Thursday 21 May 2015

Manifestasi Perilaku dan Nilai dalam Gurindam 12 Fasal Ke-3 Antologi Jaket Kulit dari Istanbul.

Aku belum mendapatkannya tetapi aku sudah melihatnya di ruangan FB yang dipost oleh DBP. Pada muka depan tercatat tajuk ini.  Tadaaa......PB Keluaran 6/2015





 Manifestasi Perlakuan dan Nilai Murni dalam Gurindam Dua Belas Fasal Ketiga


Gurindam Dua Belas Fasal Ketiga dimuatkan dalam Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, iaitu antologi yang menggantikan Antologi Harga Remaja (2010-2014) khususnya untuk para murid tingkatan empat. Antologi  Jaket Kulit Kijang dari Istanbul yang digunakan mulai tahun 2015 ini diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Gurindam dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sejenis puisi yang terdiri daripada dua baris yang berisi nasihat atau pengajaran. Md Ali Bachick (2003) mendefinisikan gurindam sebagai sebuah wacana yang mengandungi kalimat-kalimat yang berirama. Isinya berunsur nasihat dan bentuknya semacam bidalan.
Gurindam dikatakan berasal dari bahasa Sanskrit dan dibawa orang India dengan nama kirindam. Kirindam  bererti rangkap yang telah menjadi bidalan atau perumpamaan. Gurindam mempunyai dua bait dalam satu rangkap dan berisi rima a, a. Bait atau baris yang pertama mengandungi soal, masalah atau sebab dan bait yang kedua pula mengandungi jawapannya atau akibat daripada perkara yang diusulkan dalam bait pertama tadi. Justeru, dapat disimpulkan bahawa gurindam merupakan puisi lama yang berirama dan merupakan suatu kesatuan wacana yang utuh dan bertaut sehingga menzahirkan maksud yang mendalam sebagai nasihat, pengajaran, kebenaran dan pernyataan perasaan cinta dan kasih sayang. Pengarang gurindam yang terkenal ialah Raja Ali Haji yang menjadi raja muda Riau (1844-1857). Gurindam Dua Belas merupakan karya  Raja Ali Haji yang terkenal.
Gurindam Dua Belas mengandungi beberapa fasal, antaranya Fasal Satu, Fasal Kedua, Fasal Ketiga dan Fasal Keempat. Gurindam Fasal Ketiga yang menjadi bahan kajian para murid di sekolah menengah sebagaimana dalam Antologi  Jaket Kulit Kijang dari Istanbul mengandungi tujuh rangkap dengan maksud yang tersendiri, iaitu menyentuh tentang kepentingan menjaga anggota-anggota badan. Tujuh rangkap gurindam Fasal Ketiga dengan maksudnya  terdapat dalam jadual yang berikut.

Rangkap
Maksud


Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
Bermaksud anggota pancaindera, iaitu mata harus dipelihara dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak melihat sesuatu yang dilarang oleh Tuhan. Dengan berbuat demikian juga, kita tidak akan terpengaruh dengan kelekaan dan kemewahan dunia yang sementara ini selain dapat mengawal nafsu atau kehendak kita untuk memiliki sesuatu yang di luar kemampuan.


Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.
Bermaksud telinga, iaitu alat pendengaran perlu dijaga dan dijauhkan daripada mendengar perkara yang negatif seperti hasutan, fitnah, kejian dan makian. Apabila pendengaran terpelihara, maka kita tidak akan terikut-ikut dengan ajakan yang menuju ke arah kejahatan.


Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.
Bermaksud setiap tutur kata harus diucapkan dengan berhati-hati semasa berkomunikasi kerana banyak faedahnya. Tambahan pula, pertuturan dengan bicara yang halus, sopan dan tertib dapat menghindar sengketa selain mengelak orang di sekeliling kita tersinggung.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan
Daripada segala berat dan ringan
Bermaksud tangan, iaitu anggota yang paling signifikan fungsinya dalam kehidupan seharian harus dijaga daripada melakukan perbuatan yang terlarang tanpa mengira perbuatan tersebut kecil, besar, ringan atau berat kesalahannya.

Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tidak senonoh.
Bermaksud nafsu makan harus dikawal supaya perangai yang negatif dapat dibendung. Apabila nafsu makan tidak dijaga, maka akan timbul amalan menurut hawa nafsu yang akhirnya mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.


Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat
Bermaksud anggota tengah badan, iaitu hati harus diberi perhatian yang sewajarnya kerana di situ timbulnya segala kemahuan untuk melaksanakan sesuatu. Hati berkait rapat dengan jiwa dan perasaan. Jika jiwa lemah maka semangat juga akan menjadi rapuh sedangakan kehidupan perlu dijalani dengan penuh semangat.

Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.
Bermaksud kaki yang digunakan untuk melangkah harus dijaga. Perkara ini dapat mengelak kaki melangkah  ke tempat yang mendatangkan kecelakaan dan kerugian seperti tempat maksiat.

Berdasarkan paparan maksud dalam ketujuh-tujuh rangkap gurindam Fasal Ketiga, didapati setiap rangkap mempunyai maksud yang tersirat dan tersurat. Hakikatnya, setiap anggota badan memberikan impak yang signifikan kepada perbuatan atau tingkah laku dan sikap manusia seluruhnya di dunia yang fana ini. Setiap manusia memiliki anggota badan yang harus dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya agar fungsinya yang mendatangkan manfaat kepada setiap umat manusia tidak memudaratkan manusia itu sendiri. Kekuatan untuk menjaga dan memelihara anggota-anggota badan memanifestasikan ketakwaan, ketaatan dan kepatuhan umat manusia kepada setiap larangan Tuhan. Apabila seseorang mempunyai kekuatan untuk patuh, maka pola berfikir yang positif akan wujud secara dalaman. Pola pemikiran yang positif akan membina  kata-kata, kalimat-kalimat, fikiran-fikiran dan gambaran-gambaran yang membina dan membangunkan minda. Situasi ini akan meletakkan seseorang dalam zon yang positif selain menghadirkan kebahagiaan, kejayaan, keceriaan serta kesuburan mental.
Selain itu, gurindam ini turut melontarkan nilai-nilai murni dan pengajaran yang dapat dijadikan pedoman, teladan, sempadan  dan panduan kepada generasi muda dalam menjalani kehidupan. Antara nilai murni dan pengajaran tersebut adalah seperti dalam jadual berikut :

Gurindam
Nilai Murni
Pengajaran

Gurindam Dua Belas Fasal Ketiga


Kebijaksanaan
Setiap orang haruslah menggunakan kebijaksanaan ketika berkomunikasi atau berbicara dengan orang lain agar dapat menjaga hubungan baik dengan orang lain.
Keinsafan
Kita harus sedar dan insaf sama ada sesuatu perbuatan itu baik atau buruk supaya tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.
Kesederhanaan
Seseorang harus bersikap sederhana dalam menjalani kehidupan di dunia ini agar tidak melakukan perkara yang boleh mengarah kepada kerugian.
Optimis
Setiap orang harus menjalani kehidupan dengan optimis supaya kehidupan menjadi  lebih bermakna.

