Friday, 12 June 2015

CERPEN PUNGUT



Kritikan Sosial dalam Cerpen Pungut Alias Zahara
 Alias Yap Siew Hong


Cerpen “Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong” (PAZAY), iaitu hasil kreativiti Mohamed Latiff Mohamed merupakan salah sebuah cerpen yang termuat dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku yang telah diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada tahun 2010. PAZAY merupakan sebuah karya yang menampil dan memprojeksikan kritikan sosial terhadap sikap masyarakat. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan kritikan sebagai sesuatu pernyataan yang salah atau tidak baik, celaan, teguran dan kecaman terhadap sesuatu perkara. Mana Sikana dalam buku beliau yang bertajuk Kritikan Sastera Melayu Moden mendefinisikan kritikan sebagai kegiatan menilai teks-teks kreatif sama ada cerpen, puisi, drama atau novel. Menurut beliau, proses penilaian akan berlaku sepanjang pembacaan terhadap teks yang dibaca. Sementara sosial dalam Kamus Dewan Edisi Keempat  merujuk kepada segala hal yang berkaitan dengan masyarakat dan kemasyarakatan. Justeru, dapat disimpulkan bahawa kritikan sosial dalam teks-teks sastera sebagai usaha, alternatif atau tugas menilai sesuatu isi karya kreatif atau sesebuah teks sastera untuk menekuni kelemahan, kepincangan dan kecelaan yang berlaku dalam masyarakat sebagai aspirasi untuk menyedarkan masyarakat. Kegiatan kritikan ini akhirnya dapat mencungkil unsur didaktik dan  moral sama ada yang positif atau negatif yang bergolak dalam sesebuah masyarakat. Hal ini sekaligus menjurus ke arah pembinaan keharmonian sosial dan pembentukan kepekaan terhadap permasalahan yang melanda dalam sesebuah masyarakat.
            Norsyuhada Salleh dalam makalahnya yang bertajuk “Kritikan sosial dalam Penulisan Kreatif”  keluaran majalah Tunas Cipta Januari 2015, berpandangan bahawa kritikan sosial dalam  penulisan kreatif merupakan kritkan membina dan objektifnya adalah untuk menyedarkan masyarakat yang sedang alpa dan lena supaya bangkit untuk memajukan diri, bangsa dan negara. Dalam konteks PAZAY pula didapati kritikan sosial ini menjurus kepada teguran terhadap karekter masyarakat yang lupa akan tanggungjawab sosialnya  untuk membantu insan yang serba kekurangan di muka bumi yang fana ini. Usman Awang mengusulkan “sastera sebagai cermin masyarakat dan tempat pernyataan perasaan manusia adalah lahir daripada masyarakat, lahir daripada rakyat yang hidup dalam satu-satu masyarakat tertentu”. Usulan ini membentangkan karya sastera sebagai luahan kreativiti yang melantun dan menggali kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap penderitaan masyarakat yang lain. Perkara ini dapat dikesan dalam PAZAY sebagai sebuah karya yang menyalur dan mendedahkan luahan hati masyarakat ekoran daripada sikap dan naluri manusia yang bertuhankan individualistik dan dogmatik.
 Mana Sikana mengemukakan tiga tahap atau dasar dalam membuat kritikan, iaitu tahap penghayatan yang memerlukan pengkritik membuat pembacaan yang mendalam dan teliti agar dapat menghayatinya. Seterusnya, barulah tahap penganalisisan dilakukan bagi mencungkil isu-isu yang wujud dan bergolak dalam masyarakat berdasarkan sikap dan tindak tanduk masyarakat.  Akhirnya, barulah penilaian dibuat terhadap sesebuah karya sama ada memaparkan kritikan yang negatif atau sebaliknya bagi membolehkan pembentukan dan pembinaan keharmonian tercapai dengan objektif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat daripada dibuai leka dan alpa.

