusannya menolak Mohdi.
Malahan kegagalan rumah tangganya bersama Mohdi telah menjadikan dia seorang
yang berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menerima Ehran yang digambarkan
jujur dan tidak mempersoal kejandaan Zeni. Zeni menjadi seorang yang bijak,
tidak terburu-buru, waras, melawan, pandai berhujah dan defensif bagi mengelak
dirinya daripada mencecapi jadam rumah
tangga bagi kali kedua.
Moralnya
seseorang haruslah berhati-hati dalam membuat
keputusan kerana kesilapan
membuat
keputusan dapat memusnahkan masa depan. Pengajaran ini sangat penting kerana hampir setiap hari kita membuat
keputusan dalam menentukan arah kehidupan kita. Dalam membuat keputusan, kita
juga memerlukan pendirian yang tegas supaya keputusan yang dibuat tidak diperkotak-katikkan
oleh orang lain. Kebijaksanaan dan sikap berhati-hati Zeni ini perlu dicontohi
dan dibudayakan dalam kehidupan masyarakat yang sezaman dengannya dan
masyarakat pada akhir zaman.
Watak Zedi yang lumpuh diberikan
pengarang kekuatan dalaman yang luar biasa dalam mengharungi hidupnya. Kaki
yang lumpuh dan terpaksa berkerusi roda, kehilangan ibu, kehilangan tunang,
gangguan Mohdi terhadap kakaknya, perubahan sikap ayahnya dan cemuhan Zamuri
kepadanya tidak meninggalkan kesan kepadanya. Malahan Zedi berpendapat yang
penderitaan tidak patut dikongsi oleh semua orang dan dia tidak mahu dimanjakan
oleh kakaknya. Zedi mahu kakaknya berkahwin dengan Ehran agar dapat menemukan
kebahagiaan hidup dan tidak
payah risau akan dirinya yang telah
menerima
kelumpuhan
dengan pasrah dan sebagai takdir yang tidak dapat dihindarkan. Pengarang
menggambarkan Zedi lebih realis dalam menerima kenyataan hidup dan menasihati
kakaknya agar tidak mengalah pada apa sahaja keadaan. Moralnya kita harus cekal
dan pasrah menerima takdir hidup. Keredhaan menerima takdir akan memberi
kekuatan dalaman kepada kita untuk berjuang meneruskan kehidupan. Kecekalan
watak Zedi menghadapi segala kekusutan dan masalah dengan caranya sendiri bukan
sahaja dapat memberi kekuatan kepada golongan senasib malah mereka yang sempurna
sifatnya. Dengan kata lain, kehidupan harus diteruskan kerana kehidupan itu
amat berharga.
Pengarang novel ini turut memberikan
moral yang positif melalui watak Ehran. Ehran digambarkan seorang pemuda yang
jujur dan ikhlas pada pandangan mata Zeni dan berterus terang tentang
keinginannya untuk menjadikan Zeni itu isterinya walaupun Zeni itu diumpamakannya
sebagai wanita yang tidak berpintu dan bertingkap. Ehran tidak mempersoalkan
kejandaan Zeni walaupun Zeni sering mengingatkannya tentang hal itu malah
melihat keajaiban dalam diri Zeni sebagai wanita. Moralnya sikap jujur dan
ikhlas kepada orang lain akan memudahkan seseorang mendapat kepercayaan dalam
usaha mencapai sesuatu yang diingini.
Moral ini penting dalam kehidupan manusia kerana manusia yang ikhlas dan
jujur bilangannya agak kecil di dunia ini. Kita harus
mempertahankan sikap ini
dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Ehran juga digambarkan mempunyai
falsafah hidup yang tersendiri iaitu orang yang berilmu adalah orang yang besar
dan dia mahu memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan dengan membina
bangunan menggunakan tangannya sendiri. Ehran melihat penglibatannya sebagai
suatu cita-cita membina bangsanya dan mahu menyumbangkan sesuatu yang lebih
besar untuk bangsanya. Oleh itu, dia telah berhenti kerja sebagai kerani dan
menjadi buruh binaan. Moralnya kita harus memberi sumbangan kepada bangsa dan
negara tanpa mengambil kira peranan itu kecil atau besar. Mereka yang
berperanan sebagai buruh binaan walaupun berjawatan kecil tetapi memberi
sumbangan yang besar kepada negara dan bangsanya dalam pembangunan. Situasi ini
akan dapat menyedarkan masyarakat khasnya generasi muda yang hanyut dengan arus
pemodenan supaya memberikan sumbangan yang bermakna kepada bangsa dan negara.