             Antara nilai murni yang dikesan dalam gurindam ini ialah nilai kebijaksanaan. Nilai ini dapat dimanifestasikan melalui perlakuan yang bijaksana dalam melahirkan kata-kata dan suara hati ketika berbicara atau berkomunikasi dengan orang lain. Kearifan dan kejernihan fikiran dalam berbicara amat dituntut dengan lidah sebagai platform atau alatnya. Apabila kita dapat memelihara lidah, sekali gus butir-butir percakapan yang disalurkan mellaui lidah akan menjadi lebih sopan. Justeru, setiap tutur kata haruslah disampaikan dengan halus, lembut, santun dan tertib supaya orang yang mendengarnya berasa selesa dan sejuk hati. Impaknya, kita juga dapat memelihara hubungan ynag harmonis dengan orang lain termasuklah mengeratkan silaturahim atau ikatan persaudaraan selain dapat menghindarkan persengketaan, konflik, dendam dan permusuhan. Aminudin Mansor dalam makalah yang bertajuk Bahasa Memancarkan Budi Bahasa,  berpendapat bahawa bahasa yang dituturkan oleh seseorang melalui percakapan yang beradab dan sopan menjadi lambang kemuliaan diri dan budi bahasa seseorang selain mencitrakan unsur kerohanian.
            Gurindam Dua Belas Fasal Ketiga ini juga memaparkan nilai keinsafan. Keinsafan akan membuatkan seseorang sedar akan setiap perbuatan buruk dan baik yang dilakukannya. Nilai ini dimanifestasikan oleh penjagaan alat seperti tangan, kaki dan mata dan telinga. Apabila seseorang memiliki keinsafan, maka sudah pastinya sedar dan prihatin akan natijah dan implikasi yang akan ditanggung jika mereka melakukan perbuatan yang jahat, mendengar perkara yang keji dan membiar serta melayani mata menjilat dan memandang kemewahan dan kepincangan dunia. Keinsafan juga akan mengikat langkah seseorang menuju jalan yang mungkar dan penuh kejahatan. Seseorang yang insaf akan bermuhasabah kerana muhasabah ialah perilaku yang dapat memperelok diri  selain membentuk jiwa untuk menghapuskan masa dan ruang bagi membuat kejahatan. Lantas, nilai keinsafan dapat membendung dan mencegah perilaku yang mengarah kepada kemusnahan akhlak termasuklah mematikan niat dan perbuatan liar.
            Nilai kesederhanaan juga menonjol dalam gurindam ini. Amalan kesederhanaan dalam setiap tindakan sudah pasti dapat mengelak kemudaratan. Kesederhanaan akan dapat melahirkan individu yang sentiasa beringat dan berhati-hati dalam menjalani kehidupannya yang dapat dipandang dari sudut pemikirannya,  pertimbangan-pertimbangannya, perancangannya dan ukuran kemampuannya. Apabila nilai ini menjadi amalan dan rujukan, maka setiap perlakuan atau perbuatan akan terkawal dan tidak melebihi batas malahan terikat dengan dengan norma dan adat dalam kehidupan bermasyarakat.  Amalan nilai kesederhanaan juga membolehkan individu mengawal nafsu dan cita-cita yang melampau atau melebihi had kemampuan. Dengan kata lain, kesederhanaan akan dapat mengelak perbuatan membazir sebaliknya mengutamakan sikap berjimat cermat dalam setiap perancangan dan pertimbangan yang dibuat. Seseorang yang mengamalkan nilai kesederhanaan tidak akan mengabaikan kepentingan akhirat kerana akan terzahir sikap seimbang, istiqamah, adil, sedang-sedang dan tidak menyimpang dari landasan sebenar. Justeru, nilai ini akan dapat membentuk akhlak yang mulia dalam diri individu selain dapat sudut-sudut kepentingan  lain yang perlu diberi perhatian.
            Nilai optimis juga terdapat dalam gurindam ini yang merujuk kepada sikap sentiasa berusaha bagi mencapai tahap  kehidupan yang lebih baik. Seseorang yang optimis akan menaruh harapan yang baik terhadap sesuatu hatta berhadapan dengan kemelut atau masalah. Jangkaan dan harapan baik inilah yang mendorong seseorang menjadi lebih munasabah dan realistik. Setiap orang harus menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan beriltizam agar kehidupan menjadi lebih bermakna. Apabila kemahuan atau keinginan yang datang daripada anggota hati tidak dipelihara, maka kehidupan akan terjejas dan semangat menjadi lemah. Implikasinya, manusia mudah berputus asa atau bersikap pesimis. Hakikatnya, kehidupan harus dihargai dan dilayari dengan penuh iltizam agar segala matlamat hidup tercapai.
            Berdasarkan perbincangan, didapati Gurindam Dua Belas Fasal Ketiga ini sarat dan kaya dengan nasihat dan pengajaran kepada semua lapisan masyarakat di alam maya ini amnya dan para murid khususnya. Senario ini mencerminkan puisi tradisional masih utuh dan tekal  dengan fungsinya sebagai wahana untuk menanam unsur didaktik. Walaupun kita dimomokkan dengan mitos bahawa sastera tradisional sudah kehilangan taring, namun hakikatnya sastera tradisional khususnya puisi tradisional seperti guirndam ini bukan sahaja mampu berfungsi sebagai kaedah untuk mengajar, mendidik, menasihat dan menghibur malah dapat melantunkan pemikiran yang bernas dan positif. Jika disorot, siratan nilai dalam gurindam ini dapat membantu mentarbiyah generasi muda agar memelihara setiap anggota badan yang akan memanifestasi dan menzahirkan setiap perlakuan. Sesungguhnya, karya sastera yang terpilih sebagai bahan Komsas (Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu) mampu menjadikan murid seorang insan yang berfikir tentang kebaikan, kebenaran, kehalusan budi, kesantunan bahasa, kecekalan hati, menghargai kehidupan dan bersifat kemanusiaan. Nilai dan pengajaran yang menyeluruh dalam gurindam ini selaras dengan hasrat murni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. 