Cerpen PAZAY mengisahkan seorang budak cacat atau kurang upaya  bernama Pungut alias Zahara alias Yap Siew Hong yang menjadi anak angkat MakTimah yang berasal daripada sebuah keluarga berbangsa Cina. Pungut dilahirkan pada tahun 1957 dan kini sudah berusia 24 tahun. Pungut digambarkan pengarang hanya setinggi 0.6 meter dan tubunhnya kecil macam lidi. Pungut hanya pandai berputar-putar, menggeleng-gelengkan kepala, berpusing-pusing, menggoyang-goyangkan kepala dan mengeluarkan bunyi macam nyamuk selain bermain dengan jari-jarinya dan berlari keluar masuk ke bilik. Makan minum dan semua hal ehwal Pungut diuruskan oleh Mak Timah yang sudah menganjak usia. Pungut bisu, pekak dan tidak mengerti apa-apa termasuk berak kencingnya diurus Mak Timah. Situasi ini kadang-kadang menyebabkan Mak Timah teruji kesabarannya dan seolah-olah berputus asa namun keinsanannya dapat memujuk hatinya agar mengasihani Pungut.
            Berdasarkan penghayatan, penganalisisan dan penilaian terhadap PAZAY, didapati pelbagai isu yang menyentuh kepincangan masyarakat telah diketengahkan oleh pengarang. Mohamed Latiff Mohamed menyampaikan objektif penulisannya kepada khalayak pembaca dengan mengetengahkan kritikan tentang kepercayaan karut yang masih subur  dalam kalangan masyarakat. Kepercayaan terhadap perkara khurafat ini akan menyebabkan manusia hilang nilai-nilai kemanusiaan sebagai seorang insan atau lebih tepatnya lenyap nilai kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Ketaksuban dengan kepercayaan karut akibat mempercayai bomoh telah menyebabkan Siew Lan dan  ibunya Bibik hilang naluri keibuannya.
“Perempuan, kita tidak begitu suka anak perempuan, lebih-lebih lagi yang ini”.
“Mengapa yang ini?” tanya Mak Timah.
“Kecil, dua paun setengah, macam buah betik. Dulu, belum dia beranak, kita pergi tengok datok. Kata datok ini anak tak guna, bawa sial. Sekarang Siew Lan susah hati,” kata Bibik.
‘Mana datok Bibik pergi tengok? Tanya Mak Timah.
“Itu kita punya loktanglah. Kita punya bangsa itu macam, anak belum beranak kita pergi tanya datok, tengok di punya nasib, ada baik atau sueh,” Bibik memberi keterangan. Mak Timah hairan melihatkan cara kehidupan Bibik, bernujum dan berdatok (halaman 139-140).

Petikan di atas memberi gambaran bahawa masyarakat dalam cerpen ini khususnya yang berbangsa Cina dan diwakili Bibik lebih mempercayai kata-kata bomoh yang dipanggilnya datok untuk menilik nasib anak yang bakal lahir. Perbuatan berjumpa dan meminta bomoh membuat tilikan sudah menjadi dogma dalam masyarakat Cina sebagaimana yang dinyatakan oleh Bibik kepada Mak Timah. Perkara ini merupakan suatu kritikan atau teguran kepada masyarakat tanpa mengira bangsa kerana implikasinya amat buruk.
Tindakan Bibik menemui bomoh menggambarkan dia meletakkan harapan dan keyakinan kepada bomoh yang belum pasti tepat ramalannya. Natijah daripada berjumpa bomoh terdapat dalam ayat Kata datok ini anak tak guna, bawa sial. Anak dikatakan membawa sial dan perkataan sial ini mempunyai konotasi yang negatif dan  amat sinonim dengan perkataan “jahanam” yang biasa digunakan sebagai bahasa makian dan cemuhan yang kesat dan kasar selain membawa maksud tidak beruntung serta mendatangkan kecelakaan. Perkara ini merupakan suatu penghinaan dan kezaliman kepada anak yang lahir.  Lantaran percaya kepada bomoh menyebabkan Bibik turut percaya bahawa anak yang bakal lahir akan membawa sial sehinggakan Swee Lan susah hati sedangkan bukan manusia yang harus menentukan malang atau baik nasib seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa hidup bukan kerana tuah, mati bukan kerana  sumpah.  Perbuatan Bibik dan Swee Lan seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan bahawa bayi yang lahir itu mengalami kecacatan, iaitu hanya sebesar buah betik. Kecacatan bayi tersebut sepatutnya menginsafkan Swee Lan dan Bibik yang mereka harus menghargai dan menjaga anugerah tersebut. Golongan kurang berupaya ini selayaknya mendapat kasih sayang dan jagaan sepenuhnya daripada keluarga lebih-lebih lagi ibunya, bukannya disisih. Tindakan Bibik ini perlu dikritik kerana impaknya yang tidak menampakkan imej yang positif sebaliknya memanifestasikan ketaksuban kepada ramalan bomoh kerana percaya anak yang bakal lahir membawa sial.  Perkara ini mencitrakan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat apabila kepercayaan kepada bomoh menjadi dogma. Manusia akan sujud kepada kepercayaan dan tidak menggunakan akal fikiran yang waras dalam membuat keputusan yang sewajarnya.
            Lanjutan daripada itu, pengarang juga mengkritik tentang sikap masyarakat yang tidak berperikemanusiaan dengan menganggap kelahiran anak tersebut menjadi suatu trauma kepada si ibu. Swee Lan tidak mahu memelihara dan bertanggungjawab terhadap anak yang lahir sedangkan  anak tersebut darah daging sendiri.
“Siew Lan tidak suka dia punya anak. Dia mahu kasi orang, taka da orang mahu. Kalau tak ada orang mahu dia mahu buang itu budak,” Bibik menerangkannya lagi. Mak Timah terperanjat mendengar penerangan Bibik (halaman 140).

