Realisme Magis dalam Ensera Marga Timur dr St Anthony
Ensera Marga Timur dr St Anthony (EMTSA) merupakan sebuah
lagi karya yang terhasil daripada pengalaman melalui penyelidikan. Menurut Jong
Chian Lai (2009), novel ini terhasil daripada sumber pembacaan beliau terhadap
novel One Hundred Years of Solitude (OHYOS) atau Sumpah Tujuh Keturunan (terjemahan) karya novelis tersohor Amerika
Latin, iaitu Gabriel Garcia Marquez. Hasil daripada pembacaan terhadap novel
ini, beliau mencipta ceritanya sendiri dan lahirlah novel EMTSA.
Berhubung dengan
peranan dan kesan pembacaan atas kreativiti, A. Samad Said (1987: 24),
menyatakan bahawa “... melalui pembacaan, dapat mendorong seseorang pengarang
memikir ceritanya sendiri. Tegasnya setelah membaca beberapa buah novel serta
mengetahui jalan ceritanya dengan mudah seseorang penulis memikirkan beberapa
cerita yang boleh dibentuknya sendiri”. Pandangan ini menjelaskan bahawa
pembacaan yang dilakukan pengarang
menyumbangkan sumber pengalaman berharga yang dapat mencetuskan idea
untuk membentuk dan mencipta karyanya dengan cara tersendiri.
Pembacaan Jong
Chian Lai terhadap novel OHYOS mempengaruhi penciptaan beliau
dalam EMTSA ini. OHYOS merupakan sebuah fiksyen ciptaan Gabriel Garcia Marquez yang
membawa aliran realisme magis. Novel ini diterbitkan di Buenos Aires pada tahun 1967 dan telah menggemparkan dunia
sastera di Barat. Ungku Maimunah (1996:
22) menyatakan:
Novel tersebut dianggap sebagi sebuah total novel, sebuah karya
terbesar yang pernah terhasil dari bumi Amerika Latin dan merupakan karya agung
abad ke-20 ini, dan merupakan karya yang paling banyak diperkatakan dalam
seluruh kesusasteraan Amerika Latin. Lebih dari itu OHYOS dianggap sebagai kemuncak sumbangan Garcia kepada bentuk
realisme magis.
OHYOS merupakan sebuah novel yang
memparodikan sejarah Colombia, iaitu peristiwa berdarah yang dikenali sebagai
Pembunuhan Beramai-ramai Cienaga 1928 yang berlaku di Santa Maria Colombia.
Sohaimi Abdul Aziz (2002: 148) menyatakan:
“Unsur sejarah yang telah dibawa masuk oleh
Marquez ke dalam OHYOS telah melalui
proses dikanonisasi, iaitu ia telah diputarbelitkan, ditokoktambahkan dan
difiksikan. Proses dikanonisasi dilakukan melalui teknik parodi ironik.
Peristiwa Pembunuhan Beramai-ramai Cienaga 1928 telah diparodi dan diironikkan
dalam OHYOS”.
Pandangan ini
jelas membuktikan bahawa OHYOS merupakan
sebuah karya metafiksyen historiografik kerana sudah diparodikan dengan teknik
parodi ironik, iaitu teknik yang digunakan untuk mengaburkan hubungan sejarah
dan fiksyen dengan mendekonstruksikan sumber lama dan melahirkan sesuatu yang
berkontradik di samping menyindir secara halus. Sohaimi Abdul Aziz (2002: 147),
turut menyatakan bahawa “Metafiksyen
historiografik merujuk kepada simulakrum, iaitu salinan yang sempurna yang
tidak mempunyai sumber asal dan kesimulakrumnya itu jelas apabila unsur sejarah
yang dibawa masuk itu telah diputarbelitkan, ditokok tambah dan difiksikan.
Justeru, sudah tidak ada lagi hubungan dengan sumber asal”.
EMTSA juga sebuah karya metafiksyen
historiografik kerana pengarang telah mendekonstruksi
dan memfiksyenkan unsur sejarah sebenar tentang Rentap semasa penjajahan James
Brooke di Sarawak. Novel ini mengambil latar tahun 1800-an, iaitu semasa
pemerintahan James Brooke sehinggalah selepas merdeka. Dalam sejarah penjajahan
Brooke di Sarawak, Rentap merupakan penentang yang hebat kerana beberapa kali
serangan yang dilancarkan Inggeris gagal menawan Rentap. Serangan pertama pada
bulan Jun 1857 di Bukit Sadok yang merupakan kubu kuat Rentap telah gagal.
Begitu juga dengan serangan kedua pada tahun 1858 yang turut membawa kegagalan
kepada pihak Inggeris. Namun dalam serangan kali ketiga pada 28 Oktober 1861,
pihak Inggeris telah berjaya mengalahkan Rentap kerana kesilapan Rentap
sehingga hilang ramai pengikutnya. Rentap berjaya melarikan diri ke ulu Sungai
Entabai sehinggalah meninggal dunia (Buyong Adil 1981: 68-77).