The Book Group is open to everyone. It meets monthly on a Sunday ...

Wednesday 20 May 2015

Kabus di Perbukitan-Citra ketabahan wanita





<b>WANITA</b> DAN MUSLIMAH..apakah begini?
Novel Kabus di Perbukitan : Citra Ketabahan Wanita

Novel Kabus di Perbukitan (KB) karya Mohamad Kholid Hamzah merupakan novel Komsas yang digunakan oleh para pelajar sekolah menengah khasnya Tingkatan Lima di Zon 4 (Johor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan). Novel KB berlatarkan tempat yang lebih luas kerana melangkaui batasan negara, iaitu dari Sungai Besar, Selangor sehinggalah ke New Zealand dan Dubai. Faridah merupakan watak utama dalam novel yang mengandungi 32 bab dengan ketebalan 255 halaman. Latar tempat dari Sungai Besar ke New Zealand atau lebih tepatnya Rosewood, New Zealand merupakan dua tempat yang menjadi tapak kepada Faridah dalam melakar dan mengharungi pahit manis kehidupan. Sungai Besar merupakan tempat Faridah mengenal erti kehidupan  manakala New Zealand ialah tempat Faridah membawa diri yang akhirnya menempa kebahagiaan melalui perkahwinan keduanya.
            Berdasarkan kedua-dua tempat tersebut, watak Faridah dibekalkan dengan nilai ketabahan sebagai seorang wanita yang kental dan berani menghadapi cabaran. Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan pengertian tabah sebagai hati yang tidak gentar dan tetap hati. Pengertian ini diperluaskan lagi dengan maksud terus mencuba dengan penuh semangat, azam, dan berani serta cekal dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Pengertian inilah yang dicitrakan melalui watak Faridah  dalam KB yang membolehkannya memugar semangat dalam usaha meneruskan kehidupan.
            Nilai ketabahan amat signifikan dalam kehidupan dan harus diletakkan di tempat yang utama.  Nilai ini amat dekat dengan hati dan jiwa setiap insan serta berhubung kait dengan sikap sabar. Sikap ini dapat memberi keyakinan kepada seseorang individu dalam menghadapi sebarang masalah, cabaran dan dugaan yang bersifat tragis atau tragedi yang menyayat hati. Ketabahan yang dimiliki seseorang juga mampu mengelakkan mereka daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan diri sendiri hatta membunuh diri. Justeru, ketabahan amat signifikan dengan keteguhan iman dalam menangani segala musibah yang melanda kerana kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah malahan umpama pasaran saham yang turun  naik.
            Novel KB mengidentifikasikan watak Faridah sebagai seorang wanita yang memiliki nilai ketabahan sejak membesar bersama-sama dengan ibunya, iaitu Salmah di Sungai Besar. Ketabahan Faridah mula diuji sejak kecil lagi di Sungai Besar setelah ayahnya berpisah dengan ibunya. Faridah membesar sebagai anak yang serba kekurangan dan kedaifan kerana ibunya hanya bekerja di sawah. Sawah itulah yang menjadi nadi kehidupan mereka dua beranak dalam mendapatkan sumber rezeki. Faridah tidak melatah dengan kesusahan hidup yang dihadapinya, malahan berusaha membantu ibunya bekerja di sawah. Ketiadaan ayah sebagai pelindung yang memayungi keluarga tidak pernah mematahkan semangat Faridah untuk meneruskan kehidupan yang serba daif di Sungai Besar.
Optimisnya watak Faridah menyerlah dengan tabah  menelan kesusahan hidup dan kekurangan kasih sayang seorang ayah dihadapi dengan kekuatan dalaman. Florance Littauer dalam bukunya Personality + Plus memberikan pandangan bahawa seseorang yang optimis mampu memberi harapan dan keyakinan kepada diri sendiri dan orang lain. Faridah menjadi sumber kekuatan ibunya setelah perpisahan antara kedua-dua orang tuanya itu. Kehidupan  bersama-sama dengan ibunya semakin indah setelah Faridah berjaya menjawat jawatan sebagai guru yang mengajar kanak-kanak istimewa. Faridah berbangga kerana sawah itulah yang menjadi nadi rezeki ibunya untuk menumbuhkan kedewasaannya sehingga menjadi anak yang berjaya. Faridah mengakui bahawa sawah itulah yang banyak berbudi kepadanya ketika bercerita kepada anaknya, Anne setelah 25 tahun peristiwa tersebut berlalu seperti dalam dialog berikut :
Sawah inilah dahulu yang membesarkan mama, Anne. Tanah ini sudah dipajak  oleh Haji Ghafur selama 25 tahun. Mama gunakan wang hasil pajakan itu   untuk sara hidup semasa belajar di New Zealand. Habis sahaja belajar, mama bertemu dengan ayahmu dan kami berkahwin. Mama tidak pernah pulang-pulang hingga sekarang (halaman 237).