Akibat mempercayai bomoh yang anak tersebut membawa sial dan sikap tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak yang lahir cacat, maka  Swee Lan hilang nilai kemanusiaan sehingga sanggup untuk membuang anaknya sendiri apabila tidak ada orang yang sanggup menerima anak yang cacat tersebut. Kata-kata Bibik tentang tindakan Swee Lan, iaitu Kalau tak ada orang mahu dia mahu buang itu budak, membentangkan sikap tidak berperikemanusiaan sedangkan haiwan lagi menyayangi anaknya, apatah lagi manusia. Perkara ini memberi cerminan betapa tandus dan nipisnya nilai keinsanan dan naluri keibuan dalam kalangan masyarakat yang diwakili Swee Lan. Darah daging sendiri umpama sampah yang boleh dibuang tanpa segan silu, malahan tidak ingat akan dosa yang bakal ditanggung. Perkara ini memanifestasikan kepincangan dalam masyarakat  akibat hilang sifat kemanusiaan sehingga anak sendiri tidak dihargai. Isu ini harus diberi perhatian yang sewajarnya agar masyarakat tidak memandang enteng hal ini. Implikasinya, insan yang tidak berdosa menjadi malang dan teraniaya apabila lahir ke dunia jika perkara ini menjadi barah dalam masyarakat.
            Selain itu, dalam penulisannya pengarang turut mengkritik sikap masyarakat yang mementingkan materialistik. Perkara ini dapat ditelusuri daripada sikap anak lelaki Mak Timah  sehinggakan Mak Timah berasa pilu dan sayu.
“Hantarkan ke rumah kanak-kanak cacat. Buat susah-susah mak pelihara si Pungut tu, apa dapat? Kalau anak orang lain, dah besar dah boleh kerja, dah boleh bantu bayar duit air, duit api.” Pilu hati Mak Timah mendengar pendapat anak lelakinya tentang Pungut. Mak Timah hairan dengan sikap orang sekarang. Semuanya mengira duit, semuanya mahu untung, tidak mahu rugi. (halaman 143)

Anak lelaki Mak Timah digambarkan bersikap materialistik kerana mementingkan duit dan pulangan lumayan setelah membantu orang lain yang dalam kesusahan. Situasi ini memcerminkan kekontangan dan ketandusan jiwa anak muda ini dengan perasaan kasih sayang dan keinsanan sebaliknya digantikan dengan dorongan kebendaan semata-mata. Anak lelaki Mak Timah mengharapkan balasan dan kesenangan setelah ibunya memelihara Pungut yang serba kekurangan. Sebaik-baiknya anak muda ini memikirkan nasib Pungut dan menaruh belas kasihan kepadanya. Gambaran sikap beginilah yang menyebabkan kritikan sosial harus dipugar agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang sikap alpa dan leka mereka dengan kebendaan, tanpa memikirkan nasib malang insan lain.
            PAZAY juga mengetengahkan kritikan tentang ketandusan sikap tulus dan ikhlas dalam kalangan generasi muda pada zaman ini. Mak Timah sendiri diberikan tanggungjawab oleh pengarang untuk mengkritik sikap anak muda zaman sekarang melalui sikap anak lelakinya sendiri.
Orang sekarang, fikir Mak Timah, tidak seperti orang dahulu, memelihara anak dengan ikhlas, menolong orang dengan ikhlas, kerana Allah. Entahlah apa hendak jadi dengan orang sekarang ini? Setiap kali anak lelakinya mengeluarkan cadangan untuk menghantar Pungut ke rumah anak-anak cacat, Mak Timah akan menjawab, “Bila aku mati nanti, hantarlah dia ke mana kau suka, apabila aku dah taka da nanti (halaman 143)

