Kritikan
Sosial dalam Cerpen Pungut Alias Zahara
Alias Yap Siew Hong
Cerpen “Pungut Alias
Zahara Alias Yap Siew Hong” (PAZAY), iaitu hasil kreativiti Mohamed Latiff
Mohamed merupakan salah sebuah cerpen yang termuat dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku yang telah diterbitkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada tahun 2010.
PAZAY merupakan sebuah karya yang menampil dan memprojeksikan kritikan sosial
terhadap sikap masyarakat. Kamus Dewan Edisi
Keempat mendefinisikan kritikan
sebagai sesuatu pernyataan yang salah atau tidak baik, celaan, teguran dan
kecaman terhadap sesuatu perkara. Mana Sikana dalam buku beliau yang bertajuk Kritikan Sastera Melayu Moden
mendefinisikan kritikan sebagai kegiatan menilai teks-teks kreatif sama ada
cerpen, puisi, drama atau novel. Menurut beliau, proses penilaian akan berlaku
sepanjang pembacaan terhadap teks yang dibaca. Sementara sosial dalam Kamus Dewan Edisi Keempat merujuk kepada segala hal yang berkaitan dengan
masyarakat dan kemasyarakatan. Justeru, dapat disimpulkan bahawa kritikan
sosial dalam teks-teks sastera sebagai usaha, alternatif atau tugas menilai
sesuatu isi karya kreatif atau sesebuah teks sastera untuk menekuni kelemahan,
kepincangan dan kecelaan yang berlaku dalam masyarakat sebagai aspirasi untuk
menyedarkan masyarakat. Kegiatan kritikan ini akhirnya dapat mencungkil unsur
didaktik dan moral sama ada yang positif
atau negatif yang bergolak dalam sesebuah masyarakat. Hal ini sekaligus menjurus
ke arah pembinaan keharmonian sosial dan pembentukan kepekaan terhadap
permasalahan yang melanda dalam sesebuah masyarakat.
Norsyuhada Salleh dalam makalahnya
yang bertajuk “Kritikan sosial dalam Penulisan Kreatif” keluaran majalah Tunas Cipta Januari 2015, berpandangan bahawa kritikan sosial
dalam penulisan kreatif merupakan
kritkan membina dan objektifnya adalah untuk menyedarkan masyarakat yang sedang
alpa dan lena supaya bangkit untuk memajukan diri, bangsa dan negara. Dalam
konteks PAZAY pula didapati kritikan sosial ini menjurus kepada teguran
terhadap karekter masyarakat yang lupa akan tanggungjawab sosialnya untuk membantu insan yang serba kekurangan di
muka bumi yang fana ini. Usman Awang mengusulkan “sastera sebagai cermin
masyarakat dan tempat pernyataan perasaan manusia adalah lahir daripada
masyarakat, lahir daripada rakyat yang hidup dalam satu-satu masyarakat
tertentu”. Usulan ini membentangkan karya sastera sebagai luahan kreativiti
yang melantun dan menggali kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap
penderitaan masyarakat yang lain. Perkara ini dapat dikesan dalam PAZAY sebagai
sebuah karya yang menyalur dan mendedahkan luahan hati masyarakat ekoran
daripada sikap dan naluri manusia yang bertuhankan individualistik dan dogmatik.
Mana Sikana mengemukakan tiga tahap atau dasar
dalam membuat kritikan, iaitu tahap penghayatan
yang memerlukan pengkritik membuat pembacaan yang mendalam dan teliti agar
dapat menghayatinya. Seterusnya, barulah tahap penganalisisan dilakukan bagi mencungkil
isu-isu yang wujud dan bergolak dalam masyarakat berdasarkan sikap dan tindak
tanduk masyarakat. Akhirnya, barulah
penilaian dibuat terhadap sesebuah karya sama ada memaparkan kritikan yang
negatif atau sebaliknya bagi membolehkan pembentukan dan pembinaan keharmonian
tercapai dengan objektif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat daripada
dibuai leka dan alpa.
