Aku belum mendapatkannya tetapi aku sudah melihatnya di ruangan FB yang dipost oleh DBP. Pada muka depan tercatat tajuk ini. Tadaaa......PB Keluaran 6/2015
Manifestasi Perlakuan dan Nilai Murni dalam Gurindam
Dua Belas Fasal Ketiga
Gurindam Dua Belas
Fasal Ketiga dimuatkan dalam Antologi
Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, iaitu antologi yang menggantikan Antologi Harga Remaja (2010-2014)
khususnya untuk para murid tingkatan empat. Antologi Jaket
Kulit Kijang dari Istanbul yang digunakan mulai tahun 2015 ini diterbitkan
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Gurindam
dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud
sejenis puisi yang terdiri daripada dua baris yang berisi nasihat atau
pengajaran. Md Ali Bachick (2003) mendefinisikan gurindam sebagai sebuah wacana
yang mengandungi kalimat-kalimat yang berirama. Isinya berunsur nasihat dan
bentuknya semacam bidalan.
Gurindam
dikatakan berasal dari bahasa Sanskrit dan dibawa orang India dengan nama kirindam. Kirindam bererti rangkap yang telah menjadi bidalan
atau perumpamaan. Gurindam mempunyai dua bait dalam satu rangkap dan berisi
rima a, a. Bait atau baris yang pertama mengandungi soal, masalah atau sebab
dan bait yang kedua pula mengandungi jawapannya atau akibat daripada perkara
yang diusulkan dalam bait pertama tadi. Justeru, dapat disimpulkan bahawa
gurindam merupakan puisi lama yang berirama dan merupakan suatu kesatuan wacana
yang utuh dan bertaut sehingga menzahirkan maksud yang mendalam sebagai
nasihat, pengajaran, kebenaran dan pernyataan perasaan cinta dan kasih sayang.
Pengarang gurindam yang terkenal ialah Raja Ali Haji yang menjadi raja muda
Riau (1844-1857). Gurindam Dua Belas merupakan karya Raja Ali Haji yang terkenal.
Gurindam
Dua Belas mengandungi beberapa fasal, antaranya Fasal Satu, Fasal Kedua, Fasal
Ketiga dan Fasal Keempat. Gurindam Fasal Ketiga yang menjadi bahan kajian para
murid di sekolah menengah sebagaimana dalam Antologi Jaket
Kulit Kijang dari Istanbul mengandungi tujuh rangkap dengan maksud yang
tersendiri, iaitu menyentuh tentang kepentingan menjaga anggota-anggota badan.
Tujuh rangkap gurindam Fasal Ketiga dengan maksudnya terdapat dalam jadual yang berikut.
Rangkap
|
Maksud
|
Apabila
terpelihara mata,
Sedikitlah
cita-cita.
|
Bermaksud
anggota pancaindera, iaitu mata harus dipelihara dengan sebaik-baiknya supaya
kita tidak melihat sesuatu yang dilarang oleh Tuhan. Dengan berbuat demikian
juga, kita tidak akan terpengaruh dengan kelekaan dan kemewahan dunia yang
sementara ini selain dapat mengawal nafsu atau kehendak kita untuk memiliki
sesuatu yang di luar kemampuan.
|
Apabila
terpelihara kuping,
Khabar
yang jahat tiadalah damping.
|
Bermaksud
telinga, iaitu alat pendengaran perlu dijaga dan dijauhkan daripada mendengar
perkara yang negatif seperti hasutan, fitnah, kejian dan makian. Apabila
pendengaran terpelihara, maka kita tidak akan terikut-ikut dengan ajakan yang
menuju ke arah kejahatan.
|
Apabila
terpelihara lidah,
Nescaya
dapat daripadanya faedah.
|
Bermaksud
setiap tutur kata harus diucapkan dengan berhati-hati semasa berkomunikasi
kerana banyak faedahnya. Tambahan pula, pertuturan dengan bicara yang halus,
sopan dan tertib dapat menghindar sengketa selain mengelak orang di
sekeliling kita tersinggung.
|
Bersungguh-sungguh
engkau memeliharakan tangan
Daripada
segala berat dan ringan
|
Bermaksud
tangan, iaitu anggota yang paling signifikan fungsinya dalam kehidupan
seharian harus dijaga daripada melakukan perbuatan yang terlarang tanpa
mengira perbuatan tersebut kecil, besar, ringan atau berat kesalahannya.
|
Apabila
perut terlalu penuh,
Keluarlah
fiil yang tidak senonoh.
|
Bermaksud
nafsu makan harus dikawal supaya perangai yang negatif dapat dibendung.
