Permasalahan
dan Pelestarian Alam Sekitar : Manifestasinya dalam Cerpen Hutan Rimba
Wikipedia dan Ensiklopedia Bebas mendefinisikan alam sekitar sebagai segala benda hidup dan
bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi atau sebahagian
daripadanya. Oleh itu, alam sekitar dapat dibahagikan kepada dua unit utama,
iaitu pertama unit landskap yang berfungsi sebagai sistem semula jadi tanpa
penglibatan manusia termasuklah antaranya tumbuh-tumbuhan, haiwan, galian dan
batu-batan. Unit kedua pula merupakan unit sumber sejagat dan fenomena fizikal
yang tidak mempunyai batasan tertentu seperti udara, air, iklim, tenaga, cas
elektrik dan kemagnetan. Unit-unit inilah yang harus dijaga dan dipelihara
khususnya hutan rimba agar kewujudannya seimbang dan tidak terancam di muka
bumi ini.
Hutan merangkumi
tumbuh-tumbuhan yang membentuk suatu
formasi yang didominasi pokok-pokok yang merujuk kepada seluruh komuniti
tumbuh-tumbuhan dan haiwan termasuklah substrat abiotik (istilah perhutanan)
atau persekitaran yang spesifik dan persekitaran atmosferanya. Justeru, pokok
ibarat payung yang melindungi hidupan di bumi yang perlu dilestarikan
kewujudannya. Isu inilah yang berlegar dalam cerpen Hutan Rimba (halaman 166 - 176) hasil buah tangan Sasjira yang
dimuatkan dalam Antologi Dirgahayu
Bahasaku (2010). Cerpen ini mengetengahkan tema kemusnahan alam semula jadi
akibat pembangunan. Aktiviti pembalakan atau penebangan hutan yang disertai
watak Pak Tua sebagai pemandu traktor
jenama Carterpillar telah memusnahkan
sejumlah hutan sehingga tapak tersebut menjadi kawasan pertanian dan estet. Fenomena
inilah yang menyebabkan Pak Tua berkontradiksi dengan dirinya sendiri apabila
dia mempersoalkan pekerjaannya yang telah mengakibatkan kemusnahan hutan malar
hijau tersebut.
Cerpen ini mengambil latar belakang
Negeri di Bawah Bayu, iaitu sekitar Sungai Kinabatangan dan Sandakan yang merupakan kawasan yang pesat
dengan kegiatan pembalakan. Setelah 30 tahun berlalu, Pak Tua mengimbas kembali
keperihan dan kesyukurannya atas kejayaan membesarkan anak-anak dengan pulangan
rezeki sebagai pemandu traktor. Walau bagaimanapun, setelah suatu jangka masa
Pak Tua menyesali pekerjaannya kerana tindakannya telah menyumbang ke arah
kemusnahan hutan rimba.
Isu kemusnahan alam sekitar
merupakan isu yang bersifat universal dan di alami negara-negara lain di dunia
termasuklah Malaysia. Dalam cerpen Hutan
Rimba ini aktiviti pembalakan atau penebangan hutan telah menyebabkan
habitat fauna dan flora yang kaya sebagai sumber semula jadi dan khazanah alam
yang berharga musnah. Situasi ini berlaku apabila penebangan hutan secara
berleluasa dijalankan sehingga mengakibatkan kemusnahan tempat tinggal bagi tumbuhan dan
hidupan liar tersebut. Tanpa tempat tinggal yang selamat, haiwan-haiwan ini
akan mati dan seterusnya pupus. Gambaran kemusnahan hutan dan akibatnya terdapat
dalam petikan (halaman 166) berikut :
Setiap kali jentolak berwarna kuning
itu bergerak ganas menindas dan menggilas apa-apa saja objek yang
dilaluinya…Rotan, banir dan akar yang berjuntaian direntap kasar, tidak mampu
menahan terjahan kenderaan berat itu. Kera dan monyet melompat lalu bergayutan
dan lari meninggalkan habitatnya. Begitu juga dengan gajah, babi hutan, payau,
dan kjiang, namun ada juga yang mati terjepit tidak sempat menyelamatkan diri.
Seekor dua ular melata terjepit di celah gigi roda besi. Belum lagi soal mati
katak serangga dan hidupan kecil yang lainnya. Ayam hutan dan burung-burung
terbang membelah udara. Begitu lemah kepakan sayap akibat sesak nafas kerana
terhidu asap hitam. Keruing, selangan batu, belian dan seraya dan aneka
tumbuhan lainnya rebah menyembah bumi.
Berdasarkan
petikan tersebut, kemusnahan hutan secara langsung memusnahkan survival dan
habitat spesies hidupan tersebut dan natijahnya spesies ini akan mengalami
kepupusan. Paparan dalam minda Pak Tua sudah cukup memberi gambaran betapa
tragisnya kematian spesies ini akibat perbuatan rakus manusia. Gajah, ular,
kijang dan serangga yang lain umpamanya, tewas di tangan jentolak yang tidak
mengenal mangsa dalam sekelip mata.
Kayu-kayu yang berharga seperti selangan batu, belian, seraya dan
keruing turut mengalami nasib yang malang dan seterusnya mengalami kepupusan.
Sumber hutan seperti akar, rotan dan herba yang
menjadi sumber ubatan atau penawar bagi pelbagai penyakit turut
mengalami kepupusan. Kemusnahan dan kepupusan, inikah harga sebuah pengorbanan?
Pencemaran juga merupakan natijah
yang dibawa aktiviti pembalakan kerana bukan sahaja melibatkan kemusnahan dan
kepupusan hidupan tersebut tetapi menyebabkan pencemaran. Aktiviti pembalakan
mengakibatkan pencemaran bunyi dan udara. Bunyi
jentolak yang mengaum dan membingitkan telinga (halaman 166) mencerminkan
pencemaran bunyi yang boleh menjejaskan emosi dan pendengaran masyarakat di
sekitarnya. Pencemaran udara pula, dapat dilihat dalam baris setiap kali itu pula cerobong yang semakin
hitam itu akan menghembuskan kepulan asap yang juga tidak kurang hitamnya (halaman
166). Fenomena ini memberi implikasi yang buruk kepada atmosfera dan mengancam nyawa unggas-unggas dan hidupan lain
yang memerlukan udara yang bersih untuk bernafas.
Isu peningkatan suhu alam turut
berlaku apabila proses penebangan pokok berleluasa.
Fenomena ini menyebabkan Pak Tua semakin dihimpit perasaan bersalah dalam
dirinya. Apabila pokok-pokok yang malar hijau menyembah bumi, maka hutan
menjadi gondol dan terdedah kerana tiada lagi dedaun yang memayungi bumi.
Akibatnya, alam maya menjadi semakin panas dan suhu semakin meningkat. Situasi
ini dapat diteliti melalui peta minda Pak Tua yang mengatakan bahawa Terik
matahahri yang memanah kini menghangatkan maya. Dalam seketika sahaja hutan
dara itu telah ternoda. Kini, hutan itu telanjang polos, sedangkan selama ini
busana hijau menutupinya (halaman 167). Ekoran daripada itu, fungsi hutan untuk
menyerap gas karbon dioksida dan membekalkan gas oksigen kepada hidupan di muka
bumi hanya tinggal fungsi semata-mata. Justeru, peluang untuk menambah isi padu
gas oksigen dalam udara akan berkurangan sebaliknya, gas karbon dioksida pula
dalam udara akan terus meningkat sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan
suhu. Peningkatan suhu seterusnya akan memberi impak kepada hidupan termasuk
manusia dan alam dengan kejadian kemarau.
Pencemaran sungai turut berlaku
apabila aktiviti pembalakan semakin pesat. Keadaan ini berlaku disebabkan tanah
merah yang berdebu akan menjadi basah dan berlopak pada musim tengkujuh antara
bulan Oktober dan Disember. Arus deras
berwarna merah lumpur akan membawa rakit-rakit balak ke muara (halaman 168)
yang terlayar dalam fikiran Pak Tua.
Situasi ini pastinya akan menyebabkan hakisan tanah turut berlaku kerana tanah
kekurangan sokongan dan tunjangan daripada pokok-pokok. Lanjutan daripada itu,
sungai-sungai akan menjadi kotor, cetek dan berlumpur sebagai akibat pemendakan
tanah lumpur di dasarnya. Fenomena ini akan menjejaskan hidupan yang lain
seperti hidupan akuartik.
Cerpen Hutan Rimba turut mengetengahkan isu pencemaran laut akibat
perbuatan para nelayan yang tidak bertanggungjawab. Pada zaman mudanya Pak Tua
telah terlibat sama dalam aktiviti pemusnahan hidupan laut di kampungnya.
Mereka menggunakan bom buatan untuk mendapatkan ikan dengan banyak tanpa
menyedari bahawa perbuatan mereka itu telah memusnahkan terumbu karang dan
spesies hidupan laut yang lain. Apabila terumbu karang musnah akibat pengeboman
ikan, maka secara langsung terumbu karang yang menjadi habitat bagi plankton
turut musnah. Misalnya :
Kami tidak sedar
bahawa perbuatan kami itu telah memusnahkan terumbu karang dan hidupan laut
yang lain. Terumbu karang menjadi tempat kehidupan plankton yang menjadi
makanan ikan. Terumbu karang memakan masa jutaan tahun untuk membesar dan
sekali lempar saja telah ranap oleh bom buatan sendiri. Terasa dada Pak Tua
meletup bersama terumbu karang itu (halaman 171).
Perbuatan
para nelayan tersebut menyebabkan laut kehilangan khazanah yang amat bernilai
dan berharga kerana proses pembentukan terumbu karang sangat memakan masa. Hal
inilah yang menyebabkan Pak Tua sangat kesal dan menitiskan air mata keinsafan.
Pak Tua insaf bahawa tanpa disedarinya dia telah terlibat dalam aktiviti
pemusnahan alam, iaitu memusnahkan hidupan laut dan memusnahkan hutan rimba
dalam keghairahannya mencari rezeki.
Kekesalan dan keinsafan Pak Tua
bukan hanya sesalan semata-mata kerana Pak Tua telah berusaha untuk
menyeimbangi kemusnahan alam khususnya hutan. Pak Tua telah menjadikan tanah
yang diwarisi daripada ibu dan bapa mertuanya sebagai hutan simpan. Hanya sedikit daripada kawasan tanah tersebut
digunakan untuk tapak rumah dan untuk dusun buah-buahan. “Bapa telah melestarikan harta warisan alam”, Bakar mencelah kagum (halaman
174). Anak-anaknya yang seramai empat orang telah berjaya dalam pelajaran hasil
daripada pengorbanan Pak Tua sebagai pemandu jentolak. Setelah 30 tahun, Pak
Tua berusaha menebus semula kekesalan dan perasaan bersalahnya terhadap
kemusnahan alam. “Hanya dengan cara
inilah bapa dapat menebus kesalahan bapa kerana pernah terlibat dalam
pemusnahan hutan”, (halaman 174). Hutan simpan berfungsi
untuk mengekalkan kepelbagaian biologi sesuatu kawasan selain mengawal air larian yang berlebihan dan
berkeupayaan untuk menakung air. Fungsi utama hutan turut berhubung rapat sebagai tempat perlimpahan karbon dan juga membantu
dalam membekalkan oksigen.
Anak-anak
Pak Tua, iaitu Ajam, Bakar, Melati dan Budi pula berazam untuk menjadikan hutan
simpan bapa mereka sebagai kawasan pelancongan seperti kawasan pelancongan
Lembah Danum di Lahad Datu, Sabah. Mereka menyahut seruan kerajaan, iaitu
membangunkan kawasan pelancongan secara menyeluruh dan bukan tertumpu di
pusat-pusat bandar sahaja. Oleh itu, kawasan luar bandar dapat dimajukan dan
dijadikan kawasan pelancongan dengan pelestarian sumber aslinya.
Kesinambungannya, konsep pembangunan lestari melalui hutan simpan yang
dijadikan pusat pelancongan akan dapat diwujudkan apabila timbul kemampuan
untuk memberi sokongan memelihara sistem
kehidupan sepenuhnya. Dalam konsep pembangunan lestari, penekanan diberikan
kepada keseimbangan antara memenuhi keperluan manusia dengan keupayaan sistem semula jadi untuk membekalkan produk
dan perkhidmatan tanpa degradasi. Penggunaan tanah yang efektif, pengurangan
sumber yang tidak boleh diperbaharui, pemuliharaan dan pemeliharaan kepelbagaian
sumber semula jadi menjadi agenda penting dalam konsep ini.