            Ibarat  panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, apabila ketabahan Faridah diuji. Begitulah dugaan yang dihadapi Faridah apabila pertunangannya dengan Azman terputus tanpa sebab dan alasan. Akibat kecelaruan fikiran dengan mesej pesanan ringkas yang diterimanya daripada Azman, Faridah mengalami kemalangan ketika sedang memandu van dalam usaha membawa kanak-kanak istimewa ke Bukit Fraser. Van yang dipandu oleh Faridah terbabas ke dalam gaung. Kemalangan tersebut telah menyebabkan Faridah hilang selama dua minggu dan terlantar di perkampungan orang asli bersama-sama Iqbal, iaitu anak muridnya, seorang kanak-kanak istimewa. Ekoran daripada kejadian tersebut, Faridah telah koma selama hampir sebulan.
             Dalam keadaan bawah sedar, Faridah telah mengembara ke Bukit Kutu dan perkampungan orang asli. Walaupun koma selama hampir sebulan, namun Faridah seorang yang berjiwa kental kerana bersemangat untuk meneruskan hidup. Kekuatan jiwa yang dimilikinya memanifestasikan kekentalannya mengatasi segala kelemahan yang ada dalam dirinya untuk bangkit semula. Faridah boleh dikatakan sebagai seorang wanita yang luar biasa kerana kekentalan untuk terus hidup menular dalam jiwanya. Nilai ketabahan yang dimiliki oleh Faridah ini merangkumi sikap berani, tahan uji dan optimis kerana memiliki kekuatan dalaman dan semangat yang luar biasa setelah melewati koma selama sebulan. Peristiwa Faridah koma terdapat dalam dialog Ghazali :
Bukan sebulan hilang. Mejar Kamarudin dan Buyung   menemui Faridah yang  telah koma di Kampung Orang Asli  Sungai dua minggu lepas. Seminggu  Faridah terlantar di hospital ini. Baru hari ini Faridah sedar (halaman 96).

Ketabahan Faridah berterusan diuji dan teruji apabila menerima berita kematian Rahayu, iaitu adik kembar yang telah terpisah sejak kecil akibat perpisahan ibu bapa mereka.  Mereka hanya bertemu dalam hubungan alam misteri, iaitu melalui hubungan telepati atau transaksi bawah sedar. Mereka berkomunikasi dalam keadaan Faridah masih koma di hospital dan Rahayu pula dalam keadaan yang hampir nazak. Faridah tetap tabah walaupun kesedihan melanda hatinya pada saat menerima berita kematian Rahayu pada hari dia sedar daripada koma. Ketabahan yang dimiliki membolehkannya menghadapi masa depan walaupun masih samar. Kesedihan ini dapat dihayati dalam dialog dan monolog dalaman watak Faridah :
Saya ada jumpa Ayu …, rintih Faridah. Air matanya gugur lagi bila teringat pertemuannya dengan Rahayu. Dia ingin bercerita tetapi pasti Ghazali sukar mahu mempercayainya. Dia ingin menceritakan kepada seseorang yang dia bertemu   Rahayu sebelum sedar daripada koma (halaman 96).