Cerpen
PAZAY mengisahkan seorang budak cacat atau kurang upaya bernama Pungut alias Zahara alias Yap Siew
Hong yang menjadi anak angkat MakTimah yang berasal daripada sebuah keluarga
berbangsa Cina. Pungut dilahirkan pada tahun 1957 dan kini sudah berusia 24
tahun. Pungut digambarkan pengarang hanya setinggi 0.6 meter dan tubunhnya
kecil macam lidi. Pungut hanya pandai berputar-putar, menggeleng-gelengkan
kepala, berpusing-pusing, menggoyang-goyangkan kepala dan mengeluarkan bunyi
macam nyamuk selain bermain dengan jari-jarinya dan berlari keluar masuk ke
bilik. Makan minum dan semua hal ehwal Pungut diuruskan oleh Mak Timah yang
sudah menganjak usia. Pungut bisu, pekak dan tidak mengerti apa-apa termasuk
berak kencingnya diurus Mak Timah. Situasi ini kadang-kadang menyebabkan Mak
Timah teruji kesabarannya dan seolah-olah berputus asa namun keinsanannya dapat
memujuk hatinya agar mengasihani Pungut.
Berdasarkan penghayatan,
penganalisisan dan penilaian terhadap PAZAY, didapati pelbagai isu yang
menyentuh kepincangan masyarakat telah diketengahkan oleh pengarang. Mohamed
Latiff Mohamed menyampaikan objektif penulisannya kepada khalayak pembaca
dengan mengetengahkan kritikan tentang kepercayaan karut yang masih subur dalam kalangan masyarakat. Kepercayaan
terhadap perkara khurafat ini akan menyebabkan manusia hilang nilai-nilai
kemanusiaan sebagai seorang insan atau lebih tepatnya lenyap nilai kasih sayang
seorang ibu kepada anaknya. Ketaksuban dengan kepercayaan karut akibat
mempercayai bomoh telah menyebabkan Siew Lan dan ibunya Bibik hilang naluri keibuannya.
“Perempuan,
kita tidak begitu suka anak perempuan, lebih-lebih lagi yang ini”.
“Mengapa
yang ini?” tanya Mak Timah.
“Kecil,
dua paun setengah, macam buah betik. Dulu, belum dia beranak, kita pergi
tengok datok. Kata datok ini anak tak guna, bawa sial.
Sekarang Siew Lan susah hati,” kata Bibik.
‘Mana
datok Bibik pergi tengok? Tanya Mak
Timah.
“Itu
kita punya loktanglah. Kita punya
bangsa itu macam, anak belum beranak kita pergi tanya datok, tengok di punya nasib, ada baik atau sueh,” Bibik memberi keterangan. Mak Timah hairan melihatkan cara
kehidupan Bibik, bernujum dan berdatok
(halaman 139-140).
|
Petikan di atas memberi
gambaran bahawa masyarakat dalam cerpen ini khususnya yang berbangsa Cina dan
diwakili Bibik lebih mempercayai kata-kata bomoh yang dipanggilnya datok untuk menilik nasib anak yang
bakal lahir. Perbuatan berjumpa dan meminta bomoh membuat tilikan sudah menjadi
dogma dalam masyarakat Cina sebagaimana yang dinyatakan oleh Bibik kepada Mak
Timah. Perkara ini merupakan suatu kritikan atau teguran kepada masyarakat
tanpa mengira bangsa kerana implikasinya amat buruk.
Tindakan
Bibik menemui bomoh menggambarkan dia meletakkan harapan dan keyakinan kepada
bomoh yang belum pasti tepat ramalannya. Natijah daripada berjumpa bomoh
terdapat dalam ayat Kata datok ini anak tak guna, bawa sial. Anak dikatakan membawa
sial dan perkataan sial ini mempunyai konotasi yang negatif dan amat sinonim dengan perkataan “jahanam” yang
biasa digunakan sebagai bahasa makian dan cemuhan yang kesat dan kasar selain
membawa maksud tidak beruntung serta mendatangkan kecelakaan. Perkara ini
merupakan suatu penghinaan dan kezaliman kepada anak yang lahir. Lantaran percaya kepada bomoh menyebabkan
Bibik turut percaya bahawa anak yang bakal lahir akan membawa sial sehinggakan
Swee Lan susah hati sedangkan bukan manusia yang harus menentukan malang atau
baik nasib seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa hidup bukan kerana tuah, mati
bukan kerana sumpah. Perbuatan Bibik dan Swee Lan seolah-olah tidak
dapat menerima kenyataan bahawa bayi yang lahir itu mengalami kecacatan, iaitu
hanya sebesar buah betik. Kecacatan bayi tersebut sepatutnya menginsafkan Swee
Lan dan Bibik yang mereka harus menghargai dan menjaga anugerah tersebut.
Golongan kurang berupaya ini selayaknya mendapat kasih sayang dan jagaan
sepenuhnya daripada keluarga lebih-lebih lagi ibunya, bukannya disisih. Tindakan
Bibik ini perlu dikritik kerana impaknya yang tidak menampakkan imej yang
positif sebaliknya memanifestasikan ketaksuban kepada ramalan bomoh kerana
percaya anak yang bakal lahir membawa sial. Perkara ini mencitrakan kepincangan yang
berlaku dalam masyarakat apabila kepercayaan kepada bomoh menjadi dogma.