Peristiwa dan
fakta sejarah tentang Rentap inilah yang dimuatkan pengarang dalam EMTSA tetapi telah difiksyenkan dengan mengangkat Rentap sebagai
pahlawan yang hebat dan dikatakan tidak dapat dikalahkan Inggeris sebaliknya
Rentap yang menjadi penjajah sehingga Inggeris tunduk kepadanya dan menuruti
semua kemahuan Rentap. Rentap dalam EMTSA
ditampilkan pengarang dengan transformasi dari segi pemikiran, aksi dan sikap
yang baharu dan tidak lagi menentang Inggeris dengan kekerasan. Unsur sejarah
sebenar telah difiksi dan diselewengkan pengarang kerana dalam sejarah, setelah
serangan kali ketiga Rentap telah kalah dan berundur. Dalam sejarah juga,
Rentap sering menentang Inggeris dengan kekerasan dan pemberontakan bukannya
dengan kuasa minda, kuasa magis dan
kebijaksanaan sebagaimana yang dibentuk dan difiksikan oleh pengarang dalam EMTSA.
Novel
ini merupakan karya pengarang yang memperlihatkan ciri pembaharuan dengan
pelbagai teknik dan tidak berplot. Menurut Panel Penilai Hadiah Sastera Kreatif
Budaya Sarawak 2003/2005:
Novel
ini tidak mempunyai pembahagian bab. Episod-episod dicantum-cantum tanpa
susunan seolah-olah tidak berplot. Sarat dengan pelbagai teknik, unsur budaya,
ritual, mitos dan kepercayaan. Diselitkan unsur-unsur sejarah dan imaginasi
untuk mengangkat Rentap sebagai tokoh lagenda ternama di Sarawak. Novel ini tidak
memberi fokus kepada watak tetapi lebih kepada peristiwa. Dari segi bahasa pula
agak menarik dan banyak menggunakan bahasa Iban.
Pengarang menghadirkan subjek
yang lebih menyeluruh dan mencakupi pelbagai bidang seperti politik, feminisme,
pengorbanan, penentangan, penindasan, ekonomi, perlanggaran adat, penjajahan
baru, budaya, politik, kebijaksanaan, kuasa magis dan marin arkeologis dalam
novel ini. Subjek politik dihadirkan secara tersirat sebagaimana yang diperanankan watak Rentap. Hal ini
menggambarkan bangsa Timur juga mempunyai kuasa
untuk maju dan mengecapi pembangunan walaupun pada era 1800-an. Oleh
itu, pengarang telah meletakkan pahlawan Iban sebagai pejuang yang dapat
mengalahkan pemerintahan Tuan Brooke di Kepulauan Borneo dengan adanya kekuasaan
yang disalurkan melalui kuasa magis, kuasa minda dan keajaiban yang dimiliki
Rentap. Tuan digambarkan tunduk dan mengikut kemahuan Rentap bagi mengelakkan
bangsa Barat mendapat malu. Segala kemahuan Rentap telah dipenuhi Tuan walaupun
Tuan mendapat tentangan hebat daripada bangsanya di Barat.
Pengarang
juga menghadirkan subjek tentang
golongan terpinggir atau bawahan yang bangun menentang kuasa Barat yang rakus
menjajah manusia Timur. Pertentangan
wujud antara kedua-dua golongan
ini kerana perbezaan pandangan dan tujuan masing-masing. Penentangan oleh
golongan terpinggir yang terdiri daripada manusia Timur yang diwakili etnik
Iban kali ini dilakukan dengan menggunakan kuasa minda dan kuasa magis yang
diperturunkan dewa-dewi kayangan bagi menggambarkan keagungan dan kepahlawanan
manusia Timur dan sekaligus mengangkasakan tamadun Timur. Pertentangan dalam
novel ini juga dapat diertikan sebagai pertentangan pendapat antara manusia
Timur dan Barat tentang kuasa, penjajahan, ekonomi, politik, kehidupan dan
kemanusiaan serta pengorbanan.
Pertentangan disampaikan pengarang secara
tersurat dan tersirat dengan teknik penceritaan yang berkesan. Penentangan
turut dilakukan demi kemajuan dan pembangunan bangsa Timur. Kuasa Barat yang
datang ke Timur secara tradisinya bertujuan untuk menjajah dan mengeksploitasi
ekonomi dengan mengikis keuntungan dari dunia Timur untuk dibawa ke Barat. Secara langsung pengarang menghadirkan subjek
pembangunan yang dipentingkan manusia Timur melalui Rentap. Manusia Timur
digambarkan mempunyai aspirasi mahu membangun dan maju walaupun pada era
1800-an. Perkara seperti inilah yang membawa kebangkitan dan penentangan oleh
manusia Timur yang diwakili Rentap agar penindasan terhadap ekonomi oleh
penjajah Barat dapat disekat demi kemajuan dan pembangunan bangsa Timur.
EMTSA merupakan rekaan Jong Chian Lai
khas buat khalayak yang mahu berfikir tentang persoalan yang hendak
disampaikan. Pengarang menggunakan aliran realisme magis sebagai narasi penciptaannya. Novel ini merupakan cereka mimpi, halusinasi,
cereka beralasan dan fantasi dalam dunia real
dan unreal yang dibaurkan pengarang dalam menyampaikan
idea dan gagasannya. Laman web Wikipedia mendefinisikan aliran realisme magis seperti berikut:
Magic realism
is an aesthetic style or genre in literature in which magical elements are
blended in to a realistic atmosphere in order to access a deeper understanding
of reality. These magical elements are explained like normal occurrences that
are presented in a straight forward manner which allows the “real” and the
“fantastic” to be accepted in the same stream of thought.[1]
Realisme magis
adalah cantuman dua kata iaitu realism
dan magic. Realisme asalnya adalah
satu aliran yang dianuti oleh satu gerakan sastera bermula awal abad ke-19. Ia
diaplikasikan kepada prosa yang memaparkan ilusi kehidupan yang mencakupi
persekitaran yang para watak dan segala keperihalan yang realistik iaitu yang
munasabah. Magic pula merujuk pada
jalinan unsur-unsur fantasi, mitos dan legenda. Dalam konteks mitos dan legenda
inilah banyak dongengan dengan cerita pari-pari, manusia boleh terbang,
kematian dan tragedi yang menakjubkan dan makhluk-makhluk yang di luar alam
nyata. Unsur supernatural juga
digabungkan sehingga penampilan keluarbiasaan ketara sekali. Langgam
penceritaan digembar-gemburkan, dilebih-lebihkan sehingga lebih fantasi, lebih
sensasi dan karutnya menyimpang dari dunia nyata. Gabungan realism dan magic inilah
lahirnya aliran realisme magis (Shahnon Ahmad 2002: 129-131).