Cerpen Hutan Rimba karya Sasjira ini bukan
sahaja dapat diaplikasi untuk penghayatan terhadap karya sastera semata-mata
dengan meneliti isu atau persoalan dan nilai mahupun unsur didaktiknya. Cerpen
ini juga dapat dijadikan serampang dua mata, iaitu untuk penghayatan sastera
dan untuk mengajar penulisan khasnya menulis karangan kerana isu yang
diketengahkan merupakan isu semasa. Dengan kata lain, gabungjalin secara
integratif dapat dilaksanakan dengan menggunakan bahan kreatif ini. Oleh itu,
dicadangkan setelah selesai perbincangan tentang penghayatan sastera, maka
hasil perbincangan yang relevan dengan isu alam sekitar boleh dijadikan isi-isi
utama dalam penulisan karangan.
Dalam cerpen
ini tadi telah dibincangkan isu-isu alam sekitar dan implikasi pembalakan yang
pesat terhadap ekosistem alam. Oleh itu, isi-isi utama hasil perbincangan dapat
disenaraikan seperti dalam rajah berikut :
Kesan
pembalakan
|
Ø Hakisan
tanah dan tanah runtuh
Ø Kepupusan
habitat fauna dan flora
Ø Pencemaran
sungai/udara/bunyi
Ø Kemusnahan
kawasan tadahan air
Ø Peningkatan
suhu
|
Para
murid boleh diminta untuk menulis karangan tentang kesan-kesan pembalakan dan
hasil perbincangan yang disenaraikan sudah pasti dapat membantu para murid
untuk menghasilkan sebuah karangan yang lengkap. Selain itu, berdasarkan cerpen
ini juga, para murid boleh diminta untuk menulis tentang langkah-langkah
penjagaan alam sekitar sebagaimana yang telah dikupas dalam cerpen ini. Antara
idea utama yang dapat diketengahkan dan relevan
dalam cerpen ini berkaitan dengan langkah penjagaan alam adalah seperti
berikut:
LANGKAH-LANGKAH YANG RELEVAN |
Berdasarkan perbincangan didapati cerpen ini
sarat dengan unsur didaktiknya dalam menyemai kesedaran dan keinsafan agar
setiap insan menghargai dan mencintai alam sekitar. Dalam Utusan Malaysia yang bertarikh 26 Mac 2011, tokoh alam sekitar
terkemuka negara yang juga Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof.
Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, environmentalisme atau alam sekitar
menurut Islam adalah berasaskan kepada ajaran tauhid atau kefahaman kesatuan
yang menggabungkan manusia, alam dan Tuhan. Pandangan ini merupakan suatu
representasi bahawa manusia harus melaksanakan misi atau amanah Tuhan untuk
menjaga alam sekitar daripada kemusnahan dan mencerminkan betapa erat dan
rapatnya hubungan manusia dengan alam sekitar. Watak Pak Tua dalam cerpen ini
merupakan wakil kepada masyarakat yang sedar akan kepentingan alam sekitar
walaupun pekerjaannya melibatkan kemusnahan alam sebagaimana kekesalan Pak Tua
yang digambarkan oleh pengkarya. Oleh itu, cerpen ini akan dapat menyemai
kesedaran dalam kalangan generasi muda akan kepentingan menjaga alam sekitar di
samping dapat melahirkan generasi yang
peka akan permasalahan alam sekitar yang semakin tenat dewasa ini.
Sebagai
masyarakat yang bertanggungjawab, kita haruslah bekerjasama melakukan sesuatu
untuk menyelamatkan alam sekitar kita yang indah ini. Persoalannya adakah kita sudah bersedia dan sanggup melakukannya
atau tidak? Kita seharusnya sentiasa berfikir adakah sesuatu yang kita lakukan
itu wajar atau tidak wajar dan apakah kesannya kepada alam sekitar kita? Perkara yang paling penting ialah sikap, pemikiran, kesedaran
yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan yang perlu dipupuk sejak
kecil lagi oleh masyarakat, ibarat
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Konklusinya, kita harus
mengubah sikap kita supaya kehidupan kita akan lebih sejahtera. Setiap orang
yang menginginkan kehidupan yang lebih sejahtera harus memainkan peranan yang
proaktif dan progresif untuk memelihara dan melestarikan keseimbangan alam
sekitar. (ARTIKEL INI TERBIT DALAM PELITA BAHASA KELUARAN BULAN FEBRUARI 2015)
Terima kasih atas maklumat tersebut tentang isu alam sekitar.
ReplyDelete