Watak Fatiyah yang hanya muncul
melalui fantasi Lazri Meon digambarkan dengan amat berkesan dan berpengaruh
dalam novel ini. Kekecewaan, kesedihan, keterasingan, kehilangan kasih sayang
dan kehilangan cermin termasuk
matlamat hidup seperti
yang
dialami
oleh Lazri Moen adalah penangan watak Fatiyah yang telah tiada. Fatiyah adalah
simbol keharmonian dan kebahagiaan, sumber perjuangan, pelindung dan pemaham
bagi Lazri Meon dan anak-anaknya. Kematian Fatiyah telah meranapkan keluarga
ini sehingga terpaksa berjuang untuk meneruskan hidup dengan cara tersendiri.
Lazri Meon amat berdosa kepada Fatiyah dan sentiasa menyesali perbuatannya yang
mengabaikan isteri dan anak-anaknya kerana mengutamakan perjuangan. Moralnya di
sini ialah kita haruslah menghargai pengorbanan seseorang itu semasa
keberadaannya di sisi kita kerana kelewatan menyedarinya akan membuatkan kita
menyesal. Moral ini mengingatkan setiap insan bahawa jangan leka dan lupa pada
orang di sisi kita walaupun kita mempunyai tugas yang besar kerana
kehilangannya akan membuat kita menyesal suatu hari nanti. Hal ini bersesuaian
dengan pepatah lama dalam kehidupan masyarakat iaitu ‘sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna’.
Lingko yang merupakan watak bukan
manusia dalam novel ini turut menyampaikan moral yang positif. Lingko
digambarkan peka akan alam di sekelilingnya sehingga timbul niat untuk memberi
nasihat. Suara Lingko ialah suara pengarang untuk menggalakkan masyarakat
membaca pada dekad mengisi kemerdekaan. Seruan ini diulang beberapa kali dalam novel ini
melalui watak Lingko iaitu “Orang lumpuh mesti loncat! Orang lumpuh mesti
baca!”. Moralnya setiap orang
harus
membaca kerana amalan membaca
akanmenambahkan ilmu pengetahuan
tanpa mengira orang itu sempurna atau tidak. Amalan membaca samalah seperti
kita menuntut ilmu yang perlu dilakukan sepanjang hayat untuk meningkatkan
kecelikan dan tahap pendidikan. Amalan dan galakan membaca sudah menjadi agenda
nasional dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Satu lagi moral yang
ingin disampaikan Lingko ialah golongan yang kurang bernasib baik harus kuat
dan cekal dalam menghadapi hidup. Kedua-dua moral ini sangat penting dalam
kehidupan setiap insan yang mahu maju
dan berjuang meneruskan hidup.
Novel ini tidak
ketinggalan dalam melantunkan moral yang negatif melalui watak Mohdi dan
Zamuri namun dapat memberi sempadan kepada pembaca yang sikap-sikap negatif
tidak harus diikuti dan dicontohi. Mohdi digambarkan sebagai seorang yang degil
dan mahu mendapatkan sesuatu secara paksa tanpa memikirkan perasaan orang lain.
Mohdi sanggup bergaduh, mengancam dan mengugut demi kemenangan mendapatkan
bekas isterinya. Oleh itu, Mohdi telah mengugut Ehran agar melepaskan Zeni dan menggertak Zeni
yang
dia masih saingan yang hak untuk mendapatkan Zeni. Keegoannya tercabar apabila
dia tahu Ehran hanyalah seorang buruh binaan dan dia tidak akan mengalah dengan
seorang buruh binaan. Mohdi menilai seseorang melalui status tanpa memikirkan
masih ada manusia di alam ini yang mementingkan kesucian hati. Mohdi juga
memandang rendah pada wanita dan menganggap wanita seperti bola yang harus
dikejar jika mahu mendapatkannya. Dia juga sanggup menggunakan jalan kotor demi
mendapatkan wang iaitu dengan menipu pihak tertentu. Pengarang melukiskan Mohdi
ini sebagai insan yang tidak bermoral dan falsafah hidupnya adalah kemenangan
harus dicapai walau dengan apa cara pun. Prinsip yang negatif ini bertentangan
dengan budaya dan norma dalam masyarakat. Namun pengarang tidak memberikan
hukuman kepada watak Mohdi yang banyak menyakitkan dan
membuat hidup wanita menderita. Bagaimanapun penolakan dan pengukuhan sikap
melawan dan tidak mengalah Zeni merupakan
hukuman pada watak Mohdi. Zedi
turut menyokong kakaknya agar jangan mengalah pada apa jua keadaan termasuk
menuruti kehendak Mohdi. Jadi Mohdi tidak akan dapat memiliki Zeni semula
kerana kemungkinan Zeni akan menerima Ehran. Tambahan pula Lazri Meon sendiri
menyuarakan kebanggaannya pada Ehran walaupun seorang buruh binaan dan situasi
ini menggambarkan yang peluang Mohdi memang tertutup untuk memiliki Zeni
semula. Perwatakan Mohdi ini mengantar pengajaran bahawa perbuatan jahat harus
dielakkan kerana perbuatan itu pasti akan mendapat balasan suatu hari nanti dan
perbuatan
ini melanggar norma-norma dan nilai dalam masyarakat yang berbudaya mulia.
Watak Zamuri dalam novel ini
dibiarkan pengarang lepas bebas dengan cara hidupnya yang tidak bermoral. Zamuri
yang menuntut di luar negara digambarkan cepat terpengaruh dengan cara hidup
masyarakat Barat dan hilang pedoman. Oleh itu, Zedi menggambarkan watak Zamuri
sebagai manusia yang berubah sebelum keadaan berubah dan dia cepat diwarnakan
oleh keadaan. Ilmu pengetahuan yang dituntutnya
menjadikannya bongkak dan tidak berperasaan. Walaupun berpendidikan
tetapi tidak membangun dari segi akhlak dan sahsiah sebaliknya mengalami
keruntuhan akhlak dan moral. Watak ini tidak memiliki perasaan halus seperti
simpati, bertimbang rasa dan dukacita kerana jiwanya sudah menjadi kasar dan
berkarat oleh materialisme. Zamuri menyamakan wang dengan kebebasan dan memperalatkan wanita yang mahukan kemewahan
hidup. Perbuatan Zamuri dalam novel ini bukan sahaja bertentangan dengan budaya
malah bercanggah dengan ajaran agama Islam. Watak Zamuri langsung tidak
mendapat sedikit pun hukuman dan pengarang membiarkan watak ini hilang pedoman
hidup dan tiada keimanan.
Situasi ini berkaitan dengan realiti kehidupan di
dunia ini yang tidak semua kejahatan yang dilakukan akan mendapat balasan
dengan segera. Hal ini demikian kerana dalam ajaran Islam, jika seseorang yang
jahat itu tidak mendapat balasan di dunia, maka dia tidak akan terlepas
daripada balasan di akhirat nanti. Moralnya
di sini setiap perbuatan jahat akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat
nanti kerana semua perbuatan manusia akan dihisab sama ada yang baik atau
buruk. Moral ini dapat mengingatkan dan
menyedarkan pembaca agar menjauhi perkara yang keji dan bertentangan dengan
ajaran agama dan kita harus ada pegangan dalam hidup walau di mana kita berada.
