Kepimpinan Berjiwa Rakyat dalam Prosa
Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan
(Keluaran Ogos 2015 dalam PB-Tqvm majalah DBP)
Prosa tradisional
yang bertajuk Kepimpinan Melalui Teladan dimuatkan dalam Antologi Kulit Kijang dari Istanbul (2014), iaitu antologi yang
digunakan oleh para murid tingkatan empat mulai tahun 2005. Prosa tradisional Kepimpinan
Melalui Teladan (halaman 27-39) merupakan satu-satunya cerita klasik yang
dipilih untuk dimuatkan dalam antologi yang baharu ini. Prosa tradisional ini
dipetik daripada sumber asalnya, iaitu Rampaisari
Prosa Warisan (1988) terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd dengan sentuhan
penyelenggaranya oleh Mohd Yusof Md Nor dan Inon Shaharuddin Abdul Rahman.
Prosa ini bertemakan kepahlawanan
dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara khususnya Melaka. Prosa
ini berlatarkan zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu zaman kegemilangan dan
kepahlawanan Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka pada ketika itu. Pada masa yang
sama Kerajaan Majapahit berusaha untuk melenyapkan Kerajaan Melaka sehingga
menghantar hulubalang yang gagah perkasa dalam beberapa siri percubaan untuk
mengalahkan Melaka. Percubaan demi percubaan dilakukan sehinggalah Kerajaan
Majapahit menghantar Kertala Sari anakanda kepada Petala Bumi. Sebelum itu,
ketujuh-tujuh pahlawan Majapahit telah
terkorban dan kecundang di tangan Lakasamana ketika dalam percubaan menewaskan
Melaka termasuklah Petala Bumi ayahanda Kertala Sari. Apabila Kertala Sari
diminta untuk membunuh Sultan Melaka dan Laksamana, tugas tersebut ibarat orang
mengantuk disorongkan bantal kerana Kertala Sari berpeluang untuk membalas
dendam. Pemergian Kertala Sari ke Melaka telah memulakan episode perjuangannya
untuk membalas dendam dan bermaharajalela dengan kejahatan yang berakhir dengan
kematiannya di tangan Laksamana.
Tenas Effendy dalam
bukunya Pemimpin dalam Ungkapan Melayu
(2000) menyatakan pemimpin itu lazimnya dalam masyarakat timur adalah orang
yang dituakan. Orang yang dituakan ialah tokoh yang dipilih dan dilantik untuk
memegang teraju pemerintahan atau menjadi pucuk pimpinan. Pemimpin dan kepimpinan itu pula adalah dua perkara yang sungguh
berbeza. Pemimpin adalah orang yang
diberi kedudukan sebagai ketua manakala kepimpinan merujuk kepada pengaruh dan pengaruh ini
tidak memerlukan kedudukan atau pangkat
mahupun status. Kamus Dewan Edisi Keempat pula
memerihalkan kepimpinan sebagai keupayaan memimpin. Kepimpinan ialah
perkataan terbitan daripada kata dasar “pimpin” yang membawa erti bimbing, pandu atau tunjuk. Oleh itu, dapat
disimpulkan bahawa kepimpinan membawa pengertian keupayaan atau kebolehan
seseorang yang dilantik sebagai ketua untuk memandu dan memerintah golongan
atau rakyat yang telah memilihnya dalam sesebuah organisasi sama ada besar atau
kecil.
Pemimpin diberi tiga perkara asas dalam
kepimpinannya, iaitu kepercayaan, kekuasaan dan kebebasan. Jaafar Muhammad (1991) berpendapat bahawa
pemimpin yang berkesan ialah pemimpin yang mempunyai sifat-sifat kebijaksanaan
dan keyakinan diri. Hal ini amat signifikan kerana karisma kepimpinan akan
memperlihatkan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan yang dipimpin. Kepimpinan
juga berhubung erat dengan tingkah laku, iaitu keupayaan mengubah haluan
sesuatu organisasi dan kebolehan memilih kriteria-kriteria tertentu dalam usaha
mencapai objektif organisasi atau sesebuah kerajaan.