Setelah pemergian Rahayu, ketabahan Faridah diuji lagi kerana Faridah harus menjaga ibunya, iaitu Salmah yang mengalami kesedihan dan tekanan perasaan akibat kematian Rahayu, iaitu anak yang sekian lama terpisah daripadanya. Pertemuan dengan Rahayu hanyalah pada saat Rahayu sedang nazak melawan bisanya kanser. Perasaan keibuannya terbawa-bawa sehingga Faridah dipanggilnya Rahayu. Kekadang, Salmah menziarahi  pusara Rahayu dua kali sehari kerana dia tidak sedar bahawa dia sudah menziarahinya pada sebelah pagi. Faridah risau namun tetap tabah menjaga dan melayan perangai ibunya. Kerisauan Faridah menguatkan hatinya untuk terus menjaga ibunya dengan berbekalkan sumber kekuatan yang diberikan oleh suaminya, Ghazali yang sentiasa memujuk dan memberi sokongan. Kerisauan Faridah digambarkan dalam dialog berikut :
Idah risau sungguh dengan keadaan mak, bang. Mak Minah     beritahu kelmarin  dia ke kubur sampai dua tiga kali sehari.   Badannya abang lihatlah sendiri, susut sungguh(halaman 115)


Bak kata pepatah, ajal dan maut di tangan Tuhan, tiada siapa dapat menerkanya. Ketabahan Faridah teruji lagi apabila ibu yang disayangi telah pergi menemui Ilahi. Faridah merintih tatkala ibunya sudah tidak bernafas lagi. Kehilangan orang yang disayangi benar-benar menguji keimanan dalam diri seseorang dan kekuatan dalamanlah yang menjadi pemangkin untuk meneruskan kehidupan biarpun sengsara. Faridah tetap pasrah  kehilangan ibu yang maha disayanginya. Rintihan Faridah terdapat dalam dialog Ya Allah, mak … . Jangan tinggalkan Idah, mak (halaman 119). Hal ini mencerminkan  penderitaan dan kesedihan Faridah apabila ibu yang menjadi nadi kehidupannya pergi buat selama-lamanya. Bagaimanakah Faridah akan mengharungi kehidupan seterusnya?  Keimanan dan kekentalan jiwalah yang akan memandu seseorang ke arah kebenaran dan menerima segala ketentuan dengan hati terbuka.
            Ketabahan Faridah diuji buat kesekian kalinya apabila Ghazali, iaitu suami yang disayangi dan diharapkan untuk memayungi dan mengemudi bahtera hidupnya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang tragis. Faridah bukan sahaja kehilangan keluarga malahan kehilangan suami sebagai tempat bernaung. Di sinilah terletaknya kekuatan dalaman jiwa Faridah dalam mengharungi kegetiran dan tsunami kehidupan. Faridah tetap optimis dalam meneruskan kehidupannya.
            Kecundang dalam pertunangan, kematian adik kembar, pemergian ibu tersayang dan  suami tercinta bukan batu penghalang kepada Faridah untuk meneruskan kehidupan pada masa depan walaupun kehidupan itu umpama mimpi yang belum pasti menjadi realiti. Walaupun menanggung penderitaan yang maha perit akibat kehilangan orang yang tersayang namun Faridah tidak menyesali malahan pasrah dan berusaha meneruskan kehidupannya.
Ketabahan dan kekentalan sifat dalaman watak Faridah dalam novel ini terbukti lagi apabila Faridah terus bersikap optimis dan berjaya mengecapi kebahagiaan setelah 25 tahun berlalu. Kesedihan dan kegagalan masa lalu dijadikan azimat untuk meneruskan kehidupan dengan menerima tawaran berkursus di New Zealand selama enam bulan.
Ketabahan membolehkan Faridah mengharungi hidup di negara asing sehinggalah bertemu dengan pasangan hidupnya. Kepahitan yang ditanggung dalam perkahwinan lalu akibat pemergian suami tercinta tidak memudarkan harapan Faridah untuk memulakannya sekali lagi bersama-sama dengan Soleh Johnson. Walaupun Sungai Besar menjadi kenangan, iaitu tempat Faridah menganyam kedukaan tetapi New Zealand menjadi tempat Faridah menenun kebahagiaan menerusi perkahwinan keduanya dengan Soleh Johnson. Perkahwinan dengan Soleh Johnson seorang warga New Zealand telah membahagiakan Faridah kerana suaminya seorang yang penyayang. Kebahagiaan dan keindahan hidup Faridah bersama-sama dengan Soleh Johnson menjadi semakin ranum apabila mereka telah dikurniakan sepasang kembar, iaitu Anne dan Melina.
Semangat dan kekentalan jiwa Faridah masih menebal walaupun setelah 25 tahun berlalu. Dalam perbualannya dengan Azrul, iaitu sahabat lamanya di Sungai Besar, Faridah memperlihatkan kekentalan jiwa dalam mempertahankan kehidupan yang dimilikinya sekarang walaupun masa lalunya beranjau. Kehidupan masa lalu Faridah dan ibunya, Salmah amat memilukan hatinya apatah lagi melihat penderitaan ibu yang dikasihi. Faridah tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib seperti dia dan Rahayu yang terpisah dan ketandusan kasih sayang akibat keruntuhan rumah tangga ibu dan bapanya. Gambaran sikap kental Faridah digambarkan dalam dialog berikut :
Kisah hidup saya dan Ayu semasa zaman anak-anak penuh dengan cerita duka. Bapa dan ibu berpisah, penceraian bukan sesuatu yang biasa ketika itu. Anak-anak mana yang dapat menerima apabila melihat ibunya menderita.  Rindu pada anak, tidak tertanggung. Tambahan pula hanya sempat bertemu  sekejap. Sekejap sungguh. Hingga kini, saya akan tetap pertahankan keluarga  saya sampai bila-bila. Saya tidak mahu Anne dan Melina mengalami nasib yang serupa.