Mak Timah mengkritik sikap anak muda zaman sekarang yang tidak memiliki nilai keikhlasan dalam membantu atau menolong orang lain. Situasi ini memberikan gambaran akan kepincangan dan permasalahan yang melanda masyarakat yang sudah hilang nilai mulia ini dalam diri mereka. Keikhlasan merupakan amalan sifat-sifat mahmudah dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab atas faktor nilai ini menjadi tunjang saraf  bagi segala aspek kemurnian keharmonian. Pokok utama yang perlu dititikberatkan ialah sikap diri sendiri yang menghala ke arah kebaikan dan pembinaan hati yang mulia.   Oleh sebab ketandusan nilai keikhlasan maka anak lelakinya meminta Mak Timah menghantar Pungut ke rumah anak-anak cacat sedangkan Mak Timah rela menjaga Pungut. Justeru, masyarakat perlu dibangkitkan untuk mempraktikkan nilai keikhlasan dalam kehidupan demi kesejahteraan sejagat.
            Amalan nilai yang positif dalam kalangan masyarakat pula dapat ditekuni melalui watak Mak Timah yang sanggup dan rela menjaga, memelihara dan memberikan kasih sayang kepada Pungut walaupun bukan darah daging sendiri. Mak Timah berdoa agar Allah mengambil nyawa Pungut  terlebih dahulu demi menjaga kebajikan Pungut (halaman 141) kerana terlalu bimbang tidak ada orang yang akan mempedulikan Pungut jika Mak Timah meninggal terlebih dahulu. Perkara inilah yang sering menghantui Mak Timah dalam meniti hari-hari yang berlalu sehinggalah Pungut berusia 24 tahun. Dia tidak sanggup memikirkan nasib Pungut andai kata dia terlebih dahulu meninggalkan dunia ini. Kebimbangan Mak Timah didorong oleh sikap tidak ambil peduli dan tiada belas kasihan atau simpati anak-anaknya terhadap nasib  Pungut yang malang. Ketinggian sikap belas ihsan dan penyayang Mak Timah terhadap insan yang malang harus dijadikan contoh dan teladan oleh generasi muda khususnya dan masyarakat amnya dalam meniti arus kehidupan.
            Keseluruhannya, didapati karya sastera  merupakan medium untuk menyampaikan kritikan sosial terhadap kepincangan dan pemasalahan yang melanda masyarakat. Sesungghnya, karya yang membincangkan keperihalan masyarakat merupakan karya yang disanjung tinggi kerana tidak mengabaikan tanggungjawab sosial. Penghayatan, penganalisisan  dan penilaian terhadap PAZAY dapat menjelaskan fungsi karya kreatif sebagai cerminan luahan hati masyarakat untuk masyarakat. Masyarakat dalam cerpen ini dibelenggu kepompong kepercayaan kepada perkara karut, hilang perasaan kemanusiaan, melayari kehidupan dengan bertunjangkan kebendaan dan tiada nilai mulia keikhlasan dalam hati nuraninya. Kritikan sosial yang diketengahkan oleh pengarang dalam cerpen ini akan dapat menyedarkan masyarakat daripada terus dibuai leka dan alpa sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada insan yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Walau bagaimanapun, pembentangan sikap belas kasihan tentang watak Mak Timah oleh pengarang mencerminkan masih ada masyarakat yang berjiwa penyayang.
Justeru, sebagai bahan Komsas cerpen ini kaya dengan elemen didaktik untuk mendidik dan mengajar generasi muda agar tidak mempraktikkan amalan negatif selain tidak mendatangkan manfaat dalam kalangan masyarakat. Watak Mak Timah yang rela dan mempunyai keinsanan yang tinggi harus dijadikan teladan walaupun mendapat tentangan daripada anak-anaknya. Oleh itu, garapan ini diharap dapat menjadi ikhtibar dan panduan kepada generasi muda agar kita dapat melahirkan modal insan yang sempurna dengan pembinaan dan pembentukan akhlak yang terpuji dan berjiwa penyayang.