Manakala watak Raja Dabet, Hamdar,
Lazri Meon dan Mardi digambarkan mempunyai semangat juang yang tinggi dalam
mempertahankan tanah air dan menentang penjajah. Lazri Meon sendiri berkorban
dan sibuk dengan perjuangannya menuntut kemerdekaan melalui UMNO. Raja Dabet,
Hamdar dan Mardi yang mewakili masyarakat pada zamannya bersatu menentang
penjajah dengan merancang proses penentangan mereka dengan teliti. Watak-watak
yang biasa dan kecil ini berjiwa besar dan diberikan pengarang kelebihan yang
luar biasa untuk meneruskan perjuangan mereka menentang penjajah. Sikap begini
dipandang tinggi dalam budaya masyarakat kita kerana mempunyai sumbangan yang
besar kepada tanah air. Pengajaran yang dapat kita simpulkan daripada
perwatakan watak-watak ini ialah semangat
juang yang tinggi menentang penjajah harus ditanam
dalamsanubari
setiap orang agar kita dapat menjadi bangsa yang bebas dan merdeka. Moral yang murni ini harus dibudayakan dan
disemai kepada setiap anak bangsa supaya dapat menyedark an mereka dan
meningkatkan semangat cinta akan tanah air.
Watak-watak seperti Pon Raini dan
Maneerah misalannya, walaupun berperanan kecil dalam novel tetapi mempunyai
cita-cita dan cita rasa. Pon Raini merupakan ketua badan belia dan pernah
bergiat membantu calon pilihan raya serta bercita-cita untuk bertanding dalam
pilihan raya. Manakala watak Maneerah pula merupakan penghidup tempat menunggu
bas kerana suka membaca rakaman seseorang untuk dirinya. Moralnya kepada masyarakat
ialah siapa pun kita, maka harus memberi sumbangan kepada bangsa dan negara
daripada menjadi pengkhianat bangsa. Moral ini amat sesuai disuguhkan kepada
pembaca khasnya pada zaman kita dituntut mengisi kemerdekaan.
Rumusannya, dasar moral atau pendidikannya
ialah setiap insan harus bangkit dari belenggu dan masalah kehidupan semalam
agar terus cekal, kuat dan maju seiring dengan pembangunan negara yang sezaman dengannya serta dapat memberikan sumbangan yang bermakna. Kita tidak boleh
terus berkhayal memikirkan kesudahan nasib tetapi harus meningkatkan
keyakinan dan jati diri agar hidup lebih bermakna dan beerti. Namun dalam usaha
meneruskan perjuangan hidup, kita tidak boleh memikir dan mementingkan diri
sendiri sahaja sehingga lupa landasan, moral, dan pegangan dalam hidup. Dalam
negara yang baru berkembang selalunya masyarakat keliru tentang norma sehingga sukar memilih yang mana betul dan
salah. Anggota masyarakat hilang pegangan sehingga tidak segan silu melakukan
perbuatan keji dan menghalalkan cara (Abdullah Hussain :1997:141). Kita
memikirkan perasaan kepentingan orang lain serta tidak leka dengan tanggungjawab
terhadap alam sekeliling kerana manusia dan alam saling bergantungan untuk
kelangsungan hidup. Moral-moral yang terkandung dalam novel ini memberi
pengajaran yang bermakna kepada anggota masyarakat khasnya pembaca.
Aspek nilai karya
Aspek
nilai karya akan dilihat berdasarkan nilai keagamaan,
kemasyarakatan, nilai murni dan
isu yang mempunyai nilai yang tinggi dalam karya ini. Nilai keinsafan dimuatkan pengarang dalam
novel ini. Lazri Meon digambarkan insaf akan kesilapannya yang lalu. Dia pernah
menghalang Zed dan
mahu memilih jodoh untuk Zedi. Tindakan Lazri Meon
ini dibayangi
oleh budaya masyarakat Melayu pada zaman dahulu yang menentukan jodoh untuk
anak-anak mereka. Namun setelah keretakan rumah tangga Zeni, dia insaf dan memberi
peluang untuk anak-anaknya memilih sendiri. Lazri Meon mengaku yang dia tidak
mampu menyelami hati generasi muda dan memberi kebebasan kepada anak-anaknya
memilih jodoh mereka. Dia juga insaf bahawa hidup bukan sesuatu yang mudah dan
mesti kuat untuk menghadapinya. Hal ini terbukti melalui kata-kata Lazri Meon
dalam petikan berikut:
Tapi,
sehari kemudian Lazri Meon juga yang kelihatan cuba tegap
dan
sedikit tenang berkata:
“Semua akan berakhir begini. Kita
mesti
sentiasa insaf
hidup bukannya senang
seluruh. Bila-bila
masa
ada kekalahan. Kita mesti kuat.”