Nilai ketabahan yang terjelma daripada sikap tabah, kental, optimis dan tahan uji mencitrakan Faridah sebagai wanita yang harus dicontohi oleh para pelajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Penghayatan terhadap nilai-nilai kehidupan dalam novel ini amat signifikan bagi seseorang pelajar agar mendapat manfaat yang berharga dan tidak menganggap kegagalan sebagai musibah kehidupan. Masalah, dugaan, cabaran penderitaan, tragedi dan kegagalan  memang amat sinonim dengan kehidupan. Justeru, seseorang perlu memiliki ketabahan dan keimanan yang teguh serta  menggunakan akal yang bijaksana dalam mengawal dan menyelesaikan segala masalah. Kita jangan sesekali membenarkan masalah mendominasi dan memanipulasi hidup kita sehingga kita menjadi manusia  pesimistik dan hidup dalam kemurungan serta ketandusan cita-cita. Misran Rokimin dalam buku yang bertajuk Isu Pendidikan dan Pembangunan Insan Menerusi Novel, berpendapat bahawa prinsip dan nilai-nilai yang baik dalam diri manusia itu merupakan langkah terbaik untuk memperolehi kejayaan. Nilai ketabahan dalam novel ini berkombinasi dengan sikap optimis watak dalam mengharungi kehidupan. Kenny Sung berpendapat bahawa seseorang yang optimis melihat segala kesulitan, kesusahan, kekecewaan, penderitaan dan kegagalan sebagai sesuatu yang bersifat sementara dan spesifik. Apabila ciri-ciri ini mendominasi seseorang watak, maka ciri peribadi yang tenang  dalam mnegendalikan emosi akan menyerlah, pastinya kejayaan berada dalam genggaman.
Walhasilnya, nilai ketabahan dapat dikatakan sebagai kemampuan atau daya seseorang memproses kehadiran unsur ‘kesakitan’, ‘kesusahan’, ‘kesempitan’, dan ‘kepedihan’ yang menjadi jambatan ke arah mencapai matlamat dalam kehidupan. Seseorang yang gagal memproses unsur-unsur tersebut akan berhadapan dengan kegagalan yang akan membantutkan usaha mencapai matlamat hidup. Hakikatnya, novel ini telah mengangkasakan watak wanita yang diwakili Faridah sebagai wanita yang mempunyai kekuatan dalaman untuk terus berjuang meredah gelombang kehidupan. Kesinambungannya, novel ini dapat memberi pengajaran kepada para pelajar agar menghadapi segala ranjau kehidupan dengan tabah dan optimis, tidak menjadikan kegagalan sebagai penyelesaian kepada sesuatu masalah.


Foto Bunga ros kuning-ihsan FB Sania Walchee