Manusia akan sujud kepada kepercayaan dan tidak menggunakan akal fikiran yang
waras dalam membuat keputusan yang sewajarnya.
Lanjutan daripada itu, pengarang
juga mengkritik tentang sikap masyarakat yang tidak berperikemanusiaan dengan
menganggap kelahiran anak tersebut menjadi suatu trauma kepada si ibu. Swee Lan
tidak mahu memelihara dan bertanggungjawab terhadap anak yang lahir sedangkan anak tersebut darah daging sendiri.
“Siew
Lan tidak suka dia punya anak. Dia mahu kasi orang, taka da orang mahu. Kalau
tak ada orang mahu dia mahu buang itu budak,” Bibik menerangkannya lagi. Mak
Timah terperanjat mendengar penerangan Bibik (halaman 140).
|
Akibat mempercayai
bomoh yang anak tersebut membawa sial dan sikap tidak dapat menerima kenyataan
bahawa anak yang lahir cacat, maka Swee
Lan hilang nilai kemanusiaan sehingga sanggup untuk membuang anaknya sendiri
apabila tidak ada orang yang sanggup menerima anak yang cacat tersebut. Kata-kata
Bibik tentang tindakan Swee Lan, iaitu Kalau
tak ada orang mahu dia mahu buang itu budak, membentangkan sikap tidak
berperikemanusiaan sedangkan haiwan lagi menyayangi anaknya, apatah lagi manusia.
Perkara ini memberi cerminan betapa tandus dan nipisnya nilai keinsanan dan
naluri keibuan dalam kalangan masyarakat yang diwakili Swee Lan. Darah daging
sendiri umpama sampah yang boleh dibuang tanpa segan silu, malahan tidak ingat
akan dosa yang bakal ditanggung. Perkara ini memanifestasikan kepincangan dalam
masyarakat akibat hilang sifat
kemanusiaan sehingga anak sendiri tidak dihargai. Isu ini harus diberi
perhatian yang sewajarnya agar masyarakat tidak memandang enteng hal ini. Implikasinya,
insan yang tidak berdosa menjadi malang dan teraniaya apabila lahir ke dunia
jika perkara ini menjadi barah dalam masyarakat.
Selain itu, dalam penulisannya pengarang
turut mengkritik sikap masyarakat yang mementingkan materialistik. Perkara ini dapat
ditelusuri daripada sikap anak lelaki Mak Timah
sehinggakan Mak Timah berasa pilu dan sayu.
“Hantarkan
ke rumah kanak-kanak cacat. Buat susah-susah mak pelihara si Pungut tu, apa
dapat? Kalau anak orang lain, dah besar dah boleh kerja, dah boleh bantu
bayar duit air, duit api.” Pilu hati Mak Timah mendengar pendapat anak
lelakinya tentang Pungut. Mak Timah hairan dengan sikap orang sekarang.
Semuanya mengira duit, semuanya mahu untung, tidak mahu rugi. (halaman 143)
|
Anak lelaki Mak Timah
digambarkan bersikap materialistik kerana mementingkan duit dan pulangan lumayan
setelah membantu orang lain yang dalam kesusahan. Situasi ini memcerminkan
kekontangan dan ketandusan jiwa anak muda ini dengan perasaan kasih sayang dan
keinsanan sebaliknya digantikan dengan dorongan kebendaan semata-mata. Anak
lelaki Mak Timah mengharapkan balasan dan kesenangan setelah ibunya memelihara
Pungut yang serba kekurangan. Sebaik-baiknya anak muda ini memikirkan nasib
Pungut dan menaruh belas kasihan kepadanya. Gambaran sikap beginilah yang
menyebabkan kritikan sosial harus dipugar agar dapat memberikan kesedaran
kepada masyarakat tentang sikap alpa dan leka mereka dengan kebendaan, tanpa
memikirkan nasib malang insan lain.
PAZAY juga mengetengahkan kritikan
tentang ketandusan sikap tulus dan ikhlas dalam kalangan generasi muda pada
zaman ini. Mak Timah sendiri diberikan tanggungjawab oleh pengarang untuk
mengkritik sikap anak muda zaman sekarang melalui sikap anak lelakinya sendiri.