Aliran ini
menggariskan ciri-ciri seperti hubungan sebab musabab yang kurang ditaati,
peristiwa ke peristiwa jelas namun ada unsur remang, peristiwa masa kini
bertindih dengan masa silam, adanya hubungan dengan unsur magis, mitos, legenda
dan falsafah, perwatakan diperkait dengan latar dan sejarah, banyak deskripsi fikiran daripada
fizikal, latar sosial mempengaruhi perkembangan jalur cerita/pemikiran dan
sering terjadi pertentangan. Realisme magis digunakan pengarang untuk menutup
pemikiran politik kerana persoalan politik terselindung dalam situasi unreal supaya protesnya tidak ketara.
Ciri-ciri inilah yang mewarnai dan mendominasi novel EMTSA sebagai sebuah karya yang beraliran realisme magis.
Dalam EMTSA
pengarang mengemukakan peristiwa pada masa kini, iaitu selepas merdeka
bertindih dengan masa silam iaitu sekitar tahun 1800-an atau sebelum merdeka
iaitu pada zaman penjajahan James Brooke iaitu sekitar tahun 1841. Peristiwa
cicit Mem iaitu Edward Blair Jr yang berada di tengah laut iaitu di Selat
Melaka pada masa kini atau selepas merdeka untuk mencari khazanah bangsanya
dibaur dan diselangselikan dengan kisah zaman silam iaitu kisah Mem yang
memulakan kehidupan di gereja St Anthony, Brooklyn melalu imbas kembali
cicitnya. Kemudian, peristiwa masa kini tentang Edward Blair Jr dibaurkan
dengan imbas kembali Mem tentang zaman silam iaitu kisah Mem dan Rentapdi
kepulauan Borneo. Peristiwa zaman kini berselang seli dengan peristiwa zaman
silam yang diimbas kembali oleh Mem dan cicitnya Edward Blair Jr membauri novel
ini dari awal sehingga ke akhir cerita. Peristiwa ini dapat diperkait dengan latar masa yang sengaja dibentuk
pengarang. Pertindihan peristiwa masa kini, silam dan lampau (melalui imbas
kembali) merupakan ciri karya yang beraliran realisme magis.
Peristiwa
tersebut berkeadaan begitu kerana plot yang tidak kronologis atau pun lebih
tepatnya bersifat jungkir balik. Cerita yang dipaparkan tiada urutan masa dan
latar tempatnya juga tidak tetap. Zaman kini berlatarkan dunia Barat dan Kepulauan Borneo yang sudah mengecapi
kemajuan dan kecanggihan selepas merdeka. Zaman silam pula berlatarkan gereja
St Anthony di Brooklyn, kadang-kadang di Kepulauan Borneo dan ada kalanya dunia
sebayan, iaitu dunia selepas mati bagi masyarakat Iban melalui mimpi dan
halusinasi Mem. Zaman lampau melalui imbas kembali Mem kebanyakannya
berlatarkan dunia fantasi seperti dunia dewa-dewi, dunia mimpi dan dunia
realiti di rumah panjang Kerangan Panggil dan di Kepulauan Borneo. Pengarang memanfaatkan
teknik imbas kembali dengan semaksimumnya dalam novel ini agar penceritaan
menjadi lebih berkesan.
Plot novel
bertindih dan berselang seli dan kadang-kadang mengelirukan pembaca. Latar dan
peristiwa yang bertindih dalam novel ini amat menuntut pembacaan yang teliti. Jong
Chian Lai (2009), menegaskan bahawa pemaparan novel ini adalah dalam bentuk
akrostik atau puzzle bergambar yang
disengajakan untuk mencabar diri beliau dan secara tidak langsung mencabar
pemikiran pengkritik. Beliau menulis novel ini tanpa bab-bab, berselang seli
dengan penampilan plot dan subplot yang mengelirukan pembacaan. Pengarang
memperlihatkan teknik keterpecahan seperti dislocation[2]
kerana latarnya tidak tetap.
Pengarang
mendeskripsi dunia fantasi tatkala mengisahkan kebesaran dan keajaiban dewa-dewi
yang diagungkan kaum Iban sehingga dapat menyediakan mimpi kepada mereka untuk
ke Panggau Libau. Panggau Libau ialah tempat di antara langit dan bumi yang
menjadi tempat kediaman dewa-dewi dalam masyarakat Iban (Jimmy Donald 1998: 1).