Apabila nafsu makan tidak dijaga, maka akan timbul amalan menurut hawa nafsu
yang akhirnya mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.
|
Anggota
tengah hendaklah ingat,
Di
situlah banyak orang yang hilang semangat
|
Bermaksud
anggota tengah badan, iaitu hati harus diberi perhatian yang sewajarnya
kerana di situ timbulnya segala kemahuan untuk melaksanakan sesuatu. Hati
berkait rapat dengan jiwa dan perasaan. Jika jiwa lemah maka semangat juga
akan menjadi rapuh sedangakan kehidupan perlu dijalani dengan penuh semangat.
|
Hendaklah
peliharakan kaki,
Daripada
berjalan yang membawa rugi.
|
Bermaksud
kaki yang digunakan untuk melangkah harus dijaga. Perkara ini dapat mengelak
kaki melangkah ke tempat yang
mendatangkan kecelakaan dan kerugian seperti tempat maksiat.
|
Berdasarkan paparan
maksud dalam ketujuh-tujuh rangkap gurindam Fasal Ketiga, didapati setiap
rangkap mempunyai maksud yang tersirat dan tersurat. Hakikatnya, setiap anggota
badan memberikan impak yang signifikan kepada perbuatan atau tingkah laku dan
sikap manusia seluruhnya di dunia yang fana ini. Setiap manusia memiliki
anggota badan yang harus dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya agar
fungsinya yang mendatangkan manfaat kepada setiap umat manusia tidak
memudaratkan manusia itu sendiri. Kekuatan untuk menjaga dan memelihara anggota-anggota
badan memanifestasikan ketakwaan, ketaatan dan kepatuhan umat manusia kepada
setiap larangan Tuhan. Apabila seseorang mempunyai kekuatan untuk patuh, maka
pola berfikir yang positif akan wujud secara dalaman. Pola pemikiran yang
positif akan membina kata-kata,
kalimat-kalimat, fikiran-fikiran dan gambaran-gambaran yang membina dan
membangunkan minda. Situasi ini akan meletakkan seseorang dalam zon yang
positif selain menghadirkan kebahagiaan, kejayaan, keceriaan serta kesuburan
mental.
Selain
itu, gurindam ini turut melontarkan nilai-nilai murni dan pengajaran yang dapat
dijadikan pedoman, teladan, sempadan dan
panduan kepada generasi muda dalam menjalani kehidupan. Antara nilai murni dan
pengajaran tersebut adalah seperti dalam jadual berikut :
Gurindam
|
Nilai
Murni
|
Pengajaran
|
Gurindam
Dua Belas Fasal Ketiga
|
Kebijaksanaan
|
Setiap
orang haruslah menggunakan kebijaksanaan ketika berkomunikasi atau berbicara
dengan orang lain agar dapat menjaga hubungan baik dengan orang lain.
|
Keinsafan
|
Kita
harus sedar dan insaf sama ada sesuatu perbuatan itu baik atau buruk supaya
tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.
|
|
Kesederhanaan
|
Seseorang
harus bersikap sederhana dalam menjalani kehidupan di dunia ini agar tidak
melakukan perkara yang boleh mengarah kepada kerugian.
|
|
Optimis
|
Setiap
orang harus menjalani kehidupan dengan optimis supaya kehidupan menjadi lebih bermakna.
|
Antara nilai murni yang dikesan dalam gurindam
ini ialah nilai kebijaksanaan. Nilai ini dapat dimanifestasikan melalui perlakuan
yang bijaksana dalam melahirkan kata-kata dan suara hati ketika berbicara atau
berkomunikasi dengan orang lain. Kearifan dan kejernihan fikiran dalam
berbicara amat dituntut dengan lidah sebagai platform atau alatnya. Apabila kita dapat memelihara lidah, sekali
gus butir-butir percakapan yang disalurkan mellaui lidah akan menjadi lebih
sopan. Justeru, setiap tutur kata haruslah disampaikan dengan halus, lembut,
santun dan tertib supaya orang yang mendengarnya berasa selesa dan sejuk hati.
Impaknya, kita juga dapat memelihara hubungan ynag harmonis dengan orang lain
termasuklah mengeratkan silaturahim atau ikatan persaudaraan selain dapat
menghindarkan persengketaan, konflik, dendam dan permusuhan. Aminudin Mansor
dalam makalah yang bertajuk Bahasa
Memancarkan Budi Bahasa, berpendapat
bahawa bahasa yang dituturkan oleh seseorang melalui percakapan yang beradab
dan sopan menjadi lambang kemuliaan diri dan budi bahasa seseorang selain
mencitrakan unsur kerohanian.
Gurindam Dua Belas Fasal Ketiga ini juga
memaparkan nilai keinsafan.