(Daerah
Zeni:109)
Keinsafan
watak ini menggambarkan berlakunya
perubahan dalam dirinya untuk mempunyai kesedaran dan kekuatan menghadapi
masalah dalam hidup.Oleh itu, setiap insan yang melakukan kesilapan harus
insaf. Nilai ini dapat mengajar pembaca agar menginsafi setiap kesalahan yang
dilakukan kerana amalan ini amat terpuji
dan mulia di sisi masyarakat.
Ada pihak yang berpendapat bahawa
pengarang novel ini meringankan peranan agama dan bebas dari segi kepercayaan
dan akidah. Namun hal ini disangkal oleh A. Samad Said dalam bukunya Bersama Samad ke Daerah Zeni pada halaman 140-141:
“Saya
tak ingat, siapa itu, pernah mengatakan bahawasanya
Lazri
Meon itu seorang yang kacau, yang tidak
dapat kembali
ke
agama. Insan-insan saya tidak cuba untuk kembali kepada
Tuhan
dan agama. Tapi itu tidak benar, sebab
bagi orang yang
berkata
begitu , kembali ke agama itu harus
kembali dan ditun-
jukkan
langkah satu persatu, tapi bagi saya dengan imbasannya
sudah mencukupi.
Lazri Meon seorang yang
sembahyang
sebenarnya”.
Petikan
tersebut jelas membuktikan bahawa novel ini ada memaparkan
nilai ketakwaan dan
beribadat
kepada Allah. Lazri Meon digambarkan bersolat semasa mengunjungi
Zeni di
rumah.
Semasa menyepi, dia tinggal di rumah kawannya di sebelah madrasah dan membaca
kitab-kitab
agama lama dan baru. Madrasah itu ialah tempat untuk belajar agama dan sudah
pasti Lazri Meon ada mengikuti kelas agama di situ. Manakala watak-watak seperti Zeni, Zedi,
Hamdar, Mardi dan Dol Zaleh kecuali Bomoh Sakinah yang sedang nazak, Mohdi dan
Zamuri digambarkan membaca kitab-kitab agama, membaca surah yassin dan
berpuasa. Pengarang menyampaikan nilai ini dengan gaya yang santai
dan
tidak dipaksa-paksa untuk
memberikan moral yang baik kepada pembaca. Jelasnya pengarang tidak
meminggirkan nilai-nilai keagamaan dalam karyanya. Nilai ini memang amat sesuai
dimuatkan dalam kisah masyarakat yang penuh dengan masalah dan kecelaruan dalam kehidupan kerana salah
satu jalan penyelesaian untuk mencari kekuatan dalaman adalah dengan beribadat dan berdoa
kepada Yang Berhak. Nilai ini dapat mengajar pembaca dan masyarakat supaya memperkukuh
kepercayaan beragama dengan tergilapnya
sikap-sikap ikhlas,taat dan takwa serta sedar adanya Pencipta.
Nilai kecekalan dan ketabahan dalam
menghadapi ujian hidup yang getir dikemukakan pengarang dengan jelas dalam
novel ini. Situasi ini merujuk kepada watak-watak yang menghuni rumah pesakit
lumpuh seperti Zedi, Zirah dan Egan yang cekal dan tabah menjalani kehidupan seharian dengan berkerusi roda.
Mereka pasrah dengan takdir dan saling mengambil berat antara satu sama lain
walaupun keadaan hidup mereka menderita. Nilai ini juga dapat dilihat pada
watak Zeni yang bangkit semula daripada penderitaan yang dicipta oleh Mohdi
bekas suaminya. Watak seperti Hamdar juga cekal dan tabah kerana telah
kehilangan ibunya sejak berusia dua belas tahun dan tinggal di hutan bersama
ayahnya dalam usia itu kerana diburu penjajah. Kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi ujian seperti ini
dapat
mengajar pembaca agar tabah dan berjuang
untuk hidup dengan cara yang direstui. Pembaca akan dapat menjadikan penderitaan
dan masalah dalam hidup sebagai rencah kehidupan dan berjuang melepaskan diri dari segala
penderitaan tersebut.
Masyarakat dalam manuskrip Lazri
Meon walaupun setakat dua bab, menggambarkan masyarakat yang bersatu dan
bekerjasama dalam usaha meneruskan perjuangan untuk hidup dan berjuang
menentang penjajah. Dengan kata lain wujudnya nilai kerjasama dalam masyarakat
tersebut. Walaupun mereka hidup dalam zaman penjajahan tetapi mereka tidak
mengabaikan kebajikan dan keselamatan masyarakatnya dan sentiasa mengambil
berat antara satu sama lain. Mardi misalnya sering mengunjungi Asihah
dan dua anaknya semasa Murdi
pergi
bertapa menuntut ilmu. Zedi dan Zeni
juga kadang-kadang berbincang
tentang
perubahan
sikap ayah mereka dan mereka berusaha menyelami dan memahami ayah mereka melalui
skrip sepanjang dua bab itu. Situasi ini menggambarkan ada kerjasama antara
mereka untuk membantu ayah yang kehilangan keyakinan diri. Nilai ini amat
penting dalam masyarakat dan berkaitan dengan peribahasa “berat sama dipikul dan
ringan sama dijinjing,” dalam
masyarakat Melayu. Amalan kerjasama akan dapat memudahkan yang susah dan meringankan
beban yang ditanggung oleh sesuatu kelompok masyarakat atau individu. Nilai ini
turut mengajar pembaca menjadi orang yang sensitif terhadap sesama insan,
masyarakat dan negaranya serta sedia bekerjasama dan berkorban mempertahankan
tanah air.
Selain itu, nilai maruah diri juga
diserapkan dalam karya ini. Lazri Meon menanamkan semangat serikandi dalam diri
anak-anaknya agar tidak menjadi hamba atau mangsa penindasan. Peristiwa ini
dapat dilihat dalam petikan berikut:
Ketika
kecilnya juga, Zedi masih teringat bagaimana ayahnya
menanam
semangat serikandi pada mereka
dua beradik –
jangan
dibiarkan diri menjadi
dayang atau hamba, katanya.
jadilah
wanita yang sedia berganding bahu “boleh ke dapur,
boleh
ke lumpur, boleh bertempur sebelum ke kubur”(kata-
kata
ayahnya sendiri).
(Daerah Zeni:108)
Petikan
tersebut menggambarkan bahawa kita harus menjaga maruah diri kita agar tidak
diperlekeh orang lain sesuka hati dan sebaik-baiknya kita harus menjadi manusia
yang serba
boleh
iaitu dapat memberi sumbangan serta dapat berjuang untuk kepentingan bangsa.
Nilai ini dapat mengajar pembaca agar menjaga maruah diri dan memikirkan
bentuk-bentuk sumbangan yang dapat memberi manfaat kepada pihak lain. Nilai ini
dapat mengangkat maruah sesuatu bangsa dan melahirkan bangsa yang bermaruah.
Novel DZ ini dapat dikatakan mempunyai nilai karya yang tinggi. Hal ini
demikian kerana karya ini juga mengutarakan nilai moral yang penting kepada
bangsa dan negara. Galakan atau seruan amalan membaca yang telah dibincangkan
di bahagian isi karya dalam novel ini
merupakan isu nasional di negara kita. Setiap tahun kerajaan akan mengadakan
‘Bulan Membaca’ dan kempen untuk
menggalakkan masyarakat membaca supaya dapat menjadi masyarakat yang berilmu. Pihak
Kementerian Pelajaran pula mewajibkan Program NILAM di setiap sekolah dalam
usaha menggalakkan generasi muda membaca. Hal ini demikian kerana orang yang
berilmu akan dipandang tinggi dan dikatakan ‘orang besar’ kerana ketinggian ilmunya. Isu moral
ini dapat memberi
kesedaran kepada masyarakat bahawa
amalan membaca adalah amalan yang mulia. Tambahan pula di dalam Al-Quran ada peristiwa Jibrail
menyuruh Nabi Muhammad (s.a.w) yang tidak tahu membaca itu mengikutinya. Itulah
titik permulaan
ilmu
moral
dunia mutakhir yang diturunkan
oleh Allah
subhanahu wa taala kepada Muhammad, Rasul-nya (Abdullah Hussain : 1997 : 116).