Kadang-kadang dunia realiti zaman silam dibaur dan dikaburkan dengan dunia
halusinasi Mem, iaitu Mem ke dunia sebayan iaitu, dunia selepas mati dalam
kepercayaan masyarakat Iban ketika duduk
di kerusi goyang. Sesungguhnya novel ini lebih sarat dengan deskripsi fikiran
atau minda melalui unsur mimpi dan penceritaan tentang dunia kayangan
dewa-dewi dan kemagisan Rentap
dibandingkan dengan fizikal. Deskripsi
ini disampaikan pengarang dengan menggunakan teknik monolog dalaman melalui
watak Mem Rosalinda yang dominan penggunaannya dalam novel ini.
Unsur-unsur magis
dan mitos dibaurkan pengarang dalam
novel ini untuk menonjolkan legasi kepahlawanan
dan keperwiraan Rentap dalam menghadapi penjajah Barat yang bermotif
untuk keuntungan dan penindasan. Kuasa magis yang dimiliki Rentap menggerunkan
orang Barat, apatah lagi disaratkan dengan mitos sehingga Rentap menjadi
legenda dalam masyarakat Iban dan disanjung tinggi. Pengarang berbuat demikian
adalah untuk mengangkat maruah dan menonjolkan daya keintelektualan pemikiran yang
tinggi kepada bangsa yang selalu menjadi fokus penciptaan beliau khasnya
golongan terpinggir.
Novel yang
beraliran realisme magis juga memaparkan watak yang berkaitan dengan latar dan
sejarah seperti watak Rentap dan Tuan yang memang wujud dalam sejarah dan latar
zaman silam di Kepulauan Borneo tetapi didekonstruksikan dengan jalinan yang
halus. Di samping sarat dengan elemen mitos dan unsur magis novel yang beraliran ini juga ada falsafah. EMTSA mengutarakan
falsafah tentang bangsa yang berjiwa besar dan berani ialah bangsa yang tahu
menghargai budaya dan tradisinya sendiri
termasuklah berjati diri tinggi.
Pengarang menghadirkan unsur magis yang pekat
dalam novel ini. Rentap sebagai pahlawan agung diberi kuasa magis melalui batu-batu azimat seperti emplias, ratai dan
jerenang[3].
Batu-batu ini ada kuasa magis untuk memberi kekuatan, kegagahan, keberanian dan
kebijaksanaan yang luar biasa kepada Rentap. Batu emplias ada kuasa magis untuk menjadikan Rentap kebal atau tidak
lut senjata api. Askar-askar Inggeris pernah menembak curi Rentap dengan
senapang tetapi tubuhnya digambarkan tidak lut dan askar-askar itu terkencing
berdiri kerana ketakutan. Kemudian Rentap ditembak dengan meriam dan mengena
belakangnya Rentap bangkit dan menjadi gergasi lalu mengangkat meriam lalu
dihantar ke Groove (Jong Chian Lai 2009: 418). Batu ratai pula
menyalurkan kekuasaan kepada tubuh
Rentap iaitu memberikan kekuatan atau tenaga luar biasa kepadanya. Batu
jerenang yang dililit dipinggang Rentap menjadikan bangsa Iban lebih bijaksana
seperti Rentap sehingga boleh mengalahkan Tuan. Magis ini menggambarkan bangsa
Iban sebagai bangsa yang terlebih dahulu menciptanya iaitu diperturunkan
dewa-dewa dari Panggau Libau.
Ilang atau pedang
kepunyaan Rentap juga mempunyai kuasa
magis kerana ombak menjadi besar dan cuaca menjadi buruk apabila rakan Edward
Blair iaitu Charles Johnson menyatakan itu pedang palsu. Badan Edward Blair
pula menjadi kaku apabila memegang ilang itu. Kemudian Edward Blair Jr berasa semangat Dewa Keling meresap ke dalam badannya sebelum pengsan dan
bermimpi bertemu Dewa Keling. Contohnya dapat diteliti dalam petikan berikut:
Edward Blair Jr menjulang ilang itu. Sinar
mentari terpercik dari bilahnya yang berkilat itu. Semacam satu semangat yang
meresap ke dalam tubuhnya. Dia begitu lama terpegun sambil tercegat di situ
seperti Dewa Keling Aji Berani ...
(Jong Chian Lai 2009: 78)
Peti yang
tenggelam bersama Royalist III juga
mempunyai kuasa magis. Apabila dibuka, angin menerpa keluar dan kedengaran
bunyi engkurumong, bebendai dan gong[4]
seperti muzik ajaib yang dibawa pedagang Gipsi dalam novel OHYOS. Bunyi muzik ini telah mengkhayalkan kru-kru kapal Rentap.
Hikayat Rentap juga ada kuasa magis kerana kalis air dan masih sempurna
walaupun tenggelam beratus-ratus tahun. Pokok kayu malam di rumah panjang Kerangan
Panggil di Kepulauan Borneo juga diberi
kuasa magis kerana pandai bersuara dan dapat memakbulkan doa orang yang tidak
mempunyai anak.
Selain unsur magis,
pengarang turut menghadirkan unsur mitos bagi memperkukuh elemen realisme magis
dalam novel ini. Tambahan pula beliau juga membuat rujukan terhadap buku Hikayat Keling Gerasi Nading oleh Jimmy
Donald yang menceritakan legenda dan cerita-cerita kaum Iban. Jimmy Donald
(1998: xi) menyatakan bahawa “Hikayat ini merupakan legenda Iban yang paling
tua dan diturunkan secara lisan daripada generasi ke generasi”. Hikayat ini
mengisahkan riwayat hidup Keling iaitu anak Jenuring Nading yang tinggal di
Panggau Libau iaitu benua antara langit dan bumi. Hikayat ini memuatkan
kepahlawanan dan kehebatan Keling, pengembaraan, penyamaran dan perkahwinannya
dengan Kumang.
Pengarang
menghadirkan cerita yang berkaitan dengan dewa-dewi yang sarat dengan unsur
mitos. Unsur ini diketahui melalui
cerita Mem kepada cucunya, iaitu
Thomas Edward Blair. Misalnya tentang hikayat, tentang Dewa Keling Aji Berani
Beperang Datu Au Penyangga Punggu Berangan Ninggang Kyiai Anjai Sarat Sakai
Pemanggai Lintang yang menghilang dalam kabus bersama-sama Rentap. Dewa Keling
dan Rentap mencari ilang dan berjalan atas naga berkepala tujuh setelah Dewa
Keling membaca mantera. Cerita Mem penuh dengan kehebatan, kesaktian dan
keajaiban tentang Dewa Keling yang membantu dan menurunkan kesaktian kepada
Rentap. Pengarang memanfaatkan peranan penglipurlara melalui watak Mem dengan cukup teliti untuk
memberi kesan terhadap teknik
penceritaan dalam novel ini.
Kisah Dewa Keling
memperkasakan Rentap juga sarat dengan mitos yang bergumal di dalamnya keajaiban
dan penerokaan dalam dunia fantasi dewa-dewa. Pemerkasaan Rentap dilakukan oleh
Dewa Keling, Nenek Andan dan Gelayan yang merupakan watak bukan manusia dalam
masa tujuh hari setelah kelahiran Rentap. Dalam kisah ini Puteri Pelanduk
muncul dan menyusukan Rentap yang kelaparan. Nenek Andan dapat menurunkan hujan
setelah membaca mantera Sebungkok dan mereka bertiga bersama-sama Rentap yang
masih bayi dapat berjalan di atas belakang buaya yang hidup dalam tasik yang
dikeringkan petara. Mereka turut terperangkap dalam ancaman binatang buas yang
menyerupai manusia ketika hendak mencari batu emplias dan terjatuh di atas paku
pakis gergasi lalu bertembung dengan gergasi Buga Setua Tui. Bayi, iaitu Rentap
diberi makan muntah gergasi kerana di dalam muntah ada batu emplias. Batu ratai
pula akan dimuntah ular di rumah panjang.
Unsur mitos yang dihadirkan turut memerikan
keajaiban pada sawah padi kepunyaan Imbong dan Ningkan, iaitu ibu bapa Rentap.
Selepas Imbong berjumpa Dewi Kumang, sawah padi mereka menjadi-jadi dan
bercahaya keemasan. Kelahiran Libau atau Rentap juga digambarkan adalah
kehendak para dewa. Beras menjadi harum dan apabila dimasak menjadi sebesar
biji jagung. Padi kepunyaan mereka tidak pernah habis di makan. Keluarbiasaan
ini menggemparkan orang rumah panjang dan Tuai
Rumah pengsan apabila menyaksikan kejadian nasi sebesar biji jagung.
Mitos turut
mewarnai Rentap apabila Rentap bertukar
menjadi gergasi dan dapat mengangkat ular besi dan meletakkannya di landasan
keretapi. Kepala Rentap juga tidak lut apabila Garan membelah kepalanya dengan
ilang, sebaliknya Garan yang mati. Rentap turun ke sungai dan muncul bersama-sama
buaya dan membesar menjadi gergasi. Kebanyakan yang hadir ketakutan termasuk
Tuan sehingga terkencing apabila Rentap menyentuh kepalanya. Unsur mitos
mengangkat Rentap sebagai pahlawan yang digeruni penjajah walaupun sukar untuk
mereka mengakuinya. Penggunaan unsur mitos menggambarkan kebijaksanaan
pengarang dalam menerokai unsur tradisi sesuatu bangsa yang bukan sekadar diwarisi
tetapi harus difahami dengan mendalam. Pengarang memperlihatkan kesedaran dan
kekuatan menguasai mitos-mitos bangsa Iban hasil ketekunan dan penelitian jitu beliau
membuat pembacaan terhadap buku-buku hikayat.
Dunia mimpi turut
dihadirkan pengarang dan mimpi merupakan ciri yang dominan dalam karya
beraliran realisme magis. Mimpi-mimpi ini biasanya membawa alamat dan petanda
sama ada baik atau buruk serta mengandungi pelbagai keajaiban sehingga dapat ke
dunia sebayan. Mem yang tertekan dengan kesebatangkaraannya terlantar di gereja
St Anthony Brooklyn, kekesalan dan kepiluan kerana anaknya sendiri sukar
mengakui dirinya ada darah manusia Timur, keterkilanan kerana melanggar adat
yang mengecewakan ibu bapanya dan kebersalahan Mem kerana menghilangkan khazanah
bangsanya membuatkan jiwa Mem kacau. Mem mengalami kecelaruan, keharu-biruan,
kekalutan, kerusuhan dan dilanda kemurungan sehingga terbawa-bawa dalam mimpi.
Mem telah bermimpi pergi ke dunia sebayan,
iaitu dunia selepas mati dalam masyarakat Iban ketika duduk di atas
kerusi goyang di hadapan pondok kediamannya di kawasan gereja.
Mem berhalusinasi
lagi antara mimpi dan realiti ke dunia sebayan dan berjumpa Rentap kekasihnya.