Keinsafan akan membuatkan seseorang sedar akan setiap perbuatan buruk dan baik
yang dilakukannya. Nilai ini dimanifestasikan oleh penjagaan alat seperti
tangan, kaki dan mata dan telinga. Apabila seseorang memiliki keinsafan, maka
sudah pastinya sedar dan prihatin akan natijah dan implikasi yang akan
ditanggung jika mereka melakukan perbuatan yang jahat, mendengar perkara yang
keji dan membiar serta melayani mata menjilat dan memandang kemewahan dan
kepincangan dunia. Keinsafan juga akan mengikat langkah seseorang menuju jalan
yang mungkar dan penuh kejahatan. Seseorang yang insaf akan bermuhasabah kerana
muhasabah ialah perilaku yang dapat memperelok diri selain membentuk jiwa untuk menghapuskan masa
dan ruang bagi membuat kejahatan. Lantas, nilai keinsafan dapat membendung dan
mencegah perilaku yang mengarah kepada kemusnahan akhlak termasuklah mematikan
niat dan perbuatan liar.
Nilai
kesederhanaan juga menonjol dalam gurindam ini. Amalan kesederhanaan dalam
setiap tindakan sudah pasti dapat mengelak kemudaratan. Kesederhanaan akan
dapat melahirkan individu yang sentiasa beringat dan berhati-hati dalam
menjalani kehidupannya yang dapat dipandang dari sudut pemikirannya, pertimbangan-pertimbangannya, perancangannya
dan ukuran kemampuannya. Apabila nilai ini menjadi amalan dan rujukan, maka
setiap perlakuan atau perbuatan akan terkawal dan tidak melebihi batas malahan
terikat dengan dengan norma dan adat dalam kehidupan bermasyarakat. Amalan nilai kesederhanaan juga membolehkan
individu mengawal nafsu dan cita-cita yang melampau atau melebihi had
kemampuan. Dengan kata lain, kesederhanaan akan dapat mengelak perbuatan
membazir sebaliknya mengutamakan sikap berjimat cermat dalam setiap perancangan
dan pertimbangan yang dibuat. Seseorang yang mengamalkan nilai kesederhanaan
tidak akan mengabaikan kepentingan akhirat kerana akan terzahir sikap seimbang,
istiqamah, adil, sedang-sedang dan tidak menyimpang dari landasan sebenar.
Justeru, nilai ini akan dapat membentuk akhlak yang mulia dalam diri individu
selain dapat sudut-sudut kepentingan lain yang perlu diberi perhatian.
Nilai
optimis juga terdapat dalam gurindam ini yang merujuk kepada sikap sentiasa
berusaha bagi mencapai tahap kehidupan
yang lebih baik. Seseorang yang optimis akan menaruh harapan yang baik terhadap
sesuatu hatta berhadapan dengan kemelut atau masalah. Jangkaan dan harapan baik
inilah yang mendorong seseorang menjadi lebih munasabah dan realistik. Setiap
orang harus menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan beriltizam agar
kehidupan menjadi lebih bermakna. Apabila kemahuan atau keinginan yang datang
daripada anggota hati tidak dipelihara, maka kehidupan akan terjejas dan
semangat menjadi lemah. Implikasinya, manusia mudah berputus asa atau bersikap
pesimis. Hakikatnya, kehidupan harus dihargai dan dilayari dengan penuh iltizam
agar segala matlamat hidup tercapai.
Berdasarkan perbincangan, didapati Gurindam
Dua Belas Fasal Ketiga ini sarat dan kaya dengan nasihat dan pengajaran kepada
semua lapisan masyarakat di alam maya ini amnya dan para murid khususnya.
Senario ini mencerminkan puisi tradisional masih utuh dan tekal dengan fungsinya sebagai wahana untuk menanam
unsur didaktik. Walaupun kita dimomokkan dengan mitos bahawa sastera tradisional
sudah kehilangan taring, namun hakikatnya sastera tradisional khususnya puisi
tradisional seperti guirndam ini bukan sahaja mampu berfungsi sebagai kaedah
untuk mengajar, mendidik, menasihat dan menghibur malah dapat melantunkan
pemikiran yang bernas dan positif. Jika disorot, siratan nilai dalam gurindam
ini dapat membantu mentarbiyah generasi muda agar memelihara setiap anggota
badan yang akan memanifestasi dan menzahirkan setiap perlakuan. Sesungguhnya, karya sastera yang terpilih sebagai bahan Komsas
(Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu) mampu menjadikan murid
seorang insan yang berfikir tentang kebaikan, kebenaran, kehalusan budi,
kesantunan bahasa, kecekalan hati, menghargai kehidupan dan bersifat kemanusiaan. Nilai dan pengajaran
yang menyeluruh dalam gurindam ini selaras dengan hasrat murni dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan.