Paparan
Sikap, Nilai dan Mesej dalam Sajak Kecek - (v)
Sajak yang bertajuk Kecek
– (v) hasil pena Awang Abdullah dipilih sebagai sebuah sajak yang menjadi
kajian dan penghayatan para murid dalam Antologi
Dirgahayu Bahasaku. Tahun 2015 merupakan tahun terakhir antologi ini
digunakan oleh para murid tingkatan lima kerana akan digantikan dengan antologi
yang baharu. Sajak Kecek – (v) terdapat dalam halaman 22-23 dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku yang
dipaparkan dalam empat rangkap.
Rangkap
sajak
|
Maksud
|
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
Di sebuah bank ternama
Tetapi dalam diam
Dia mencantum kemiskinan
Orang lain
Ke dalam amanahnya
Yang telah lama pecah
|
Mengisahkan seorang pengarah yang mempunyai
akaun simpanan yang lumayan di bank terkenal. Walaupun demikian, hasil
simpanan yang lumayan itu dikumpul berdasarkan hasil kepunyaan orang yang
miskin. Pengarah digambarkan telah menyeleweng dengan pecah amanah.
|
2
Di kampung
Seorang petani
Membuka akaun kemiskinannya
Di ruang kedaifan
Dan mengunci sedozen anak-anaknya
Di dalam pagar sengsara
Tetapi dia tidak pernah mencantum
Kekayaan orang lain
Ke dalam getirnya
Yang sudah lama berumbi
|
Mengisahkan seorang petani yang miskin dan
serba daif di kampung bersama-sama anaknya yang ramai. Walaupun keluarga
petani hidup dalam kesengsaraan dan kesusahan sekian lama tetapi petani tidak
pernah mengambil hak orang lain.
|
3
Di pantai
Seorang nelayan
Membuka akaun sengsaranya
Di rahang laut ternganga
Dan mengurung sederet anak-anaknya di bawah pusara
nasib
Tapi dia tidak pernah mengumpul
Kesenangan orang lain
Ke dalam kegusarannya
Yang telah sekian musim
Berlumut
Di papan hidupnya
|
Mengisahkan seorang nelayan yang
mengabadikan hidup dengan laut hidup dalam kesengsaraan. Nelayan
mempertaruhkan hidup anak-anaknya yang ramai
dengan kegetiran dan kesengsaraan. Walaupun begitu, nelayan tidak
mengambil hak kepunyaan orang lain walaupun kesusahan sudah sekian lama
menghimpit hidupnya.
|
4
Tuhan tidak pernah mungkir
Mencatat setiap angka
Dan nilai hitungan paling kecil
Ke dalam akaun-Nya
Di rumah keadilan
|
Mengisahkan janji Tuhan yang akan berlaku
adil kepada setiap hamba-Nya. Semua perbuatan manusia dari yang kecil
hinggalah yang besar akan dihitung dengan seadil-adilnya.
|
Berdasarkan
paparan maksud dalam rangkap 1 tersebut, didapati sajak ini menyampaikan sikap
yang dimiliki oleh seorang pengarah. Watak pengarah dalam sajak ini mewakili
golongan atasan yang kaya raya dan hidup dalam kemewahan. Pengarah merupakan
seorang ketua atau majikan yang mengetuai atau menerajui sesebuah organisasi.
Pengarah yang dilantik memegang jawatan yang tertinggi dalam sesebuah
organisasi sudah tentu mempamerkan kebolehan dan karismanya sehingga berjaya
menjawat jawatan tersebut. Walau bagaimanapun, dalam sajak Kecek – (v),
didapati tiga sikap negatif yang
ditunjukkan oleh seorang pengarah, iaitu materialistik, individualistik dan
tidak jujur.