Hal
ini memberi panduan kepada kita betapa
pentingnya amalan membaca untuk mendapatkan ilmu dalam kehidupan manusia pada
akhir zaman kerana amalan ini dapat meningkatkan keintelektualan dan kewarasan seseorang.
Isu moral lain yang mempunyai nilai yang tinggi ialah isu alam
sekitar yang diketengahkan melalui sikap cinta akan alam sekitar melalui
watak-watak dalam karya ini. Isu ini bukan sahaja menjadi isu nasional tetapi
telah menjadi isu penting di peringkat global. Setiap tahun masalah alam
sekitar dibincangkan dan kempen-kempen diadakan untuk menanam nilai cinta akan
alam. Misalnya kerjasama serantau
diadakan antara Malaysia dan Indonesia
dalam usaha mengatasi masalah pencemaran akibat jerebu. Malahan piak
Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan subjek Alam Sekitar di sesetengah sekolah untuk mendidik generasi muda agar menghargai alam
sekitar dan menyumbang untuk memuliharanya.
Moralnya
kita perlu mencintai alam sekitar dan menjaga serta memeliharanya daripada
tercemar supaya generasi yang akan datang dapat menikmati keindahan dan
kehijauan alam. Nilai ini amat penting kepada pembaca kerana dapat mewujudkan
sensitiviti kepada alam sekitar yang kian tercemar di negara kita.
Penutup
Kesimpulannya,
walaupun novel ini memaparkan perjuangan hidup insan-insan yang bercelaru dan
sarat dengan masalah dalam diri mereka, namun setiap watak mempunyai cara
berfikir yang tersendiri tentang kehidupan. Watak-watak yang biasa dan
mengalami permasalahan dalam hidup digambarkan mampu memberi sumbangan kepada
negara walaupun kecil. Corak dan cara pemikiran ini membawa kepada persoalan-persoalan
dan nilai-nilai moral yang dapat dijadikan
pengajaran dalam kehidupan serta memajukan moral masyarakat. Unsur-unsur
didaktik atau moral yang banyak dipaparkan dan dicungkil melalui peristiwa dan
perwatakan watak-wataknya serta terdapat nilai karya yang tinggi di dalam novel
ini menjadikan novel ini penting dan tinggi nilainya serta tergolong dalam
karya yang bermoral dari sudut pendekatan moral.
BIBLIOGRAFI
A.Samad
Said. 1985. Daerah Zeni. Selangor :
Fajar Bakti.
A.Samad Said. 1991. Bersama Samad ke Daerah Zeni. Selangor : Marwillis Publisher & Distributor.
Abdullah Hussain. 1997.
Sastera memperkukuh kepercayaan beragama. Dlm. Urus Setia Panel Anugerah Sastera Negara
(pngr.). Sastera dan kemanusiaan, hlm. 109-121. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arpan
Shahbudin. 1999. Sastera harus membentuk moral. Dewan Sastera April : 9.
Fatimah Busu. 1992. Daerah Zeni : kolaj
novel Malaysia masa depan. Dewan Sastera
Oktober :82.
Hashim Awang. 1998.
Teori dan kritikan kesusasteraan Melayu.
Dewan Sastera Oktober : 92-93.
Lorens
Bagus. 1996. Kamus filsafat.
Jakarta : Pustaka Utama.
Mana Sikana. 1990. Sastera Melayu moden : perubahan dan tamadun. Selangor : Penerbit Karyawan.
Mana
Sikana. 2009. Kritikan sastera Melayu moden.
Singapura : Pustaka Karya.
Rahman Shaari. 1994. Kritikan
sastera Melayu : pendekatan dan pemikiran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Aisah Murad (pngr.). 2007. A.
Samad Said dalam esei dan kritikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
|
Ros daripada sahabatku Sania Walchee di Lundu, Sarawak-
ros menaut rasa |
|
Waa..waa....kudupnya nak mekar dah.... |
|
Tadaaa...dah nak mekar- Kuntuman yang nak mekar-ros jenis batik -macam baldu kelopaknya-
foto daripada Fb Sania Walchee-thanks sebab mengingati aku bersandarkan ros
yang aku sangat sukaaa...i like... |