Rentap ditemuinya di rumah panjang di Kerangan Panggil dan sedang menunggu kedatangan
Mem. Rentap bertanya Mem tentang khazanah bangsa mereka yang amat berharga dan
bimbang khazanah itu jatuh ke tangan manusia Barat yang pasti memanipulasikan
khazanah itu untuk kepentingan mereka. Mimpi Mem sebenarnya menjadi petanda
yang Mem juga akan dijemput ke dunia sebayan
seperti mereka yang telah
menghuninya kerana tidak lama selepas Mem Rosalinda atau Rita bermimpi, dia
telah dijemput ke dunia sebayan dalam perjalanan pulang ke Kepulauan Borneo.
Watak lain juga
diwarnai mimpi yang memberi rahmat kepada mereka. Imbong bermimpi berjumpa Dewi Kumang yang sangat jelita.
Dalam dunia mimpi inilah digambarkan dewa-dewi yang jelita seperti disaksikan
Imbong:
... Dewi Kumang yang sangat anggun itu. Dia
terpesona melihat wajah anggun itu. Benar apa yang diceritakan nenek. Dia lebih
anggun daripada Dewi Sogjatriputri dari Pulau Jawa, lebih cantik daripada
Puteri Hang Lipo, lebih cantik daripada Puteri Wong Peh Li dari negara Tembok
besar 1001 li itu dan Puteri Nagaketsu dari kepulauan negara matahari terbit
itu.
(Jong Chian Lai 2009: 90)
Imbong berjumpa
Dewi Kumang setelah ada suara memanggilnya agar masuk ke dalam pokok kawi. Dewi
memberitahu yang Imbong bakal melahirkan anak lelaki yang digelar Rentap dan
akan menjadi ensumbar, iaitu pahlawan
yang akan menggoncang dunia, agung, gagah, berani, kebal, kuat, bijaksana dan
terbilang. Mimpi Imbong menjadi kenyataan kerana Rentap menjadi pahlawan agung
dalam bangsanya sehingga menggerunkan
orang Barat.
Unsur magis, mitos, dunia
mimpi yang berbaur dalam novel
ini merupakan metode pengarang untuk menggema dan menggembar-gemburkan
kelebihan, keistimewaan dan ketinggian kuasa minda manusia Timur yang sukar
diyakini manusia Barat di samping menggambarkan yang tamadun Timur lebih tinggi
kuasa mindanya daripada Barat. Mitos dewa dewi yang dilipurkan dalam novel ini
menggambarkan kekayaan folklor bangsa yang penuh dengan unsur supernatural. Unsur-unsur kesaktian dan
magisme yang sukar diterima akal dan rasional dieksploitasi pengarang bagi
memperlihatkan kekayaan magis dan kehalusan peradaban manusia Timur. Unsur
magis yang dilimpahkan pada Rentap mungkin juga satu perutusan politik antipenjajah
pengarang melalui novel ini. Tambahan pula pengarang mahu bangsa ini memikirkan
secara serius tentang politik, ekonomi dan sosial demi masa depan bangsa.
Pemimpin pula harus ada sifat kebijaksanaan dan kekuasaan daya pemikiran serta
sanggup berkorban demi bangsanya seperti pengorbanan Rentap untuk mengejar
kemajuan dan pembangunan minda dan fizikal bagi bangsanya.
EMTSA yang beraliran realisme magis
merupakan sebuah karya pascamoden yang tidak lagi mementingkan watak tetapi
lebih mementingkan pemikiran dan peristiwa. Watak-watak yang ada diberi idea,
nafas dan pemikiran yang baharu. Jong Chian Lai
mencitrakan Rentap sebagai manusia yang melakukan pemberontakan dan
penentangan dengan menggunakan kebijaksanaan, kuasa magis dan kuasa minda
sebagai manusia Timur. Pengarang melakukan deviasi dengan memberi makna baharu
atau pembaharuan kepada watak Rentap kerana Rentap bukan lagi seorang ketua
yang hanya tahu melancarkan serangan dan menggunakan kekerasan dalam menentang
Tuan seperti dalam novel Pemberontakan
tetapi diberi pemikiran dan nafas yang baharu serta kebijaksanaan ketika
berhadapan dengan Tuan, tidak lagi menggunakan kekerasan. Pola kebijaksanaan,
pembangunan minda dan perancangan Rentap diakui pegawai Inggeris seperti dalam
petikan berikut:
“Pahlawan itu amat bijak. Minda manusia timur
sudah berupaya berinovasi, bervisi, membawa pembangunan, pemahaman sains dan
teknologi, dan akan terjadi adaptasi, ciplak dan reka bentuk pemikiran manusia
Barat”.
(Jong Chian Lai 2009: 148)
Rentap dilukiskan
mempunyai corak pemikiran yang sentiasa memikirkan kemajuan dan pembangunan
bangsanya tetapi bangsanya menganggap
Rentap sebagai menyeleweng serta menimbulkan kemarahan Dewa Keling. Rentap
tidak menghiraukan kemarahan dewa-dewa malah semakin giat dengan agenda
pemodenan minda untuk kemajuan bangsanya dengan meminta keretapi dan jentera
tolak daripada Inggeris sebagai alternatif untuk memajukan bidang pengangkutan
dan memusnahkan hutan serta penunggu yang menyekat kemajuan bangsanya. Tindakan
Rentap ini telah melanggar adat bangsanya sehingga dituduh tidak siuman.
Permintaan Rentap dipenuhi Tuan walaupun mendapat tentangan ahli politik di
Barat kerana bangsa Barat akan mendapat malu jika tidak dapat memenuhi permintaan
daripada Rentap yang merupakan wakil bangsa Timur.