Sikap mementingkan kebendaan atau materialistik menyebabkan seorang
pengarah rakus mengumpul kekayaan untuk diri sendiri dan keturunannya supaya
hidup senang tanpa memikirkan jalan yang betul dan diredhai Allah. Sementara individualistik pula terlantun daripada
tindakannya yang tidak mempedulikan nasib orang lain di sekitarnya asalkan
dirinya mendapat habuan yang lumayan. Sikap tidak jujur yang didalangi oleh lemahnya prinsip hidup pula
mendorong seorang pengarah melakukan pecah amanah dan menyeleweng dalam menjalankan
tanggungjawabnya yang sebenar. Ketiga-tiga sikap ini menghanyutkan seorang yang
bergelar pengarah atau golongan atasan apabila matanya dikaburi wang ringgit
dan harta benda dunia. Golongan ini leka dan sujud kepada material yang menjadi
kayu ukur status. Seorang pengarah didapati mensia-siakan kepercayaan yang
diberikannya sehingga menzahirkan sikap munafiknya kerana hidup menggalang
kesenangan orang lain. Sikap ini memberikan impak yang besar kepada golongan
yang lain khususnya kepada golongan marhaen yang hidup serba kekurangan dan
kesusahan kerana hak mereka diboloti dan dimonopoli oleh golongan yang tidak
bertanggungjawab ini. Implikasinya, wujudlah jurang yang ketara antara golongan
miskin dan berada sehingga yang hidup miskin terus tertindas dan golongan kaya
semakin menjadi lebih berharta dan bergaya.
Paparan sikap seorang pengarah dalam
rangkap 1 ini menyampaikan nilai yang tersirat, iaitu nilai kejujuran, keikhlasan dan amanah. Hakikatnya seorang pengarah
harus menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan jujur dan ikhlas agar dunia
penyelewengan dapat dilenyapkan. Apabila nilai jujur dan ikhlas menjadi budaya
dalam kalangan yang berkuasa maka terzahirlah nilai amanah dalam menjalankan
tugas. Setiap tugas yang diamanahkan sama ada kecil atau besar, berat atau
ringan harus dijalankan dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas. Justeru, rangkap
ini ingin menyampaikan mesej bahawa pecah amanah dan penyelewengan menghalang
kemajuan, kemakmuran dan penghayatan nilai mulia dalam masyarakat. Sikap negatif
sebagaimana yang digambarkan oleh pengarah tersebut akan menghalang penghayatan
terhadap nilai dan etika kerja yang berintegriti dan cemerlang selain mengekang
kemajuan dalam masyarakat kerana perbezaan jurang kehidupan yang signifikan. Norshuhada
Zakaria (2010) berpendapat bahawa penyelewengan menyebabkan runtuhnya institusi
dalam sesebuah negara sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial kerana
perbuatan ini melibatkan golongan profesional yang diyakini dapat mengubah dan
mencapai hala tuju sesebuah negara. Apabila golongan ini melakukan
penyelewengan, maka pasak dan tunggak sesebuah institusi akan rebah dan runtuh.
Rangkap 2 pula, memanifestasikan
sikap golongan petani yang bersyukur dan pasrah dengan nasib diri dan
keluarganya. Sikap syukur dalam
konteks kehidupan petani dengan tidak melakukan perbuatan yang ditegah atau
tidak melanggar peraturan serta norma kehidupan merupakan sikap yang terpuji.
Walaupun hidup miskin, petani tidak merampas hak orang lain demi mendapatkan
sesuatu habuan atau hasil untuk menyara isteri dan anaknya yang ramai. Walau
bagaimanapun, petani turut digambarkan memiliki sikap yang negatif, iaitu pasrah dengan kehidupan daif dan
miskin. Petani digambarkan sabar dalam kepasrahannya mengharungi kegetiran dan
kesusahan hidup yang berakar umbi dengan tidak menampakkan riak usaha ke arah mencapai
tahap kehidupan yang lebih baik.
Paparan sikap petani dalam rangkap 2
ini, menyampaikan siratan nilai kesyukuran
dan nilai berusaha. Petani yang hidup
sekadar menerima seadanya rezeki dengan tidak melakukan perbuatan yang
melangar peraturan merupakan gambaran sikap yang mulia. Walaupun begitu,
rangkap ini juga menyelitkan nilai berusaha, iaitu golongan petani harus
meningkatkan usaha untuk mengubah haluan hidup ke arah yang lebih baik demi
kelangsungan hidup keluarganya pada masa depan. Golongan petani perlu membuat
anjakan paradigma agar hidup mereka tidak kekal berada di takuk lama. Mesej yang hendak disampaikan dalam rangkap ini ialah kesyukuran harus
relevan dengan situasi kehidupan agar kita tidak terlalu pasrah. Usaha harus
dilakukan berterusan walaupun dibelenggu kemiskinan kerana kepasrahan kepada
nasib semata-mata akan menutup kemajuan dan kesejahteraan hidup yang bakal
dikecapi.