Orang
sekarang, fikir Mak Timah, tidak seperti orang dahulu, memelihara anak dengan
ikhlas, menolong orang dengan ikhlas, kerana Allah. Entahlah apa hendak jadi
dengan orang sekarang ini? Setiap kali anak lelakinya mengeluarkan cadangan
untuk menghantar Pungut ke rumah anak-anak cacat, Mak Timah akan menjawab,
“Bila aku mati nanti, hantarlah dia ke mana kau suka, apabila aku dah taka da
nanti (halaman 143)
|
Mak Timah mengkritik
sikap anak muda zaman sekarang yang tidak memiliki nilai keikhlasan dalam
membantu atau menolong orang lain. Situasi ini memberikan gambaran akan
kepincangan dan permasalahan yang melanda masyarakat yang sudah hilang nilai
mulia ini dalam diri mereka. Keikhlasan merupakan amalan sifat-sifat mahmudah dalam
melaksanakan sesuatu tanggungjawab atas faktor nilai ini menjadi tunjang
saraf bagi segala aspek kemurnian
keharmonian. Pokok utama yang perlu dititikberatkan ialah sikap diri sendiri
yang menghala ke arah kebaikan dan pembinaan hati yang mulia. Oleh
sebab ketandusan nilai keikhlasan maka anak lelakinya meminta Mak Timah
menghantar Pungut ke rumah anak-anak cacat sedangkan Mak Timah rela menjaga
Pungut. Justeru, masyarakat perlu dibangkitkan untuk mempraktikkan nilai
keikhlasan dalam kehidupan demi kesejahteraan sejagat.
Amalan nilai yang positif dalam
kalangan masyarakat pula dapat ditekuni melalui watak Mak Timah yang sanggup
dan rela menjaga, memelihara dan memberikan kasih sayang kepada Pungut walaupun
bukan darah daging sendiri. Mak Timah berdoa agar Allah mengambil nyawa Pungut terlebih dahulu demi menjaga kebajikan Pungut
(halaman 141) kerana terlalu bimbang tidak ada orang yang akan mempedulikan
Pungut jika Mak Timah meninggal terlebih dahulu. Perkara inilah yang sering
menghantui Mak Timah dalam meniti hari-hari yang berlalu sehinggalah Pungut
berusia 24 tahun. Dia tidak sanggup memikirkan nasib Pungut andai kata dia
terlebih dahulu meninggalkan dunia ini. Kebimbangan Mak Timah didorong oleh
sikap tidak ambil peduli dan tiada belas kasihan atau simpati anak-anaknya
terhadap nasib Pungut yang malang.
Ketinggian sikap belas ihsan dan penyayang Mak Timah terhadap insan yang malang
harus dijadikan contoh dan teladan oleh generasi muda khususnya dan masyarakat
amnya dalam meniti arus kehidupan.
Keseluruhannya, didapati karya
sastera merupakan medium untuk
menyampaikan kritikan sosial terhadap kepincangan dan pemasalahan yang melanda
masyarakat. Sesungghnya, karya yang membincangkan keperihalan masyarakat
merupakan karya yang disanjung tinggi kerana tidak mengabaikan tanggungjawab
sosial. Penghayatan, penganalisisan dan
penilaian terhadap PAZAY dapat menjelaskan fungsi karya kreatif sebagai
cerminan luahan hati masyarakat untuk masyarakat. Masyarakat dalam cerpen ini
dibelenggu kepompong kepercayaan kepada perkara karut, hilang perasaan
kemanusiaan, melayari kehidupan dengan bertunjangkan kebendaan dan tiada nilai
mulia keikhlasan dalam hati nuraninya. Kritikan sosial yang diketengahkan oleh
pengarang dalam cerpen ini akan dapat menyedarkan masyarakat daripada terus
dibuai leka dan alpa sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada insan yang
memerlukan bantuan dan pertolongan. Walau bagaimanapun, pembentangan sikap
belas kasihan tentang watak Mak Timah oleh pengarang mencerminkan masih ada
masyarakat yang berjiwa penyayang.
Justeru,
sebagai bahan Komsas cerpen ini kaya dengan elemen didaktik untuk mendidik dan
mengajar generasi muda agar tidak mempraktikkan amalan negatif selain tidak
mendatangkan manfaat dalam kalangan masyarakat. Watak Mak Timah yang rela dan
mempunyai keinsanan yang tinggi harus dijadikan teladan walaupun mendapat
tentangan daripada anak-anaknya. Oleh itu, garapan ini diharap dapat menjadi
ikhtibar dan panduan kepada generasi muda agar kita dapat melahirkan modal
insan yang sempurna dengan pembinaan dan pembentukan akhlak yang terpuji dan
berjiwa penyayang.
No comments:
Post a Comment