Pengarang turut
mencitrakan watak wanita yang mempunyai pemikiran yang berani dan bijaksana
demi kemajuan bangsanya yang sebelum ini belum pernah diketengahkan beliau.
Rita atau Mem Rosalinda sanggup melanggar adat rumah panjang dengan
mengandungkan anak luar nikah hasil hubungan terlarang dengan pegawai Inggeris
sehingga dihalau dari rumah panjang. Rita menjadi wanita pertama yang
menjelajah ke negara Barat dan terlantar di gereja St Anthony, Brooklyn setelah
menggemparkan rumah panjang. Tragedi yang menimpa Rita tidak melemahkan
semangatnya untuk membantu memartabatkan bangsa Timur di mata orang Barat.
Rita dicitrakan sanggup berkorban demi kemajuan bangsa
dan mempertahankan martabat manusia Timur daripada terus dipandang rendah oleh
orang Barat. Pencitraan watak wanita
yang berani dan bersifat feminis seperti Rita merupakan suatu pembaharuan dalam
penciptaan beliau dibandingkan dengan karya-karya sebelum ini. Pencitraan
pengorbanan dan keberanian Rita digambarkan seperti dalam petikan ini, iaitu
apabila Rita mengatakan “Kaum Iban akan
hidup di seluruh ceruk dunia dengan kelahiran bayi ini. Kaum kita akan menjadi
bangsa besar, bijak, berani dan yakin. Aku sanggup berkorban demi kaum Iban” (Jong Chian Lai 2009: 353). Suara Rita ini
merupakan siratan simbolik untuk mencapai kekuasaan bagi keagungan bangsanya.
Dalam novel ini,
Jong Chian Lai mencitrakan Rentap dan
Rita sebagai watak yang mengeksploitasi orang Inggeris dengan
memperalatkan manusia Barat seperti
Micheal Leigh untuk menimba pelbagai ilmu bagi pembangunan bangsanya. Dekonstruksi,
transformasi dan penilaian baharu terhadap Rentap ini secara tidak langsung
membayangkan persepsi dan wawasan pengarang yang tidak mengongkong
kreativitinya. Langkah pengarang mewirakan Rentap adalah tanda kebebasan
berfikir dan wawasan untuk mengemukakan wira yang boleh menjadi inspirasi dan
idola masyarakat dalam mengecapi kemajuan.
Jong Chian Lai bergerak secara sedar dengan
berpegang pada realisme magis dalam EMTSA.
Walaupun membuat perlanggaran dalam aliran yang dianutinya tetapi beliau tetap
mengekalkan idealisme tentang masyarakat bawahan dan masyarakat yang ditindas. Dalam EMTSA, aliran ini kelihatan pekat dan
dilakukan beliau dengan penuh kesedaran demi
pembaharuan dan impak penyelidikan yang penuh dedikasi. Tindakan beliau
ini bersesuaian dengan wawasan untuk
mengangkat maruah bangsa dan tamadun Timur serta kuasa politik secara
tersembunyi dan tersirat dengan penggemblengan
unsur-unsur magis, unsur real dan unreal yang dibaur di dalamnya.
Etnik terpinggir,
mundur dan serba kedaifan distruktur pengarang sebagai bangsa yang hidup dan
mempunyai kuasa politik kerana berjuang bersungguh-sungguh untuk menempatkan
kemajuan bangsanya daripada tergelincir daripada arus pembangunan. Penamaan
kapal dengan nama ‘Rentap’ kepunyaan
cucu Mem yang bernama Thomas Edward Blair di Barat mempunyai makna etnik ini mempunyai pengaruh dan kuasa yang
besar kerana nama kapal itu adalah sempena nama
Rentap yang merupakan pahlawan agung
masyarakat Iban. Rentap mempunyai kuasa magis, keajaiban, pengaruh,
bijak serta mempunyai kuasa minda yang tinggi sehingga dikagumi dan dapat mengalahkan
bangsa Barat seperti Tuan. Kapal ‘Rentap’ juga hidup di Barat dan mempunyai
kru-kru yang terdiri daripada manusia Barat. Keadaan ini menggambarkan adanya
daya dan kuasa politik sebagai satu simbolik kuasa dalam jiwa bangsa ini
walaupun disuguhkan pengarang secara tersirat.
Novel yang
beraliran realisme magis merupakan sebuah teks pascamoden dan dikenali sebagai
sastera pascamodnisme. Mana Sikana (2004: 280), menyatakan bahawa teks
pascamoden sebagai “... karya yang dianggap mempunyai unsur antimodenisme,
seperti teks-teks unreal, surealistik, absurdistik, semiotik, intertekstual,
parodi, realisme magis, polivalensik dan ironik”. EMTSA menyangkut, menampakkan tendensi dan mempunyai pertalian
serta keberkaitan erat dengan ciri-ciri teks pascamoden tersebut. Novel ini
memperlihatkan adanya unsur antimodenisme melalui paparan folklor tentang
dewa-dewi dan Hikayat Keling yang
membantu menguatkan jalan cerita dan pemikiran yang hendak disampaikan. Unsur unreal dibaur dengan dunia mimpi dan
dunia sebayan yang kadang-kadang sukar dikesan dalam cerita. EMTSA juga ada bisikan-bisikan tanda dan
simbol melalui penggunaan watak haiwan seperti buaya yang melambangkan golongan
yang berkuasa dan penggunaan nama Rentap untuk menamakan kapal kepunyaan cucu
Mem.