Rangkap yang ketiga pula
menggambarkan sikap seorang nelayan yang sinonim sikapnya dengan petani di
kampung. Nelayan juga bersyukur
dengan himpunan nasibnya dan pasrah
walaupun berdekad hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Nelayan bersyukur
dengan kehidupan yang dilaluinya tanpa melakukan perbuatan yang boleh
menjejaskan hak orang lain. Walau bagaimanapun, kepasrahan nelayan kepada laut dan harapannya dengan rezeki daripada laut
sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga. Nelayan
perlu menggandakan usaha untuk mengubah corak kehidupan agar lebih cerah pada
masa depan. Kepasrahan kepada nasib hanya akan menyebabkan anak-anak nelayan
mewarisi kehidupan malap sebagaimana yang dialami nelayan.
Lanjutan daripada itu, rangkap ini menyelitkan
nilai optimis dan kesyukuran. Nilai
kesyukuran akan menjadikan nelayan hidup dalam kemuliaan dan mendorong ke arah
penghayatan nilai-nilai mulia dalam kehidupan. Sementara siratan nilai optimis,
iaitu tidak mudah berputus asa akan mendorong nelayan berusaha lebih demi
kemajuan hidup pada masa akan datang.
Justeru, rangkap ini hendak menyampaikan mesej bahawa pembudayaan nilai optimis
akan mengubah corak kehidupan. Apabila kita sentiasa memandang positif setiap
kejadian yang berlaku, maka kita tidak akan berputus asa atau tertekan,
sebaliknya akan memandang kehidupan sesuatu yang perlu diperjuangkan selain patut
disyukuri dan dijalani dengan harmonis.
Rangkap 4 sajak ini pula memaparkan sikap adil pencipta, iaitu Tuhan yang
tidak akan memungkiri segala janji-Nya. Setiap perbuatan dan amalan akan
mendapat perhitungan dan pembalasan suatu masa nanti walaupun sekecil zarah.
Justeru, rangkap ini menyiratkan nilai
keadilan dalam menilai perbuatan sama ada baik atau buruk tanpa mengira
kedudukan, pangkat atau status seseorang semasa di dunia. Semua manusia akan
dinilai sama rata disisi Tuhan yang maha adil dan saksama. Justeru, rangkap ini memaparkan mesej bahawa amalan di dunia akan dihisab di akhirat.
Manusia tidak akan terlepas daripada perhitungan tanpa mengira kecil atau besar
pahala dan dosa yang dilakukan umat manusia di dunia fana ini.
Sesungguhnya, kesusahan, kegetiran,
kedaifan hidup nelayan dan petani yang mewakili golongan marhaen turut
dipengaruhi faktor sikap negatif seorang pengarah atau golongan atasan dalam
menjalankan amanahnya. Seandainya, golongan yang berkuasa dan golongan professional
dapat menjalankan tugas dengan adil, saksama, ikhlas dan amanah sudah tentu
nasib golongan petani dan nelayan akan terbela. Jurang kemiskinan pasti akan
dapat dirapatkan demi kesejahteraan bersama-sama namun perkara yang berlaku
adalah sebaliknya.
Dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran, pelbagai teknik boleh diaplikasi di dalam kelas untuk mengajar
sajak Kecek – (v) ini supaya sesi
pengajaran dalam kelas lebih menarik dan efektif. Antaranya :
(a) Teknik Dekon
Teknik dekon merujuk
kepada deklamasi dan lakon yang boleh
dijalankan dalam kalangan murid. Teknik ini boleh dijalankan dengan memberikan watak pengarah, nelayan dan petani kepada murid
tertentu untuk melakonkannya. Seorang murid yang lain pula diminta mendeklamasi
sajak dengan gaya, sebutan dan intonasi yang sesuai. Murid yang berlakon, iaitu
memegang peranan sebagai pengarah, nelayan dan petani perlu melakonkan watak
mereka sebagaimana yang digambarkan dalam sajak dengan bantuan para murid yang
lain. Lakonan tanpa suara ini memerlukan pemegang watak menunjukkan gerak, aksi
dan mimik muka yang berkesan agar dapat memberi gambaran dan kefahaman tentang
maksud sajak. Teknik ini dapat meningkatkan penghayatan para murid terhadap maksud
sajak apabila mereka menjiwai watak-watak berkenaan. Selesai sesi dekon,
soalan-soalan yang relevan boleh dikemukakan kepada para murid untuk melihat
keberkesanan aktiviti tersebut selain menguji tahap penghayatan mereka.
(b) Teknik Mestamu
Teknik mestamu
merupakan kependekan kepada teknik melagukan
sajak tanpa muzik. Teknik ini relevan untuk mengajar sajak dalam kelas bagi
menarik perhatian para murid dan boleh dijalankan secara individu, berpasangan
atau berkumpulan. Jika mestamu dijalankan secara berpasangan, maka sepasang murid dipilih, iaitu seorang
mendeklamasikan sajak dengan intonasi dan nada yang sesuai dan seorang lagi
menyanyi atau melagukannya tanpa iringan muzik. Irama untuk melagukan sajak ini
boleh diadaptasi daripada lagu-lagu yang digemari murid itu sendiri atau
daripada irama lagu-lagu puisi yang sedia ada selain mencipta sendiri irama
lagu. Teknik ini boleh diakhiri dengan komen dan pujian guru selain menyediakan
soalan-soalan yang merangsang penghayatan dan pemahaman murid.
Tuntasnya, pengaplikasian
teknik pengajaran yang sesuai dengan menggunakan sajak ini sudah tentu dapat
menjadikan sesi pengajaran lebih menarik dan berkesan selain dapat menarik
minat para murid untuk mempelajari bahan Komsas seperti sajak. Senadainya guru
bijak menggunakan teknik tertentu maka mitos yang menyatakan kesukaran bagi
murid mempelajari dan memahami sajak dapat disangah. Penjiwaan para murid dalam
lakonan tanpa suara atau dekon terhadap watak-watak dalam sajak akan menyemai
nilai kemanusiaan dalam diri mereka dan bertepatan dengan fungsi sastera yang
menghalusi dan memanusiakan manusia. Pemanifestasian sikap negatif dan positif,
nilai dan mesej yang dilantunkan oleh
watak-watak yang dipaparkan dalam sajak berdasarkan hasrat murni pengarangnya akan
dapat menjadi teladan dan contoh kepada generasi muda khususnya yang masih
dibangku sekolah. Para murid akan dapat menjadikan sikap, nilai dan mesej yang
disampaikan dalam sajak ini sebagai pedoman dan panduan dalam mengharungi
cabaran pada masa depan. Samat Buang dalam makalah yang bertajuk Restrospektif Komsas keluaran Pelita Bahasa Bil. 3/2015 berpendapat
bahawa karya sastera yang termuat dalam antologi pilihan sarat dengan
pengajaran dan keindahan yang dapat dijadikan sebagai santapan rohani pembaca
untuk memahami dan menghayati nilai, serta memperkasa rasa kemanusiaan dalam
konteks kehidupan harian. Justeru, pandangan ini mencitrakan keperkasaan bahan
sastera dalam fungsinya menyampaikan kisah dan teladan, menitipkan mesej,
membugarkan nilai, membongkar
permasalahan, menzahirkan falsafah dan melestarikan identiti dan jati diri
bangsa. Akhir kata, generasi muda harus diberi pendedahan yang sewajarnya
tentang keperkasaan fungsi bahan sastera melalui pebagai genre dalam
mengharungi ledakan arus masa yang semakin mencabar dewasa ini. Senario ini
membolehkan negara melahirkan modal insan yang memiliki nilai kemanusiaan yang
tinggi, bukannya warganegara yang bersikap seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.
No comments:
Post a Comment