Berdasarkan
peristiwa yang bertindih antara zaman silam dan kini, elemen-elemen magis,
mitos, legenda dan falsafah, perwatakan yang berkait dengan latar dan sejarah,
adanya pertentangan dan deskripsi fikiran lebih banyak daripada fizikal, maka EMTSA
adalah sebuah karya yang beraliran realisme magis. Novel yang beraliran
realisme magis ini bukan sahaja menyumbang terhadap kelahiran teks yang bermutu
malah turut menyumbang terhadap kelahiran teks-teks pascamoden dan avant-garde yang sarat dengan ciri-ciri
pembaharuan yang tinggi mutunya.
Unsur-unsur magis digemblengkan melalui
penggunaan batu-batu azimat kepunyaan Rentap yang ada kuasa magis. Khazanah
yang hilang dan tenggelam bersama-sama kapal Royalist juga melambangkan kebesaran dan keagungan bangsa Iban
sehingga menghantui hidup Mem selagi tidak berjaya mengembalikan khazanah
tersebut kepada kaumnya di Kepulauan Borneo. ‘Hikayat Rentap’ juga melambangkan
keagungan dan ketinggian bangsa Iban kerana hikayat ini memperincikan
kelahiran, kepahlawanan dan kehebatan Rentap.
Berdasarkan
perbincangan tersebut, jelaslah yang EMTSA
beraliran realisme magis yang turut diwarnai unsur parodi apabila
wujud pemutarbalikan sejarah melalui
peristiwa penjajahan Brooke di Kepulauan Borneo. Pemutarbalikan ini menjadikan
Rentap sebagai penjajah bukannya Tuan Brooke yang menjajah. Penilaian baru ini
menyerlahkan ideologi pengarang untuk mengangkat martabat dan kuasa hidup
golongan terpinggir khasnya etnik Iban ini. Walaupun etnik ini hidup terpinggir tetapi daya dan keinginan untuk
maju serta mempertahankan hak yang menjadi identiti bangsa mereka tetap
tersemat dalam sanubari. Masyarakat sebeginilah yang mempunyai jati diri bangsa
kerana ada inisiatif dan daya untuk melonjakkan imej bangsa. Idea-idea yang
dipaparkan pengarang melalui EMTSA
adalah usaha yang mulia dalam mengangkat dirinya sebagai pengarang yang
melahirkan teks pascamoden.
Pengarang yang
kaya dengan pelbagai idea, telah memberi penilaian semula pada sejarah silam dan
berani meneroka aliran baharu merupakan
pengarang yang mempunyai keberanian
dalam berkarya. Kelahiran EMTSA
menempatkan karya Jong Chian Lai sebagai teks pascamoden yang memberi sumbangan
dalam dunia sastera pascamodenisme.
Kelahiran teks pascamoden ini bukan sahaja memperkaya khazanah sastera
tetapi memperlihatkan narasi teks yang
berbeza daripada penciptaan beliau sebelumnya. Penyulamanan dan pembauran unsur-unsur yang membina aliran
realisme magis melambangkan ketinggian kuasa minda dan kekayaan budaya serta
tradisi yang dikongsi bersama-sama oleh manusia Timur. Kehadiran unsur-unsur
ini menyepadukan teks ini sebagai teks yang beraliran realisme magis yang
bersesuaian dengan kemahuan pengarang yang mahu mengangkat maruah bangsa Timur.
Penyepaduan unsur-unsur ini hasil
daripada pengalaman penyelidikan pengarang mengunggulkan teks ini sebagai
sebuah teks pascamoden.
Rujukan
A.Samad Said. 1987. Dari Salina ke Langit Petang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Buyong
Adil. 1981. Sejarah Sarawak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pelajaran Malaysia.
Jimmy Donald. 1998. Hikayat Keling Gerasi Nading. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Jong, Chian Lai. 2009. Ensera Marga Timur dari St. Anthony. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mana Sikana. 2004. Sastera Melayu Pascamodenisme. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahnon Ahmad. 2002. Unsur realisme magis
melalui konsep pencerobohan dalam karya-karya
awal Gabriel Garcia Marquez. Dlm. Lalita Sinha (pytg.). Tradisi dan
Modeniti: kesusasteraan melintasi zaman dan wilayah, hlm. 129-138. Pulau Pinang: Penerbit Universiti
Sains Malaysia.
Sohaimi Abdul Aziz. 2002. Unsur sejarah dalam
metafiksyen historiografik: satu pemikiran
pascamoden. Dlm. Lalita Sinha (pytg.). Tradisi
dan modeniti :kesusasteraan
melintasi zaman dan wilayah, hlm. 139-157. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 1996. Elemen
realisme magis dalam Hujan Pagi: satu kajian berdasarkan novel One Hundreds Years of Solitude karya
Gabriel Garcia Marquez. Dewan Sastera Januari:
20-27.
http://en.wikipedia.org.wiki.magical_Realism
(15 Jun 2010)
[2] Dislocation bermaksud latar yang
secara jelas boleh berlaku di mana-mana sahaja dan bila-bila masa (Mana Sikana,
2004, hal. 17).
[3] Emplias, ratai dan jerenang merupakan
batu-batu biasa dan tiada warna tetapi dipercayai masyarakat Iban mempunyai
kuasa atau roh yang dapat memberi kekuasaan (Jong Chian Lai -wawancara
20/6/2010).
[4] Engkurumong, bebendai dan gong merupakan alat
muzik tradisional dalam masyarakat Iban (Jong Chian Lai- wawancara 20/6/2010)
No comments:
Post a Comment